Pemandangan Dari Tingkap Ofis

Pemandangan waktu tengah hari dari jendela meja pejabat saya di bilik 69. Aras empat blok kejuruteraan Elektronik, University of Leeds. Foto rakaman sekitar Disember tahun 2009. Pepohon di luar sudah botak menjelang winter. Cuma salji sahaja belum menjengah bumi West Yorkshire. Minda yang kusut terasa lega sejenak gara-gara baru selesai viva mini tahun dua.

Lorong berteman pokok dalam foto ialah St. Mark’s Avenue. Lorong pintas buat warga blok kejuruteraan dalam kalangan pelajar Malaysia menapak pulang ke Perkampungan Melayu Holborn. Ini penempatan khusus universiti buat kelompok pelajar berkeluarga. Saya orang bujang. Tak layak memohon.

Bangunan kecil di sebelah kanan Lorong itu sekolah muzik (premis persendirian yang tiada kena mengena dengan universiti). Bangunan sebelah kiri yang banyak kereta di ruang parkir itu pula pusat kebajikan masyarakat. Para gelandangan tempatan boleh tampil minta bantuan. Di sini juga pusat pemulihan penagih.

Banyak kali juga saya dihulur flyer promosi pusat ini oleh para petugasnya. Tidak menghairankan sangat sebab gaya ‘rockers tidak menjadi’ saya lebih menjurus ke arah gelandangan. Apa pun jua, itu kisah untuk lain kali.

Hari pertama saya mendaftar diri sebagai calon PhD pada tahun 2007, pejabat berkapasiti 14 penghuni ini lengang. Secara kebetulan, ramai pelajar senior seofis sedang menghadapi fasa viva akhir dan mereka lebih gemar bekerja dari rumah. Secara kebetulan juga, beberapa orang calon PhD lain yang telahpun mendaftar lebih awal sebelum saya, tiba-tiba menarik diri keluar daripada program.

Sewaktu setiausaha fakulti kami (Miss Margaret Quirke) mengiring saya masuk ke pejabat ini untuk diberi ruang kerja, entah mengapa saya ditempatkan di meja penjuru menghadap dinding. Macam budak sekolah orang putih yang dihukum kerana bising dalam kelas. Padahal, banyak lagi meja kosong belum bertuan yang menghadap jendela.

Berpegang pada prinsip “first come, first serve’’, dengan selamba saya beralih tempat ke lokasi lebih feng shui sejurus cik setiausaha keluar. Tak sanggup saya mengharungi tahun-tahun mendatang menghadap muka ke dinding kosong semata-mata. Sudahlah diri ini klaustrofobik. Sekurang-kurang tatkala menyaksikan hiruk-pikuk jalan besar Woodhouse Lane, dapatlah juga saya mencuci mata.

Bercakap soal hiruk-pikuk, suasana di luar boleh tahan lengang dalam foto penangan faktor hari minggu. Jikalau hari biasa, memang sesak dengan pejalan kaki serta kenderaan berlalu-lalang tak putus-putus.

Sejujurnya, saya lebih selesa membuat analisis data di rumah. Bertemankan Nescafe Tarik gelas besar serta kumandangan irama rock kapak. Namun, sesetengah perisian terkawal hanya boleh diakses mengguna pakai komputer di fakulti. Mahu tak mahu, terpaksalah berkampung di ofis.

Atas dasar terdesak, saya pernah cuba cari perisian-perisian canggih sebegini di Low Yat. Tetapi tak jumpa.

Sebarang komen/pertanyaan?