Tabiat Menyimpan Diari

Semenjak buku Budak Meja Belakang (2017) masuk pasaran, salah satu pertanyaan kerap diterima daripada peminat serta rakan-rakan pembaca adalah sama ada saya pernah menyimpan diari.

Meniti alam persekolahan, saya hanya ada buku conteng buat melukis kartun (lebihan diari yang Ayah dapat dari tempat kerja). Sekurang-kurangnya, saya ada platform baharu untuk beralih daripada menjadikan koleksi SPBT sebagai mangsa vandalisme. Malah, buku autograf hujung Tahun Enam (yang tak ramai orang sudi sign) pun saya kitar semula jadi buku conteng.

Diari catatan harian saya tak pernah ada. Makna kata, butiran terperinci serta rentetan peristiwa dalam siri buku Budak Meja Belakang adalah berdasarkan memori semata-mata. Alhamdulillah, Tuhan kurniakan saya daya ingatan yang kuat. Semoga kelebihan berharga ini kekal sepanjang hayat. Amin.

Dalam pada itu, otak saya bukanlah arkib komputer. Statistik-statistik kritikal berserta tarikh-tarikh penting saya tetap perlu merujuk sumber seperti keratan akhbar, sijil berhenti serta majalah tahunan sekolah. Leceh juga prosesnya memandangkan maklumat-maklumat kuno sebegini tiada dalam bentuk digital. Namun, fact-checking menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Tahap perincian terpulanglah kepada individu. Pada saya, fakta samar-samar tidak wajar dimasukkan ke dalam manuskrip bukan fiksyen andai sang penulis berhasrat menjadikan karyanya sebagai kapsul masa buat rujukan generasi akan datang.

Jurnal MRSM Shah Ibrahim Budak Meja Belakang A

Paparan buku berkulit hitam putih dalam foto iringan ialah jurnal harian saya sepanjang di MRSM. Tugasan wajib bagi subjek Bahasa Inggeris Tingkatan 5. Makna kata, ada markah. Dan Cikgu akan menilai secara berkala. Maafkan kualiti tulisan tangan serta tahap penguasaan Bahasa Inggeris saya pada waktu itu. Saya memang tak pandai menulis.

Sebuah buku nota berkulit keras saya beli daripada koperasi maktab. Kemudian saya balut dengan kertas bungkus hadiah yang dibeli daripada pasar raya The Store, pekan Taiping. Saya jamin, rata-rata pelajar lelaki semaktab pasti menyambar kertas bercorak sama memandangkan alternatif lain entah apa-apa. Belon. Pelangi. Teddy bear. ‘Love’ terapung.

Bahagian judul serta nama saya hias pula dengan carik-carik kertas warna. Kalau sesiapa masih ingat zaman 90-an dahulu, seni carik kertas memang stylo. Sama ada hujung kertas dicarik atau dibakar perlahan-lahan. Antara dua kaedah ini, sejujurnya saya lebih berkenan teknik bakar-bakar. Tetapi takut terbakar sekali bangunan asrama (dengan niat sengaja). Anyway…

Guru yang mengajar kami (Kelas 509) bernama Chan Kum Leen. Orangnya tinggi, berambut pendek dan sentiasa tersenyum. Sewaktu marah pun senyum. Ini lebih menakutkan.

Masih segar dalam ingatan, kelas BI merupakan subjek terakhir dalam sesi pembelajaran siang kelas 509. Menjelang hujung waktu, Miss Chan akan bertanya kami apa lauk makan tengah hari. Bab menghafal kitar menu, serahkan sahaja kepada bebudak asrama. Memang jaguh. Hafal mengalahkan nombor IC mak ayah sendiri.

Sekiranya lauk istimewa dijadualkan (seperti nasi ayam atau nasi minyak), Miss Chan melepaskan kami pulang awal. Lebih cepat masuk barisan di Dewan Selera, maka kuranglah risiko makan nasi berlauk kekecewaan. Itu tahap sempoinya Miss Chan.

Oh, ada satu lagi kenangan manis bersama Miss Chan yang ingin saya kongsi.

Pada suatu hari, Cikgu pasang video Dead Poets Society (1989) untuk kelas kami. Filem kategori selamat (berklasifikasi PG) yang berkisar geng puisi di sebuah sekolah berasrama orang putih. Tetapi, tiba-tiba muncul adegan topless. Cikgu naik panik tetapi tak sempat capai remote untuk ‘forward’. Kami yang lelaki pula tak sempat tutup mata. Hahaha. Boys will be boys.

Berbalik kepada jurnal, setiap hari wajib ada entri. Termasuk hujung minggu (di asrama) serta cuti penggal (bila mana semua berada di kampung halaman).

Anggapan saya pada mulanya, Miss Chan tiada masa untuk baca coretan setiap satu pelajar. Hipotesis ini saya kerangka berdasarkan ‘red tick’ kecil seakan cukup syarat daripada pihak Cikgu setiap kali jurnal dipulang usai penilaian. Makna kata, tiada langsung respons mahupun komen.

Saya nampak satu peluang.

Tanpa teman yang boleh dipercayai buat berkongsi soal hati (ala-ala filem Dead Poets Society), segala hal berkaitan ‘Farah’ saya curah ke dalam jurnal tersebut. Terseksa juga jiwa raga setelah dipendam lama-lama dalam hati. Itulah detik sulung saya nampak luahan bertulis sebagai mekanisma terapi. Macam-macam saya merapu.

Sehinggalah pada suatu hari, Miss Chan tiba-tiba komen (rujuk foto).

“Alamak, Cikgu baca!” Malunya saya! Terus berhenti luah perasaan. Mujur nama sebenar si dia saya tak pernah dedah.

Sepanjang jurnal bertukar tangan pergi dan balik antara saya dan Miss Chan, hanya dua kali beliau mencoret komen. Pertama, kejutan yang saya ceritakan tadi. Komen kedua pula menyusuli entri terakhir penutup jurnal.

Kata Miss Chan, saya ada bakat bercerita serta meluah perasaan dan MESTI terus menulis. Siapa sangka, hampir 20 tahun masa diambil sebelum saranan ini terlaksana.

Jikalau Dead Poets Society ada Robin Williams, kelas 509 ada Miss Chan.

O Captain! My Captain!

Dead Poets Society O Captain My Captain Blog CSF 2

Sebarang komen/pertanyaan?