Permohonan Dana PNM untuk novel Kifayah

Dana Pembelian Terus Buku-Buku Karya Penulis Tempatan atau ringkasnya ‘Dana PNM’ menjadi dambaan setiap penulis Malaysia yang ada karya baharu saban tahun.

Bagi kelompok pengkarya yang terpilih, kerajaan akan membeli sejumlah buku (beberapa ratus naskhah sekali harung rasa-rasanya) untuk diedar ke perpustakaan serata negara. Secara langsung menjana pendapatan tambahan buat penulis.

Saya sebenarnya dah pernah cuba memohon dana ini sejak buku solo pertama tahun 2012 dahulu. Disusuli 4 judul susulan. Lima buku kesemuanya saya pohon. Tiada rezeki terpilih.

Selalu juga terdengar luahan rakan-rakan penulis lain yang gagal terpilih gara-gara permohonan mereka tak sampai. Dalam hal ini, saya agak bernasib baik. Sekurang-kurangnya setiap permohonan saya tak hilang, walau dipos ke KL dari Johor. Saya tahu permohonan selamat sampai menerusi makluman e-mel serta surat rasmi daripada pihak Perpustakaan Negara (PNM) yang mengatakan karya saya sedang dipertimbang.

Namun begitu, kelima-lima permohonan tersebut (2012-2019) tetap gagal. Termasuklah siri Budak Meja Belakang. Boleh tahan sengit juga persaingan, rupa-rupanya. Memang frust. Tahun 2019 kali terakhir saya memohon.

Langkau masa beberapa tahun ke depan. Sekarang dah 2025. Saya baru keluarkan buku solo ke-6. Hampir terlupa tentang kewujudan dana ini. Apa salahnya mencuba lagi, kan?

Cuma kali ini saya pergi terus ke PNM untuk serah permohonan. Manalah tahu, ada rezeki berkat doa sempena hari Jumaat. Lagipun, saya dah asapkan sampul surat dengan kemenyan.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!