Pertapaan Yang Tidak Dirancang

Empat judul buku terbit dalam tempoh kurang daripada dua tahun (termasuk kerja-kerja suntingan manuskrip bersama editor), disusuli usaha-usaha promosi ternyata memenatkan. Tambahan pula, kesemua proses ini masih baharu buat saya. Ibarat kenderaan yang dipacu berterusan tanpa henti, lama-lama berasap jua. Burn out. 

Secara kebetulan, Ramadan 2019 hadir mengetuk pintu di persimpangan cerita. Tempoh waktu yang saya fikir afdal buat berehat sejenak. Sambil berkontemplasi sedalam mungkin tentang pelbagai sudut kehidupan peribadi. Hala tuju hidup. Karier. Kewangan. Kesihatan. Termasuk juga hubungan sesama manusia.

Pembebasan daripada belenggu media sosial ternyata banyak membantu dalam urusan ini. Ritual detoksifikasi (secara berkala) yang pada saya, wajar ditempuh oleh setiap pengguna. Ke arah menggapai kestabilan emosi dan juga mental. Sebagai bonus, produktiviti seharian melonjak naik semenjak saya bercuti daripada FB, IG dan Twitter.

Keputusan drastik untuk bercuti daripada menulis turut diambil. Dan bercuti di sini bukanlah bermaksud melancong. Sebaliknya bercuti dalam erti kata langsung tidak menghadap sebarang draf manuskrip (mahupun blog post).

Sepanjang fasa bertapa ini, kelapangan masa terisi eksklusif dengan membaca. Cabang aktiviti yang dah lama terpinggir semenjak sibuk menulis. Sehingga diri hampir terlupa betapa seronoknya memegang dan mengulati buku. Dari kulit ke kulit. Dari satu judul ke satu judul yang lain.

Hajat di hati bukanlah mengejar statistik khatam semata-mata. Sebaliknya, senarai ‘To-Be-Read’ dalam wish list mahu dikurangkan segera. Maklum sajalah, belum sempat pangkah item yang telah bertahun-tahun tersenarai, judul baharu pula kian bertambah.

Buku BI. Buku BM. Horror. Thriller. Sci-Fi. Fantasy. Komik dan novel grafik. Biografi. Travelog. Memoir. Anekdot. YA. Self-help. Buku baru terbit semalam. Buku terbit minggu lalu. Buku terbit sebulan lepas. Himpunan buku-buku klasik seabad lalu. Aaarrrggghhh!!!! Too many books. Too little time. 

Tenggelam dan leka dilamun bait-bait kata para pengkarya lain, terus terang saya katakan, membaca itu sebenarnya jauh lebih nikmat daripada menulis.

Anyway…

Jiwa kini sedikit sebanyak telah terawat. Inspirasi berjaya diraih. Game plan jangka pendek sudah dikemaskini. Hanya perlu mencari momentum bagi gerak langkah seterusnya. Perlahan-lahan kayuh.

Terima kasih atas mesej-mesej pertanyaan khabar. InsyaAllah, saya akan cuba membalas setiap satu seberapa segera. 

Sebarang komen/pertanyaan?