Nebraska

Sebagaimana seri pemandangan pepohon cherry blossom kini sudah bisa dinikmati di utara semenanjung tanahair, begitu juga dengan gulungan jerami. Saya dengar di Kedah pun ada.

Foto ini gambar terakhir daripada album Summer Road Trip 2001 yang sempat dirakam dalam perjalanan pulang dari Wyoming menuju Indiana.

Perjalanan pergi kami ikut South Dakota. Perjalanan pulang sengaja kami ikut laluan Nebraska. Sejak kembara dilancar, kami memang tiada langsung niat mahu masuk negeri ini.

Dari segi reputasi, Nebraska bukanlah tempat yang sengaja orang datang singgah. Malah, anak negeri ini sendiri ramai yang merantau keluar untuk cuba tuah di tempat lain. Sehingga menjadi bahan jenaka peringkat nasional.

Contoh kontemporari yang saya boleh beri ialah watak Penny daripada sitkom Big Bang Theory. Blah dari Nebraska. Cari rezeki di California.

(Di saat menulis kalau kami tahu gadis Nebraska seseksi watak lakonan Kaley Cuoco, pasti kami singgah lebih lama. Silap-silap, mohon berpindah universiti.)

Pendek kata, Nebraska pada waktu itu kurang memanggil. Mengambil kira faktor kos dan masa, kami juga harus bersikap selektif. Tak mampu hendak menjelajah keseluruhan bumi Uncle Sam yang terdiri daripada 50 buah negeri. Tambahan pula, semester musim luruh 2001 di ambang bermula. Perlu rehat fizikal (road trip sangat memenatkan). Perlu juga mempersiap mental.

Dalam pada itu, kami sengaja pilih laluan Nebraska untuk pulang ke Indiana. Sekadar cukup syarat. Setia pada lebuh raya semata-mata. Setidak-tidaknya, ada juga kenangan.

Gulungan jerami di tanah lapang tepi lebuh raya pada suatu ketika kelihatan sangat-sangat memanggil. Kereta dihentikan serta-merta di bahu jalan. Kami sekereta berlima. Pemasa pada kamera waktu itu pula terbatas. Tak sempat meluru ke tengah padang, kamera dah tembak. Terpaksalah setiap seorang beralah secara bergilir.

Posing bersepah sebegini memang resam jejaka Melayu pada waktu itu. Pengaruh gaya berfoto kugiran-kugiran rock kapak era 90-an barangkali. Tapi saya fikir trend ini sudah pupus. Atau mungkin saya silap. Lagipun, saya dah lama tak bergambar.

Sebarang komen/pertanyaan?