Memaksima Potensi Diri

Kuantum Shah Ibrahim Zon Selesa

Tinggalkan zon selesa.

Ungkapan ini seringkali kita dengar dalam pakej-pakej nasihat yang menggesa seseorang memperbaiki diri.

Anjuran meninggalkan zon selesa bukanlah bermakna seorang dewasa yang kidal perlu memaksa diri menulis dengan tangan kanan. Mahupun berjalan secara berundur tatkala membeli belah di pasaraya Giant. Sungguhpun tak selesa, itu namanya menyeksa diri tanpa faedah.

Sebaliknya, zon tidak selesa yang ingin diredah diharap akan mengembang portfolio keupayaan diri.

Kanak-kanak berat mulut patut memaksa diri bercakap.

Jaguh kampung patut meninggalkan kampung asal. Tukar arena.

Bagi seorang perantau/pengembara tegar pula, boleh jadi zon kurang selesa yang wajar diterokai ialah duduk diam setempat.

Dalam sedar mahupun tidak, zon selesa tiada skema mahupun standard. Berbeza buat setiap individu. Hanya kita yang mengenal diri.

Berkenan pada seseorang, jangan asyik luahkan sahaja dalam buku (nasihat buat diri saya sendiri walaupun dah selalu terlambat). Terkenang kembali, luahan bertulis yang menelan masa hampir dua tahun lebih selesa berbanding luahan lisan tak sampai lima minit.

Kuch Kuch Hota Hai

Kuch Kuch Hota Hai Pencil Sketch by Shah Ibrahim

Di manakah letaknya kekuatan Rahul Khanna?

Pada namanya kah?

Atau pada t-shirt sendatnya?

Para pembaca Budak Meja Belakang pasti sedia maklum betapa besarnya pengaruh filem Kuch Kuch Hota Hai (KKHH) terhadap generasi saya. Sewaktu KKHH mula ditayang di Malaysia sekitar hujung tahun 1998, saya masih tersangkut di asrama. Sibuk menghadap kertas-kertas SPM.

Kali pertama menonton KKHH, terganggu sungguh diri ini dengan jalan cerita. Perlu ditekankan, saya tak kisah jikalau dalam filem ada elemen tahyul tahap melampau mahupun aksi lagak ngeri yang tak masuk akal. Selaku peminat tegar filem Tamil, saya boleh terima. Termasuklah aksi hero membelasah sekumpulan penjahat berbekalkan sebatang tiang lampu jalan (mentol pun tak sempat dicabut). Ya, filem ini memang benar wujud.

Walau bagaimanapun, bab yang melibatkan soal hati dan perasaan… saya lebih sensitif.

Berbalik kepada filem KKHH.

Zaman kolej, Rahul tak putus-putus menyindir dan mengejek Anjali. Kemunculan Tina Malhotra secara tiba-tiba langsung tak membuatkan Rahul teragak-agak memilih. Cinta hati yang mahu dikahwini ketara jelas. Si gadis berskirt pendek. Anjali yang terpaksa memendam perasaan pula hanya mampu menggigit bucu tingkap kereta api. Ditemani hujan serta trek lagu sedih, dia membawa diri pulang ke kampung halaman.

Masa berlalu. Kehidupan diteruskan. Muncul seorang jejaka baru dalam hidup Anjali. Aman Mehra namanya. Orang yang segak, menetap di London, berkebolehan menari spontan tanpa raptai dan bijak mengambil hati bakal mak mertua. Apa lagi kau mahu?

Andai kata Shah Ibrahim yang berada di tempat Aman Mehra sewaktu majlis tunang, saya tak sesekali terkejut jikalau Anjali yang lengkap bersari terjun tingkap lari dari rumah. Tak sempat menyanyi lagu Saajanji Ghar Aaye. Sebagai lelaki, rasa terkilan sudah tentu terbit di hati. Pokoknya, saya tak terkejut.

Pendek kata, tiada apa yang kurang pada Aman Mehra. Dalam pada itu, si Anjali tetap memilih Rahul.

Hmm…

Anjali Sharma KKHH Blog Coretan Sang Flowerman GIF

Sejarah Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman

Cincin Flowerman Blog Size Coretan Sang Flowerman

KENAPA SAYA MENULIS?

Hal meminati gadis dari jauh boleh disifatkan ‘comel’ tatkala melibatkan kelompok lelaki muda remaja. Namun, situasi sedikit-sebanyak bertukar ke sedih seiring peningkatan usia sang majnun. Pathetic, kata orang putih.

Maklum saja, perilaku ini berkait rapat dengan soal keyakinan diri. Apatah lagi jikalau kesudahan cerita berakhir kecundang. Sama ada gara-gara lambat bertindak mahupun ditolak mentah-mentah.

Hakikatnya, pendaman rasa harus diluah kepada si dia agar hati tidak dibiar tergantung menanggung seksa. Selagi mana si gadis belum ‘diikat’ oleh pihak lain, pada saya peluang masih terbuka luas. Tak cuba, tak tahu. Andai terlepas, kempunan nanti.

