Ada Apa Pada Nombor?

Kuantum Shah Ibrahim Hyde Park Terrace

Ada apa pada nombor?

Foto iringan menunjukkan kediaman terakhir saya di Leeds. Unit pertama betul-betul di sebelah kiri pintu masuk. Orang Leeds pasti tahu. Jalan Hyde Park Terrace. Sebaris dengan gereja Saint Augustine’s Wrangthorn.

Selaku penulis, ada kalanya kita terlepas pandang apa yang dinukil. Sungguhpun perjalanan yang ditempuh sendiri. Dalam hal ini, saya sangat mengagumi ketelitian segelintir pembaca. Lebih teruja pabila dihubungi untuk dikongsi.

Terkini adalah mengenai senarai alamat kediaman saya sepanjang berada di bumi UK (seperti yang tertera dalam buku KUANTUM).

30 Stratford Terrace
30 Kelso Road
30 Hyde Park Terrace

Kesemua rumah kebetulan beralamat nombor 30. Saya pun tak perasan selama ini memandangkan kediaman dipilih atas dasar kekosongan tapak semata-mata.

Terima kasih saudari Sherry Mahanum atas perkongsian trivia. Jika rakan-rakan pembaca ada terjumpa lagi benda-benda semacam ini mohon kongsikan dengan saya, ya?

30, padan pula dengan impian saya menggenggam sijil PhD sebelum usia mencecah angka tersebut.

Taki & Dira: Sebuah Pengenalan

Taki & Dira Shah Ibrahim Framed

Taki&Dira (2013) adalah percubaan pertama saya menghasilkan novel bisu. Proses yang mencabar juga dalam usaha memastikan mesej serta konflik sampai ke ‘pembaca’ secara efektif tanpa dialog mahupun sebarang naratif.

Di luar jangkaan, sambutan paling baik diterima daripada golongan kanak-kanak meskipun mereka bukanlah sasaran asal tatkala novel ini dibikin.

Episod ini mengajar saya betapa seseorang pengkarya tak mampu meramal kategori pembaca yang bakal tertarik pada satu-satu karya. Apa sekalipun, yang penting ada orang sudi baca. Bukankah begitu? 

Klik SINI untuk beli.

Nyata Ada Gaya… 7Up!

Fido-Dido-MrFlowerman-by-Shah-Ibrahim-Sepia-Tone

Kanak-kanak Malaysia yang membesar sewaktu penghujung era 80-an pasti mengenali Fido-Dido. Ikon minuman 7 Up pada zaman tersebut.

Kotak pensel kena ada Fido-Dido. Beg sekolah kena ada Fido-Dido. Botol bekal minuman kena ada Fido-Dido. Dompet jenis velcro (lekat-lekat) pun kena ada Fido-Dido. Kalau tak mampu, terpaksalah beli pelekat Fido-Dido dalam usaha menghias segala khazanah harta yang dimiliki.

Fido-Dido merupakan antara watak kartun terawal saya belajar lukis. Meskipun tampak ringkas, betapa seksanya hendak mendapatkan ‘stroke’ yang tepat. Memang susah nak menjadi. Setelah berjaya mendapatkan konsistensi, tak putus-putus orang minta lukis. Termasuklah ke atas baju.

Dari situ, bermulalah diri ini terjebak menjual t-shirt sewaktu darjah 6.

Prelud Balada West Yorkshire

Prelud Balada West Yorkshire Shah Ibrahim Teaser

Sudah lama Mrflowerman Studio tak hasilkan komik. Selain kekangan masa akibat komitmen lain, faktor kurang sambutan juga suatu penyumbang.

Bagi memenuhi permintaan para peminat tegar, senaskhah lagi novel grafik cetakan terhad bakal terbit pada tahun 2020. Selaku prekuel kepada Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (2012), buku terbaharu ini berjudul Prelud Balada West Yorkshire.

Masih one-man-show (saya tulis/saya lukis/saya warna).

Masih terbit sendiri.

Masih jiwang.

Semoga industri komik Malaysia terus berdiri.