Musim Bunga Di Kelso

Kuantum Shah Ibrahim Kelso Spring

Berbeza dengan tanahair yang beriklim serupa sahaja sepanjang tahun, kitaran musim di tempat-tempat terpilih atas muka bumi ciptaan Ilahi ini ibarat checkpoint. Buat kelompok perantau dengan sasaran tempoh kelana tertentu, checkpoint yang dimaksudkan boleh dilihat sebagai peringatan berkala. Cukup putaran empat musim, maka genaplah setahun. Pejam. Celik. Pejam. Celik. Tarikh luput visa semakin hampir.

Mac 2011. Saya masih di Kelso. Salji di luar sudah cair sepenuhnya. Cherry blossom berputik. Tupai gebu-gebu mula berkeliaran tanpa segan silu. Bukti musim dingin 2010 telah berlalu pergi. Terus terang kata, tiada yang lebih indah daripada kemunculan musim bunga tatkala hati turut sama berbunga. Nikmat pastinya berlipat ganda andai kata aroma kepelbagaian flora di luar dapat disedut cium semahu-mahunya. Malang sekali, jendela rumah terpaksa bertutup.

Ironi buat seorang bergelar MrFlowerman, saya alah debunga. Sekejap-sekejap bersin. Mata naik merah. Hingus pula akan meleleh halus tanpa henti serupa paip sinki yang kehausan getah sesendal. Anehnya sepanjang menetap di bumi Uncle Sam sekitar sedekad sebelum, isu alahan tak pernah pula timbul. Aspek ini saya sendiri keliru. Boleh jadi faktor spesis debunga unik yang berada di sekeliling West Yorkshire. Boleh jadi juga imunisasi diri telah beransur pudar penangan usia. Hanya Tuhan yang lebih mengetahui.

Ada orang yang sampai tahap terpaksa menahan simptom alahan berterusan selama 24 jam. Tidur malam cukup terseksa. Makan ubat pun tak jalan. Dalam kes-kes ekstrem sebegini, individu berkenaan disaran ambil suntikan. Hayfever injection.

Nasib baik ada Wolfson Nanotechnology Cleanroom di aras bawah tanah bangunan fakulti. Fasiliti pemprosesan semikonduktor yang bebas habuk serta debu. Para pengguna juga dikehendaki berpakaian seragam ala ninja. Selaku pembantu pengajar di makmal tersebut, saya dikurnia akses penuh. Kelebihan yang rugi sekiranya tidak dimanfaatkan. Setiba musim bunga setiap tahun, di sinilah saya berkurung sepanjang hari sehingga terbenam matahari sebab alahan saya hanyalah terhadap debunga siang.

Sepulang ke Kelso, tingkap rumah akan saya buka seluas-luasnya bagi meneutralkan kekepaman yang semakin ketara. Biasalah, rumah bujang dan bau kepam berpisah tiada. Tuala lembap suspek utama. Bagi merehatkan minda yang letih bekerja sepanjang hari, gitar klasikal jenama Marlin dicapai. Di persimpangan cerita, saya sedang obses dengan album Unplugged Search ‘Gema di Timur Jauh’. Kalian yang tak biasa layan, cuba dengar bahagian instrumental intro akustik lagu Kejora.

Fuh, meremang!

Sambil jari-jemari menari-nari atas enam utas tali nylon, cubaan mengusyar seseorang menerusi jendela tetap diteruskan seperti biasa. Setiap malam tanpa gagal. Kadang-kadang dia lalu. Kadang-kadang tidak. Bab ini saya istiqamah tak kira musim. Lagipun, bunga ini saya tak alergik.

Hantu Kak Limah

Usop Wilca Pencil Sketch by Shah Ibrahim

“Siapa yang setuju nak bakar rumah Kak Limah, sila angkat tangan macam saya…”

Sabtu, 19 Mac 2011. Genap tujuh tahun berlalu.

Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah sedang hangat menjadi sebutan. Rata-rata semua orang memuji. Dalam komuniti kecil kelompok Melayu bawah tanah di Leeds, umum mengetahui Mat Zain ‘Hacker’ stokis terbaik filem-filem serta drama-drama tempatan dari tanahair. Dari mana dia dapat, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Dari rumah sewa Kelso, saya menapak ke Woodsley Terrace. Bersama Dr Farid dan Azmi Sapian yang hidup berjiran di situ, sesi ziarah ke rumah Mat Zain disepakati bertiga. Outing spontan dalam usaha memecah rutin melayan Xbox 360 setiap hujung minggu. Kalau tidak, para ayah sahaja yang bolot gamepad. Kasihan anak-anak tengok ternganga.

Perjalanan dimulakan sekitar jam 10 malam dari Woodsley. Kami naik kereta Dr Farid. Di persimpangan cerita, Mat Zain sedang menetap di Lunan Place, Harehills. Serumah dengan Joe Bantal Kekabu yang banyak disebut dalam buku Kuantum.

Logo Astro First yang tertera pada skrin sepanjang tayangan jelas membuktikan sumber salinan video yang kami tonton. Berbekalkan kudapan dari Chicken Cottage, filem sempoi terbaharu arahan Mamat Khalid dilayan penuh keterujaan. Lawak pun lawak. Seram pun seram. Tak dinafi, watak Usop Wilca lebih menonjol kali ini berbanding Zombi Kampung Pisang. Segala benda mahu dibakarnya.

Tayangan tamat sekitar tengah malam. Tuan rumah pun dah berpura-pura menguap dalam usaha menghalau secara sopan. Tiba masanya kami pulang. Nasib baik datang berkereta sebab servis bas awam Leeds berakhir jam 11:30 malam.

Dari parkir Woodsley Terrace, saya berjalan kaki pulang ke Kelso Road. Setiap langkah yang diambil terasa luar biasa laju. Sepanjang menapak, saya terbayang-bayang kemunculan figura berdiri senget persis adegan Kak Limah menyakat Pak Abu (lakonan arwah Zami Ismail).

Seperti yang pernah dinukilkan sebelum ini, aura seram langsung tak terasa tatkala berjalan malam di negara-negara sebelah barat. Hatta merentas tanah perkuburan. Dalam pada itu, adegan statik sekadar beberapa saat yang dimaksudkan tadi berjaya melekat dalam kepala sehingga menganggu jiwa. Seriau betul.

Andai ditakdirkan Kak Limah tiba-tiba muncul, memang saya lari dengan kasut but Karrimor di tangan.

Awie Lari Hantu Kak Limah Blog Coretan Sang Flowerman GIF

Seattle Sound

Eddie Vedder Pencil Sketch by Shah Ibrahim

Lagu Alive, trek ke-3 album Ten kugiran Pearl Jam.

Gelongsoran jari sepanjang leher menjauhi badan gitar elektrik sehingga terhentamnya kord A pembuka lagu masih terngiang-ngiang dalam kepala. Buat pengetahuan kawan-kawan, bunyi spesifik inilah yang menggerakkan saya mencapai gitar 19 tahun yang lalu. Sungguhpun ramai berpendapat yang grunge sudah mati, genre tersebut masih ALIVE dalam jiwa ini.

Long live Seattle sound.