Sejarah Kuantum

Tesis PhD merupakan harungan pertama seksa menyiapkan sebuah manuskrip lengkap. Secara peribadi, dari sinilah disiplin menulis terbentuk. Kena konsisten. Perlu tersusun. Tak boleh plagiat. Sang Editor tentu sekali penyelia PhD. Dalam kes saya, seramai 3 orang. Pabila penyelia sebegini ramai, rentetan penyelidikan pun menjadi caca marba. Namun, itu isu lain.

Tak dinafi, penulisan saintifik ketara berbeza dengan penulisan kreatif. Lumrah tesis akademik, ayat-ayat mesti ringkas dan tidak bolehlah berbunga-bunga. Dalam pada itu, tesis akhir saya tetap mencecah had maksima mukasurat yang dibenarkan oleh fakulti. Mungkin dari sini bermulanya kecenderungan diri menulis panjang berjela. Bab menulis, saya memang lekas naik syeikh.

Sekitar penghujung tahun 2011, para penyelia memberikan saya ‘lampu hijau’ untuk mencetak naskhah berkulit keras berikat benang. Dalam kitar hidup seorang calon PhD, ini tanda rasmi draf akhir tesis diterima. Sekadar makluman, kulit tesis para pelajar University of Leeds (UK) berwarna hijau kerana hijau warna rasmi universiti.

Andai kebebasan diberi, saya sendiri akan pilih warna hitam sebab begitulah liku perjalanan yang ditempuhi. Chewah! Maaf, teremosi pula. Luka lama tiba-tiba berdarah kembali. Luka pun berwarna hitam. Abaikan sahaja.

Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Masa berlalu, pengalaman menulis tesis dalam Bahasa Inggeris sekadar tinggal kenangan. Tiba masanya pula diri terpanggil mencuba nasib menceburi bidang penulisan kreatif.

Teringat kembali, alangkah seronoknya jikalau seksa PhD boleh diselit sama ke dalam tesis. Sekurang-kurangnya, ada modal buat menagih simpati pemeriksa sewaktu viva kelak. Cuma taktik ini belum pernah dibuat orang sepanjang tamadun manusia.

Alang-alang tak boleh selit dalam tesis, maka terhasillah KUANTUM. Diari perjalanan PhD (2007-2011) yang saya putuskan untuk dikongsi bersama anda semua. Sebagai lelaki, perihal berkongsi perasaan bukanlah sesuatu yang mudah. Malu! Apa yang bakal diceritakan pula, teman-teman rapat seangkatan di UK pun tak pernah tahu. Setelah dibaca, kalian pasti faham mengapa.

Semoga KUANTUM memberi manfaat kepada rakan-rakan yang sedang berjuang mahupun pernah terfikir untuk menempuh pendakian ke puncak menara gading.

Kuantum Shah Ibrahim Dalam Daftar Buku Perpustakaan Singapura
Kuantum sudah berada dalam koleksi Perpustakaan Singapura

Sebarang komen/pertanyaan?