Peta Kampus Purdue

Tidak macam institusi pengajian tinggi tanahair, kebanyakan kolej di Amerika Syarikat tidak berpagar. Apatah lagi berpengawal. Secara langsung, timbul kesukaran mengenal pasti sempadan dengan jelas. Urm, mana satukah harta milik universiti? Mana satu pula premis persendirian? Malah di sesetengah tempat, blok fakulti berselang seli dengan bangunan kerajaan serta apartmen swasta.

Walau bagaimanapun, Purdue tidaklah seekstrem ini. Meskipun tidak berpagar, kebanyakan blok fakulti dihimpun berlonggok membentuk ‘pulau’.

Pulau utama dikepungi Northwestern Avenue, Grant Street, State Street dan University Street. Selain menempatkan pejabat pendaftar, saya sering menganggap ini sebagai pulau utama kerana di sini letaknya mercu tanda utama kampus. Purdue Bell Tower. Dalam kalangan warga Purdue turun temurun, di sini ada satu pantang larang terbesar.

Barang sesiapa yang melintas bawah menara loceng ini sebelum hari graduasi, pelajar berkenaan disumpah gagal menamatkan pengajian. Khurafat, saya akui. But you just never know. Lantaran itu, tidaklah menghairankan sangat bilamana menara ikonik ini menjadi sasaran serbu para graduan untuk berfoto setiba musim konvo.

Markas kami pelajar kejuruteraan Elektrik (EE) menghadap jalan besar Northwestern Avenue. Berseberangan dari McD. Di situlah tempat makan terhampir dengan fakulti (termasuk sarapan jikalau terlewat bangun). Andai kata tekak masing-masing dah muak menelan fillet o’ fish saban hari, pilihan lain mengharuskan kami menapak sejauh Chauncey untuk bertukar selera. Tukar selera kepada Subway atau Fazoli’s (spageti kosong). Terus terang kata… bukanlah menyelerakan sangat pun.

Krannert di seberang State Street ialah fakulti ekonomi. Seingat diri, tiada pelajar Malaysia sezaman saya yang ambil bidang ekonomi sebagai jurusan utama. Kecuali segelintir kecil yang ambil subjek-subjek ekonomi sebagai elektif memenuhi tuntutan kredit. Saya salah seorangnya.

Menyusuri Grant Street ke arah selatan, kita akan bertemu dengan blok pertanian. Tahukah anda, penyelidikan ganja salah satu fokus di situ? Siap ada ladang. Bak kata Snoop Dogg, “La-da-da-da-dah… Smoke weed everyday.”

Saat melakar peta ringkas ini berdasarkan memori, saya cuba bandingkan juga dengan Google Maps. Sesungguhnya, banyak perkara dah berubah setelah 15 tahun berlalu. Nama jalan ditukar. Bangunan diroboh. Dan macam-macam lagi.

Semoga Budak Meja Belakang: Pax Americana menjadi kapsul masa rakaman memori para pelajar seangkatan saya buat rujukan generasi-generasi akan datang, insyaAllah.

Buku kini dalam fasa percetakan.

Sebarang komen/pertanyaan?