Berdasarkan tahap kesucian wajah masing-masing, saya fikir kemungkinan besar foto ini dirakam semasa tingkatan empat. Sebab sepeninggalan para senior tahun berikutnya, barulah kami berani curi-curi simpan misai janggut. Itupun, selagi Haja Mydin tak nampak.
Setiap Jumaat pelajar putera diwajibkan berpakaian kebangsaan sepanjang sesi akademik pagi. Dalam senarai seragam kami, saya paling tak gemar busana ini. Hal ini tiada kena-mengena dengan keinginan berpaksi ke arah Barat. Terus terang kata, saya tiada isu dengan baju Melayu. Cuma pemilihan warna sahaja yang sangat tak kena.
MRSM Taiping terletak di Bukit Larut, Perak. Sesiapa yang masih ingat sukatan Geografi KBSM, Bukit Larut memegang takhta sebagai lokasi paling lembap di Malaysia. Boleh dikatakan setiap hari hujan turun. Lantaran ini, jemuran payah hendak kering. Hasilnya, pakaian cukup mudah dihinggapi tahi lalat. Kesan lebih ketara pada pakaian berwarna cerah. Apakan daya, peraturan maktab tetap perlu dipatuhi. Tahi lalat pun tahi lalatlah…
Setamat sesi akademik pagi, pelajar puteri akan bergerak terus ke Dewan Selera untuk makan tengahari tatkala lauk masih panas dan segar. Sementara kami yang lelaki hanya dibenarkan menjamu selera sekembali dari Solat Jumaat (dengan harapan) stok makanan belum ditapau habis oleh senior.
Bercakap soal Solat Jumaat, Masjid Telekom destinasi tetap pada zaman kami. Selalunya, khidmat bas yang pihak maktab sediakan cenderung berlepas terlalu awal. Atas sebab ini, ramai yang lebih selesa menapak (1km sehala). Sambil-sambil berjalan, dapatlah masing-masing mengumpul pahala. Tak dinafi, ada juga yang tak sampai. Mereka bersolat di alam bunian barangkali.
Sejurus selesai makan tengahari, kami perlu menghadap prep petang (kelas persediaan) pula. Padahal, keletihan minda penangan sesi akademik pagi tadi pun masih belum lelah. Dipakej bersama hujan petang, keletihan berjalan ke masjid (pergi dan balik) serta perut yang baru penuh terisi; mata lekas terasa berat.
Tidak cukup sekadar prep petang, ditambah lagi prep malam ke dalam rutin harian. Malah, waktu riadah petang pun ramai yang memilih untuk mengulangkaji. Tatkala lampu asrama dipadamkan jam 11 (lights off) pula, ada yang curi-curi belajar berbekalkan lampu suluh, lilin atau cahaya keimanan. Pendek kata, persaingan di MRSM terbaik Malaysia luar biasa sengit!
Jesteru itu, anda rasa saya ada masa untuk memandang kamera?