Cetakan Kedua Budak Meja Belakang

Budak Meja Belakang

Budak Meja Belakang mula memasuki toko-toko buku utama serata Malaysia sepanjang bulan Oktober 2017. Menjelang hujung tahun saya terima banyak rungutan daripada teman-teman yang telah bersusah-payah ke kedai dengan semangat berkobar-kobar untuk mendapatkan BMB, namun hampa setelah diberitahu oleh petugas kedai “buku kehabisan stok.” Anggapan saya, stok tersimpan di cawangan-cawangan tersebut memang sedikit. Situasi normal buat pendatang baru yang belum kukuh nama. Barangkali itu sebabnya buku ‘cepat habis’.

Tanggal 4 Januari 2018, saya mendapat khabar daripada wakil Komrad Buku mengatakan stok BMB di stor penerbit sendiri juga telah habis licin. Lantas mereka terus melancar gerak kerja cetakan berikutnya. Sejujurnya, tak sesekali saya menjangka yang diari perjalanan meniti alam persekolahan ini bakal mendapat respon luar biasa.

Cetakan kedua BMB siap dicetak (keluar kilang) pada tarikh 9 Februari dan mula diagih ke kedai-kedai. Dalam kalangan rakan-rakan pembaca, ada yang berbesar hati berkongsi dengan saya penemuan naskhah terbaharu. Contohnya, foto bertarikh 4 Mac kiriman seorang teman pembaca sewaktu kunjungan beliau ke MPH Bookstore cawangan Mid Valley.

Budak Meja Belakang
Foto kiriman Ly Liena

Terukir Di Bintang

MrFlowerman berangan

Semenjak detik itu, diriku terhenti daripada dibelenggu oleh hukum fizik.

Graviti tidak lagi mampu mengikatku ke bumi.

Alam sekeliling tersusun rapi seolah-olah menafikan kewujudan entropi.

Bintang-bintang yang terukir di langit tampak begitu hampir buat ku kutip.

Aku mula percaya tiada apa yang mustahil.

Langit kini tiada sempadan.

Adakah ini yang dimaksudkan ‘dalam hati ada taman’?

40 Pengikut

Pengikut FB Shah Ibrahim

Dalam kitar hidup manusia, setiap milestone perlu dirai. Biarpun betapa kecil.

Semua orang bermula dari sifar. Alhamdulillah, semalam genap 40 pengikut.

Terima kasih kawan-kawan yang sudi follow. Sokongan kalian amat dihargai.

Barulah cukup kuorum Solat Jumaat.

Adakah Blog Masih Relevan?

Blog Shah Ibrahim

Pendedahan terawal diri ini kepada dunia web log atau istilah rangginya, ‘blog’ adalah sekitar penghujung tahun satu pengajian di bumi Uncle Sam. Awal millenium, ramai pengguna internet segenerasi mula beralih dari Geocities yang malap ke platform Blogspot yang ceria. Tatkala budaya menulis blog sedang berkembang mekar, saya tergolong dalam kelompok pengguna pasif. Dengan kata lain, tukang baca.

Aspek paling menarik berkenaan dunia blogging di awal kemunculannya ialah bila mana ramai penulis cenderung mencurah perasaan secara mentah ke alam maya. Tiada tapisan. Tiada suntingan. Segalanya rambang. Seolah-olah wadah tersebut tidak boleh diakses oleh orang awam. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa banyaknya luahan pelik serta mengejutkan yang pernah saya jumpa. Impak kejutan pasti bertambah pabila para ‘penulisnya’ kita sendiri kenal.

Apa pun jua, pembaca tak wajar dipersalahkan. Internet is public domain. Jikalau tak mahu orang lain baca, seeloknya tulis dalam diari. Kemudian sorok bawah tilam. Segala pengalaman menskodeng secara maya ini akan saya ceritakan dengan lebih terperinci dalam sambungan Budak Meja Belakang, Life in the USA (judul sementara buat masa ini). Mohon sokongan serta doa kawan-kawan agar projek ini berjaya.

Sebelum mendaftar MrFlowerman Studio dengan SSM lagi, saya sudah terpanggil untuk melancar laman web. Satu cabang aktiviti yang belum pernah saya teroka seumur hidup sebab memang tak minat di samping buta IT. Kini, segalanya jauh lebih mudah dengan kewujudan pelbagai kaedah template seperti WordPress. Kadar web hosting pun semakin hari semakin kompetitif. Fuh, macam iklan Trivago pula.

Walaupun belum ada sebarang produk, resam di tanahair mendesak seseorang peniaga agar memiliki kad bisnes cantik berkilat serta laman web. Barulah masyarakat memandang tinggi. Kita pun bakal dilihat sebagai CEO yang serius malah disegani. Hendak tampak hebat lagi, bolehlah beli sijil PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.

Sepanjang tempoh laman web MrFlowerman Studio beroperasi, saya hanya sekadar memuat naik portfolio hasil seni lukis semata-mata. Belum pernah tergerak hati memuat naik sebarang entri bertulis. Tetapi, sejak akhir-akhir ini tiba-tiba rasa terpanggil pula. Sekurang-kurangnya, selaku arkib himpunan segala entri penulisan yang pernah dimuat naik ke FB (sebagai permulaan). Dari situ, tengoklah kemudiannya macam mana.

Sehubungan ini, saya ingin bertanya pendapat kawan-kawan yang berpengalaman, adakah blogging masih relevan pabila ramai lebih mengerumuni Facebook? Jika tak keberatan, ada tak yang sudi berkongsi alamat blog kalian (yang masih aktif) buat saya skodeng?