Solat Jumaat Di Amerika

Budak Meja Belakang: Pax Americana (Deleted Chapter 6) 

Jumaat, 21 Januari 2000. Dalam khutbah Jumaat hari ini, khatib menasihatkan pelajar-pelajar baharu agar mendaftar subjek ACTY900 (Muslim Student Activity). Saranan bagi setiap semester.

Realitinya, ‘subjek’ tanpa sebarang nilai jam kredit ini bukannya matapelajaran pun. Sebaliknya, time-block dari jam 12:30 tengah hari sehingga 1:30 petang. Peruntukan masa yang membolehkan kelompok lelaki hadir bersolat Jumaat.

Dengan adanya ACTY900 dalam senarai subjek setiap semester, fakulti akan mengagih susun sesi kelas/tutorial/kuliah/makmal para pelajar yang berdaftar agar tidak bertembung masa dengan solat Jumaat. Kagum sungguh saya terhadap inisiatif pihak Purdue University dalam menghormati keperluan agama.

Namun, time-block ini tidak berkesan tatkala ujian/peperiksaan. Andai kata ada ujian mahupun peperiksaan selaras yang dijadualkan berlangsung sekitar tengah hari jumaat, kami tiada pilihan. Terpaksa ponteng solat Jumaat. Hmm, adakah hal sebegini disifatkan darurat? Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya. Ada ustaz kata boleh. Ada ustaz kata tidak.

“Ya, Sheikh! Do you mind cutting the khutbah short? Some of us have lectures after this…”

Fuyoh! Hari ini pertama kali dalam seumur hidup saya menyaksikan seorang makmum bangun berdiri lantas menegur khatib agar memendekkan khutbah. Jikalau berlaku di Malaysia, silap-silap di situ juga dia kena lanyak. Dalam pada itu, tak dapat dinafi khutbah hari ini terlajak panjang.

Kami yang lain turut sama gelisah melihat jam dinding di belakang mimbar. Jarum pendek di angka satu. Jarum panjang di angka empat. Sedangkan khutbah masih di fasa pertama. Pukul berapa hendak mula solat?

Berbicara fasal solat berjemaah, banyak juga kelainan saya mula perasan di sini. Antara yang ketara ialah ketiadaan qunut sewaktu subuh. Lafaz Bismillah juga tidak kedengaran tatkala Pak Imam membaca surah al-Fatihah dengan lantang. Sejurus mengangkat takbir, terus “Alhamdulillah…”

Dan usai memberi salam kedua, para makmum pakat beredar. Tiada wirid mahupun doa beramai-ramai seperti resam di Malaysia.

Sebarang komen/pertanyaan?