Saya Dan Dunia Metal

Sungguhpun XPDC membawa imej ‘metal’, saya sudah terbiasa memandang mereka sebagai sebuah kumpulan rock kapak (menilai dari sudut muzik). Dalam pada itu, kugiran tempatan ini saya tetap minat. Lagu C.I.N.T.A., Sakinah dan Titian Perjalanan setia berada dalam playlist mp3 saya sehingga ke hari ini.

Dunia metal lebih brutal dalam erti kata sebenar, saya kenali menerusi Metallica. Lebih spesifik lagi, daripada lagu Masuk Ke Dalam Lelaki Pasir. Atau terjemahannya, Enter Sandman. Tergoda dengan bedilan dram padu intro lagu tersebut, saya sebenarnya berangan menjadi pemain dram. Cuma diri ini langsung tiada bakat. Koordinasi kaki dengan tangan kurang mantap. Usah kata Metallica, tempo lagu kumpulan New Boyz pun besar kemungkinan saya tak mampu bawa.

Atas dasar inilah, saya tergerak mendekati gitar dan bass. Bermain gitar, saya bolehlah sikit-sikit. Selain memetik, saya juga seorang pengumpul. Malah, salah satu gitar kesayangan dalam koleksi peribadi saya ialah model ESP Black Explorer. Gitar elektrik serba hitam yang James Hetfield pakai dalam klip video ‘The Memory Remains’.

ESP LTD Model EX-350 Guitar Shah Ibrahim
Gitar ESP LTD Model EX-350 dalam koleksi saya (buatan Korea, kalau tak silap)

Bermula dengan genre heavy metal, perlahan-lahan saya berjinak pula dengan kugiran daripada cabang-cabang metal yang lain. Seperti Children Of Bodom (Death Metal), Yngwie Malmsteen (Neo-Classical Metal), Galneryus (Japanese Power Metal [Yup… metal Jepun]) dan Korn (Nu Metal). Tahukah anda, setiap genre metal juga ada pelbagai sub-cabang lagi? Tak perlulah diperincikan di sini. Tak penting pun.

Entah kenapa, genre Black Metal satu-satunya saya langsung tak minat. Melodi tak padan dengan jiwa. Seram pun seram juga. Berkat mendampingi usrah barangkali. Oh, ya. Death Metal sering dikelirukan dengan Black metal. Sedangkan ada perbezaan. Termasuk solekan wajah. Death Metal yang obses dengan kematian, iramanya lebih melankoli dan menjurus ke arah depresi. Sementara Black Metal yang penuh kontroversi pula, rata-rata semua orang tahu kecenderungannya ke arah mana.

Dalam buku Kuantum ada disebut betapa muzik berat berkuasa magis menghilangkan sepi. Ramuan efektif yang berjaya mengalih fokus saya daripada tarikan perempuan. Maklumlah, angau itu menyusahkan. Sebagai student, saya mahu fokus belajar. But I’m still human after all. Saat si dia muncul, saya tersungkur juga (Baca kisah selebihnya dalam Kuantum).

Anyway…

Setelah bertahun-tahun menyimpan rambut panjang, tiba-tiba timbul keinginan memasang dreadlocks. Berkemungkinan terpengaruh dengan Max Cavalera (Sepultura), Aru (Koffin Kanser) dan Jon Davis (Korn). Zaman berdarah muda dahulu, manalah terfikir isu ‘air tak sampai ke rambut’ dalam bab kesempurnaan bersuci segala bagai. Dan hal penjagaan rambut dreadlocks leceh juga.

Usai berfikir panjang, akhirnya saya membatalkan niat. Dari Amerika, saya kembali ke Malaysia tanpa dreadlocks. Sebab takut nanti Mama paksa saya mop lantai seluruh Terminal Ketibaan KLIA guna rambut sebelum boleh balik rumah.

p.s. Potret iringan ialah Jon Davis, frontman Korn. Kugiran pembuka jalan saya mengenali Mia.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!