Semua Benda Adalah Cerita

Penganut sebilangan ajaran besar di dunia mempercayai kewujudan catatan lengkap tingkah laku setiap manusia sepanjang tempoh dia bernyawa. Cuma akses terhadap cerita ini berada di luar capaian. Sehinggalah masing-masing telah beralih ke alam seterusnya. Dan setiba detik tersebut, setiap orang hanya mampu mendengar cerita ini dibacakan secara sehala. Sebarang suntingan adalah mustahil.

Berbeza pula halnya dengan cerita kita di dunia. Selagi nyawa masih dikandung badan, pelbagai plot twist menanti. Sebilangannya dipandu oleh takdir. Sementara sebilangan lagi bergantung pada free will, tindak tanduk yang kita pilih sendiri. Padanan kedua-dua elemen ini menjadikan jalan cerita setiap orang unik.

Susur galur keturunan kita adalah cerita. Himpunan memori silam kita adalah cerita. Cinta pertama kita adalah cerita (walaupun hanya bertepuk sebelah tangan…huhu). Mimpi ngeri malam tadi adalah cerita. Impian serta harapan masa hadapan kita adalah cerita (meskipun belum kesampaian). Derita serta kekecewaan kita adalah cerita. Perbalahan dan persahabatan sesama kita pasti ada kisah di sebaliknya.

Iklan adalah cerita. Laporan berita adalah cerita. Ulasan produk adalah cerita. Modal air liur seorang pempengaruh di media sosial adalah cerita (menarik atau hambar, itu soal lain).

Malah, CV/Resume kerjaya kita juga merupakan sebuah cerita. Lazimnya dongeng, sebab ramai (termasuk saya) yang cenderung tokok tambah. Bercakap Cina setakat tahu ‘nin-hou’ dan ‘xie-xie’, tapi dalam CV tulis fluent (intermediate) in Mandarin. Haha.

Tak dapat dinafi, cerita yang berkesan memiliki kuasa besar tersembunyi. Cerita bisa mengubah konteks situasi. Yang hasilnya memandu persepsi. Lantas mempengaruhi.

Cerita boleh dijadikan senjata untuk menaikkan atau menjatuhkan seseorang. Lebih tragis lagi, cerita berupaya mengubah hala tuju perbicaraan kes jenayah. Orang yang tidak bersalah boleh disabit. Orang yang bersalah boleh terlepas.

Patutlah ramai yang berpendapat, kelompok pandai bercerita mampu menguasai dunia.

Budak Meja Belakang Pax Americana Kongsi Pengalaman

Sebarang komen/pertanyaan?