Novel Kifayah: Behind The Scenes 2

Selain karya-karya arwah Mamat Khalid, Sini Ada Hantu (2011) merupakan antara filem horror-comedy tempatan yang saya tak jemu tonton. Superb, yet severely underrated.
Filem (atau telefilem?) ini berbentuk cerita dalam cerita. Sambil mengusung jenazah seorang India ke destinasi, dua sahabat (seorang Cina dan seorang Melayu) saling bertukar kisah seram sepanjang perjalanan mereka memandu van mayat secara bergilir.
Setiap kisah pendek yang dipaparkan ternyata menggerunkan. Personal favorite saya tentunya hantu Fasha Sandha.
Konsep ‘cerita dalam cerita’ sebegini sering diguna pakai dalam genre seram. Sekumpulan watak disaji dengan cerita tatkala berkampung setempat di lokasi sunyi. Rombongan pengakap yang sedang berkhemah di hutan, misalnya. Atau budak-budak sebilik di asrama sewaktu malam black out. Atau seorang nenek bercerita sambil mendodoi cucu-cucunya tidur.
Cuma dalam kes ‘Sini Ada Hantu’, wujud banyak perubahan lokasi agar penonton tak jemu. Malah di setiap check point selingan di antara cerita pun, ada hal-hal mistik yang berlaku.
Saya terinspirasi banyak dengan filem ini sewaktu menulis. Benih idea projek Kifayah berputik selepas menonton ulang filem ini sekitar tahun 2022. Tetapi, saya tak mahulah Kifayah menjadi sekadar klon Sini Ada Hantu. Idea saya tetap memerlukan kelainan.
Cabaran pertama ialah beralih jauh daripada format antologi kisah pendek. Untuk novel, saya kurang berminat membuat ‘cerita dalam cerita’. Maka, saya mencabar diri untuk kerangka naratif berfokus kepada sekujur mayat yang sedang diusung itu semata-mata.
Cabaran kedua dalam pembikinan Kifayah pula ialah menyaji latar suasana yang segar. Saya mahu lari dari laluan-laluan tipikal seangkatan Karak Highway di Malaysia. Jadi, saya pilih United Kingdom terus. Pengalaman hidup di sana amatlah membantu dalam aspek ini.
Cabaran ketiga pula berkenaan timeframe. Umum tahu, urusan kebumi mayat harus disempurnakan segera. Oleh itu, timeframe keseluruhan novel secara automatik terbatas setakat dua tiga hari bermula dari detik kematian.
Apa benda nak diceritakan dalam manuskrip tebal yang harus mencecah 70-80 ribu patah perkataan?
Saya perlu berusaha menyaji subplot-subplot relevan yang berharmoni dengan konflik utama. Bukan sekadar ‘filler’. Dan tak mahulah meleret-leret. Payah juga usaha ini. Hinggakan draf awal terpaksa dirombak banyak kali. Tambah, tolak, darab dan bahagi… Akhirnya, saya berpuas hati. Alhamdulillah, segala ilham adalah kurnia Ilahi.
Kemudian, barulah terbit sekelumit keyakinan untuk mengaju proposal kepada pihak Karangkraf. Alhamdulillah sekali lagi, ada jodoh di situ. Saya berharap kawan-kawan yang dah baca terhibur dengan Kifayah. Novel fiksyen saya yang pertama bukan komik.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!