Nyata Ada Gaya… 7Up!

Fido-Dido-MrFlowerman-by-Shah-Ibrahim-Sepia-Tone

Kanak-kanak Malaysia yang membesar sewaktu penghujung era 80-an pasti mengenali Fido-Dido. Ikon minuman 7 Up pada zaman tersebut.

Kotak pensel kena ada Fido-Dido. Beg sekolah kena ada Fido-Dido. Botol bekal minuman kena ada Fido-Dido. Dompet jenis velcro (lekat-lekat) pun kena ada Fido-Dido. Kalau tak mampu, terpaksalah beli pelekat Fido-Dido dalam usaha menghias segala khazanah harta yang dimiliki.

Fido-Dido merupakan antara watak kartun terawal saya belajar lukis. Meskipun tampak ringkas, betapa seksanya hendak mendapatkan ‘stroke’ yang tepat. Memang susah nak menjadi. Setelah berjaya mendapatkan konsistensi, tak putus-putus orang minta lukis. Termasuklah ke atas baju.

Dari situ, bermulalah diri ini terjebak menjual t-shirt sewaktu darjah 6.

Prelud Balada West Yorkshire

Prelud Balada West Yorkshire Shah Ibrahim Teaser

Sudah lama Mrflowerman Studio tak hasilkan komik. Selain kekangan masa akibat komitmen lain, faktor kurang sambutan juga suatu penyumbang.

Bagi memenuhi permintaan para peminat tegar, senaskhah lagi novel grafik cetakan terhad bakal terbit pada tahun 2020. Selaku prekuel kepada Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (2012), buku terbaharu ini berjudul Prelud Balada West Yorkshire.

Masih one-man-show (saya tulis/saya lukis/saya warna).

Masih terbit sendiri.

Masih jiwang.

Semoga industri komik Malaysia terus berdiri.

Kuantum VS Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman

Beza Buku Kuantum Dengan Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman

Ramai yang bertanya, adakah KUANTUM sambungan novel grafik Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (CPSF)?

Jawapan ringkasnya, bukan.

Saya melihat KUANTUM dan CPSF sebagai saling melengkapi. Kedua-duanya karya bukan fiksyen berlatarbelakangkan Eropah.

CPSF sewarkah surat cinta dalam format komik. Saya terbit sendiri dalam kuantiti terhad. Buku tersebut sudahpun berjaya menyempurnakan misi utamanya yang saya malu untuk menghurai lanjut.

KUANTUM pula rentetan terperinci perjalanan PhD. Sesuai sekali buat pembaca yang ingin menyelami proses di sebalik tabir pendakian ke puncak menara gading. Tak dapat dinafi, akan ada adegan bertindan antara KUANTUM dan CPSF memandangkan kedua-duanya melibatkan garis masa (timeline) yang serupa.

Penghasilan KUANTUM juga respons saya terhadap permintaan sahabat-sahabat seangkatan yang teringin sangat melihat kehidupan komuniti Malaysia West Yorkshire (2004-2011) dibukukan.

Selain daripada catatan hidup era-90an nukilan Muhamad Bin Ali, setahu saya belum ada lagi buku berkisar kehidupan pelajar di Leeds, UK pasca milenium secara spesifik.

Ingin memahami politik universiti orang putih? Ingin tahu asam garam dunia penyelidikan Sains? Mahu selami kehidupan komuniti Malaysia di Leeds, UK? Semuanya ada dalam KUANTUM. Aspek teknikal bab-bab berkaitan penyelidikan telah banyak saya kurangkan agar buku ini menjadi bacaan santai yang mudah dihadam. Budak sekolah rendah pun boleh baca.

Sekiranya anda seronok membaca siri Budak Meja Belakang, saya yakin anda juga akan terhibur dengan KUANTUM serta CPSF. Bagi mendapatkan impak maksima, saya sarankan kalian membaca KUANTUM dahulu sebelum CPSF.