Refleksi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018

Hari ini genap sebulan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berlalu pergi meninggalkan kita. Saya dengar respon daripada pengunjung boleh tahan juga sungguhpun negara sedang dirundung bahang pilihanraya. Dalam pada itu, ada segolongan lain pula yang berpendapat kehadiran tahun ini lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelum. Tanpa berada di tapak pesta, saya sendiri sukar menganalisa situasi sebenar.

Atas dasar terikat dengan komitmen lain, saya langsung tidak berpeluang turun padang bagi membantu usaha-usaha promosi di tapak jualan. Sekadar mampu menyokong usaha gigih pasukan penerbit dari jauh sahaja. Andai kata diri berkesempatan hadir baru-baru ini pun, barangkali serabut juga kepala memikirkan cara membahagi masa serta tumpuan antara reruai.

Tanpa disangka-sangka, saya dikurnia rezeki menerbit tiga judul serentak di bawah panji tiga rumah penerbitan berbeza menjelang PBAKL 2018. Realiti yang sampai ke saat menulis ini masih payah dihadam memandangkan hampir 6 tahun juga saya cuba bertapak dalam industri tanpa sebarang hasil. Berkat sikap tak putus asa, barangkali.

Episod bergerak pantas ibarat mimpi di siang hari. Namun, begitulah keajaiban aturan rezeki. Kadang-kadang datang berperingkat. Kadang-kadang tiba serentak. Tak dinafi, kadang-kadang tak sampai langsung. Tapi Allah gantikan dengan kurnia lain.

Berdasarkan statistik jualan, ketiga-tiga penerbit telah menghantar rumusan prestasi buku-buku saya sepanjang PBAKL 2018 yang berdurasi sepuluh hari. Prestasi sekadar dalam bentuk kedudukan dalam carta. Bilangan buku yang terjual secara spesifik pula belum dikongsikan lagi. Bagi seorang penulis kategori cari makan, aspek ini tak kurang penting. Teringin juga hendak tahu sama ada kutipan royalti kelak bisa menampung tabung kahwin.

Kata orang tua-tua, antara tanda-tanda jodoh semakin hampir buat seorang bujang ialah ketibaan rezeki melimpah-ruah. Barulah mampu upah Anuar Zain datang menyanyi dua tiga lagu sewaktu resepsi dewan kelak.

Biarkanlah saja diriku… sendirian tanpamu.

Biarkanlah aku merindu… sekian lama.

Pergh, meremang nanti seluruh isi dewan! Saya akui lirik lagu ternyata tak sesuai langsung untuk majlis kahwin. Tetapi, suka hatilah sebab majlis saya.

Budak Meja Belakang

Meskipun sudah berbulan lama berada di toko-toko buku utama, Budak Meja Belakang terus mendapat tempat di hati pembaca. Dalam banyak-banyak karya saya setakat ini, BMB paling laku. Saya sendiri tak faham sebab apa. Malah, ada pembaca yang sanggup beli lebih semata-mata mahu dihadiahkan kepada teman-teman. Terharu saya mengenangkan betapa istimewanya BMB di hati mereka. Jikalau dapat mengorek formula, boleh juga saya implimentasikan dalam karya-karya susulan.

Budak-Meja-Belakang-Bestseller-Komrad-PBAKL-2018
Carta keseluruhan Komrad.
Budak-Meja-Belakang-dalam-carta-keseluruhan-Must-Read-PBAKL-2018
Carta keseluruhan Must Read.

Kuantum

Buku Kuantum yang dicetak terhad tak kurang menyengat. Selama empat hari Kuantum berdiri megah dalam carta Top Ten reruai Dubook Press. Lebih spesifik lagi hari kedua, ketiga, keempat serta kelapan.

Kuantum Shah Ibrahim PBAKL 2018 Laku Keras
Foto kiriman penerbit, Dubook Press.
Kuantum Shah Ibrahim PBAKL Laku keras
Foto kiriman Puan Mie Salmi.

Kertas-Kertas Yang Merubah Fikir

Buku K2YMF yang dilancar secara eksklusif sempena PBAKL 2018, turut menjadi Top Seller reruai Jejak Tarbiah. Penerbitan buku ini cukup signifikan buat diri selaku titik mula pendedahan awal kepada projek berbentuk kolaborasi. Tak sangka, rumit juga hendak direalisasikan. Sebagai pendatang baharu, saya terasa kerdil tapi bertuah dapat menumpang aura 20 penulis otai yang turut sama terlibat.

Kertas2 Yang Merubah Fikir PBAKL 2018
Foto dari penerbit, Jejak Tarbiah.

Dari sudut pencapaian peribadi, setakat ini belum ada lagi buku saya yang berjaya capai tangga teratas dalam mana-mana carta. Memandangkan impian harus diletak tinggi sebagai penyuntik motivasi, ternyata ini satu aspirasi besar untuk dikecapi. InsyaAllah.

Sungguhpun bahang PBAKL 2018 belum pudar sepenuhnya, pihak penerbit sudahpun bertanya tentang manuskrip susulan. Menurut mereka, ada ura-ura PBAKL 2019 bakal diawalkan. Besar kemungkinan seawal Mac. Lantaran itu, karya-karya yang ingin dilancar kelak perlu siap terbit selewat-lewatnya Januari 2019.

Mengambil kira urusan suntingan pergi-balik segala bagai, saya diminta menyerah draf lengkap sekitar Oktober ini. Fuh, hari ini Jun pun sudah habis seminggu. Makna kata, tinggal hanya empat bulan.

Tik. Tok. Tik. Tok. The clock is ticking.

Shah Ibrahim, sila panik sekarang!

Projek apa anda bertanya? Saya biarkan kalian berspekulasi 😊

Sebarang komen/pertanyaan?