Rumah Cikgu Jauni

Ahad, 2 Ogos 1998. Kurang lebih sebulan sebelum kami dilepaskan pulang bercuti sempena Sukan Komanwel, Cikgu Jauni berbesar hati menjemput para pelajar Tingkatan 509 bertandang ke rumah.

Ini rombongan kelas yang memerlukan permohonan khas daripada pihak maktab. Bukan sekadar outing mingguan biasa. Saya kurang pasti bagaimana resamnya kini tetapi pada zaman kami, sesi outing pelajar putera dan puteri MRSM Taiping (MARESMART) sengaja diasingkan hari agar tak timbul isu ‘dating.’ Perempuan outing Jumaat. Lelaki outing Sabtu.

Cikgu Jauni menetap berhampiran maktab. Oleh itu, kami berjalan kaki sahaja beramai-ramai. Aktiviti menapak tiada hal memandangkan MARESMART berada di kaki Bukit Larut. Titik lembap semenanjung Malaysia. Terik panas kami tak risau sangat. Hujan lebat spontan lebih membimbangkan.

Meskipun setiap saat ada potensi hujan turun menyembah bumi, jangan harap kami yang lelaki mahu usung payung. Sesungguhnya sangatlah tidak cool. Biar lencun asal bergaya.

Sambil menjamu selera di rumah cikgu, liputan persediaan Sukan Komanwel mendominasi siaran TV. Sebab tahun 1998 tahun istimewa buat negara. Bukan sahaja kerana Malaysia bertanding. Malah, kita juga menjadi tuan rumah. Infrastruktur-infrastruktur sedang giat diperkemas bagi menyambut para tetamu dari luar. Atlet-atlet terpilih pula gigih berlatih.

Sesiapa yang masih ingat, siaran TV di setiap saluran perdana ketika itu sering diganggu secara berkala. Bagi memberi laluan kepada satu iklan khas. Selang beberapa minit, maka berkumandanglah montaj promo diiringi suara manja ratu rock negara.

Pahit getir hidup
Dan pengorbanan
Terpaksa dihadapi
Demi kejayaan…

Fuh! Terjamin meremang setiap kali terdengar. Fight song 1998 buat para atlet negara. Sekaligus menjadi fight song buat kami yang bakal menghadapi SPM pada tahun yang sama.

Kembali ke rumah Cikgu…

Sungguhpun kualiti hidangan lauk asrama di MARESMART pada zaman kami memiliki reputasi hebat, sajian home-cooked meal sememangnya tiada tandingan. Maklumlah, anak perantauan di negeri orang.

Lagipun, makanan di asrama tercatu. Sementara makan di rumah orang pula, kita hanya perlu tunggu tuan rumah beri lampu hijau untuk menjilat periuk.

Dalam foto, saya jejaka yang berbaju belang. Baju sahaja belang. Hidung tak belang. Oh ya. Selain gel jenama Code 10, syelek kayu juga termasuk dalam senarai aksesori penjagaan rambut saya. Itu pasal berkilat.

Budak Meja Belakang (Buku 1) – Deleted Scene

Sebarang komen/pertanyaan?