Solat Itu laksana Pendinding

April 2008.
Semenjak hari pertama bekerja sebagai tukang cuci di tempat baharu (Oktober 2007), saya akan bereskan solat Maghrib sebelum meninggalkan hostel. Isyak pula tiada masalah. Waktu panjang. Menuju ke musim panas, senja kian lewat menjengah. Setiba fasa tersebut, solat Maghrib terpaksa ditunaikan di tempat kerja. Tiada pilihan.
Selama satu minggu, saya curi-curi bersolat di bilik mesyuarat aras utama sambil membersihkannya. Berdasarkan keadaan meja yang bersepah serta kerusi tunggang-langgang, saya fikir ‘line clear.’ Bilik mesyuarat tentu sudah habis diguna pakai. Kepingan surat khabar saya jadikan alas sujud.
Pernah sekali, seorang staf mat salih masuk semula ke bilik mesyuarat kerana tertinggal barang sewaktu saya sedang bersolat. Nampak sangat sembahyang tak khusyuk, kan? Apakan daya jikalau satu-satunya ruang kosong yang berbaki serta arah kiblat pula betul-betul menghala ke pintu.
Ekoran insiden tersebut, saya ditegur oleh Puan Pengurus (orang putih juga) kerana disifatkan mencuri tulang. Sahih, staf tadi yang buat aduan.
Semenjak itu, stor besar di tingkat teratas bangunan dilihat sebagai lokasi paling strategik buat saya dan rakan-rakan Muslim bersolat. Stor ini berkeluasan satu aras penuh! Tanpa tingkap. Siang hari pun perlu pasang lampu.
Oh, ya. Pasti timbul persoalan. Kenapa tak solat saja terus dari mula di stor ini?
Yang lecehnya, stor besar memerlukan kad akses khusus. Harus dipohon melalui kaunter pak guard. Setiap aras lain dah ada stor-stor kecil (bersaiz almari pakaian). Stok barang di stor kecil lebih daripada mencukupi buat keperluan cleaner. Dengan kata lain, justifikasi perlu diberi mengapa tiba-tiba kami mahu masuk stor besar.
Sekurang-kurangnya, staf pejabat tidak dibenarkan memasuki stor besar. Jadi, geng cleaner tidak perlu risau gangguan daripada kelompok ini. Dalam pada itu, Puan Pengurus pasukan kami tetap akan naik juga ke stor besar secara berkala untuk tujuan spot-check atau pemeriksaan inventori. Namun, bukanlah setiap malam.
Solat Maghrib dilaksana secara bergilir-gilir. Sebab nampak aneh jikalau tiba-tiba semua cleaner Muslim hilang serentak. Pak guard pula bertugas mengikut giliran syif sesama mereka. Dalam kalangan pak guard, ada juga spesis kaki report. Jadi, kami perlu lebih berhati-hati.
Sehelai sejadah turut ditinggalkan di stor besar. Aspek paling tak best, arah kiblat di ‘surau’ kami juga menghala tepat ke pintu. Aduh! Seterusnya menambah debar andai pintu tiba-tiba dikuak dari luar sewaktu bersolat.
Sebagai ikhtiar menambah khusyuk, saya secara peribadi akan menyusun kotak-kotak berisi barangan seperti stok tisu tandas dan cecair pencuci secara bertingkat-tingkat di sekeliling. Kata orang, solat itu laksana pendinding. Saya pula membina dinding sebelum bersolat.
Mahu tambah selamat lagi, lampu stor turut saya matikan. Ya, bersolat Maghrib dalam gelap macam orang qiamullail. Saya cuma berharap tiada makmum misteri yang tiba-tiba muncul bertelekung seperti dalam filem-filem Indonesia.
Maklum sajalah… Aras terbiar yang jarang dimasuki manusia.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!