Sedikit sejarah…

Terjebaknya diri ini dengan dunia penulisan bermula dari senaskhah novel grafik cetakan terhad. Projek DIY tahap amatur. Saya terbit sendiri guna wang simpanan.

Motivasi pembikinan adalah bagi mengejar agenda hati. Luahan rasa terpendam seorang jejaka pemalu terhadap insan istimewa. Oh, ya… Sebelum ada yang terkeliru, individu yang dimaksudkan bukanlah Farah Melissa dari buku Budak Meja Belakang. Itu kisah zaman belum ada misai.

Kata pujangga, wanita lekas cair dengan grand romantic gesture. Bukankah begitu?

Sayang sekali, Shah Ibrahim tak semewah Shah Jahan. Mana mungkin senibina segah Taj Mahal mampu didirikan. Setelah mencermin keupayaan diri serta baki dalam akaun bank, komik diputus selaku alternatif. Capaian realistik yang juga bermakna.

Usaha solo tersebut memakan masa dua tahun lamanya bermula 2010. Saya tulis. Saya lukis. Saya warna. Menerusi pendekatan simbolisma lukisan, ada banyak mesej tersirat dalam komik Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (CPSF) yang hanya mampu ditafsir oleh ‘si dia’.

Diringkaskan cerita panjang berjela, misi tercapai. Si dia terbeli senaskhah. Mesej hati saya berjaya disalur. Malah, sang gadis turut jelas memahami. Alangkah seronoknya rasa hati. Sehingga mencetuskan aksi tumbukan padu ke udara.

Malang sekali, segala usaha saya langsung tak ubah apa-apa. Sekadar menambah malu pihak lelaki. Aduhai… Sesungguhnya tiada yang lebih tragis daripada kegagalan seorang lelaki memikat wanita, meski dikurnia pelbagai bakat seni.

Apakan daya, soal perasaan tak boleh dipaksa-paksa. Kisah kami terkubur begitu sahaja. Nasib baik saya lukis komik. Kalau terbina Taj Mahal, lagilah membaziaq (bak kata orang Utara).

Himpunan seribu satu kekecewaan daripada episod tersebut saya salurkan secara positif menerusi penulisan dan lukisan. Percayalah, ada unsur terapi tersembunyi di situ.

Segala apa yang kita tulis mahupun lukis pula, tak semestinya dikongsi dengan khalayak umum. Boleh saja disorok bawah tilam. Terpulang kepada individu. Yang penting, luahkan segalanya ke atas kanvas agar kepala tak berterusan serabut. Tak dinafi, hasil magis kadang-kadang terlahir daripada keperitan.

Diberi pilihan, saya pilih kesudahan gembira berbanding keperitan tadi. Rasa-rasanya semua orang pun begitu.

Melihat ke belakang, semua orang boleh tulis apa yang telah dilalui secara peribadi. Melihat ke hadapan pula, segalanya sudah tertulis. Cuma buku tersebut tuan tubuh pun tak dapat baca.

Cendawan Rahsia

Super Mario Pencil Sketch by Shah Ibrahim

Rata-rata ramai kanak-kanak pernah merasa bermain Super Mario Bros (1985). Sama ada di kedai, rumah kawan atau rumah sendiri. Pada suatu hari, dalam cubaan melompat melepasi gaung pertama dalam dunia 1-1, entah macam mana si Mario boleh terhantuk keluar sekaki cendawan hijau secara rambang. Tiba-tiba dapat satu nyawa percuma.

Dagu serta-merta jatuh mencecah lantai. Apa sebenarnya yang berlaku? Game rosak? Unsur mistik? Entahlah. Di peringkat umur satu angka, penjelasan rasional agak terbatas.

Keterujaan diri menggunung tinggi sampai tahap saya tak sabar nak cerita pada kawan-kawan di sekolah. Apatah lagi, saudara-mara di kampung. Rupa-rupanya, ramai dah tahu. Semua orang boleh dapat cendawan rahsia tersebut.

Bercakap soal cendawan hijau, hanya dalam dunia Super Mario sahaja boleh dapat nyawa percuma. Dalam kehidupan nyata, fikirlah dahulu masak-masak.

Super Mario Poison Mushroom GIF Blog Coretan Sang Flowerman

Woodhouse Cemetery

Kuantum Shah Ibrahim Woodhouse Cemetery

Gambar sekitar senja.

Sepanjang tinggal di Kelso Road (Leeds), Woodhouse Cemetery menjadi laluan pintas tetap bagi saya berulang-alik antara rumah sewa dengan fakulti setiap hari.

Tiada masalah meredah tempat ini. Hatta lewat malam sekalipun. Perlu ditekankan, ini bukan cakap besar. Sejujurnya, saya memang spesis manusia takut hantu.

Cuma berbeza dengan Malaysia, aura seram langsung tak terasa di tanah perkuburan orang putih. Tiada asap putih muncul secara rambang. Tiada bau kemenyan. Tiada hantu gigi bermain trompet.