Napster

Budak Meja Belakang: Pax Americana (Deleted Chapter 7)

Sepanjang pengajian di Purdue, saya tidak pernah memiliki komputer peribadi mahupun laptop. Bukan soal duit. Saya ada alasan peribadi. Jadi, setiap kali timbul keperluan untuk guna internet serta PC, saya terpaksa bergerak ke makmal-makmal komputer serata kampus.

Sambil menyiapkan tugasan di situ, saya rajin memuat turun lagu menerusi Napster. Perisian Napster yang boleh dimuat turun secara percuma merupakan antara platform perkongsian fail generasi terawal sekitar millenium. Peer-to-peer (P2P) file sharing, dalam istilah hari ini.

Tanpa pengetahuan asas mahupun panduan guna, masing-masing pakat meredah sahaja. Belajar secara eksperimentasi kadang-kadang mengundang bala juga.

Saya pernah cuba memuat turun demo lagu Creeping Death (Metallica). Tetapi sebaik fail dibuka, rupa-rupanya klip video pendek sekumpulan wanita sedang berak beramai-ramai di padang. Euw! Pemandangan jijik yang tak pernah masuk dalam senarai impian.

Ya Tuhan! Saya berharap sangat pengguna-pengguna komputer di barisan meja belakang saya tak perasan dan mula berprasangka buruk yang mamat Asia berambut panjang di hadapan mereka punyai kecenderungan aneh. Mana tidaknya, video terpacul secara full-screen! Nasib baik PC di makmal tiada speaker.

Tak sangka, ada juga pemuat naik yang keji. Nama fail lain. Isinya pula lain. Tak kurang juga fail-fail yang turut disisip virus.

P2P file sharing zaman awal dahulu tiada preview mode. Saya yang naif dan buta IT pada waktu itu pun belum faham perbezaan antara format mp3 (atau ra: real audio) dengan MPG (video). Ini sepatutnya menjadi pembayang awal.

Trauma tetap trauma. Apa pun jua, saat diri mula terjebak memuat turun lagu, isu hakcipta belum dikecoh-kecoh di Amerika. Malah, pihak pengurusan kampus pun tidak melarang. Rata-rata semua orang selamba guna.

Dalam senarai sasaran, lagu-lagu Metallica paling banyak saya ‘sedut’ dari internet. Perlu ditekankan, saya bukanlah penyokong cetak rompak. Selaku peminat tegar, kesemua kaset album utama serta pita video konsert Metallica saya peroleh yang asli. Teman-teman serumah selaku saksi.

Cuma lost footage era 80-an serta demo lagu akan saya cari di internet kerana teringin sangat hendak belajar variasi petikan solo gitaris Kirk Hammett bagi lagu-lagu tertentu. Lagipun, benda-benda ini tiada di pasaran. Kalau wujud, dah lama saya borong.

Hendak dijadikan cerita, Metallica jugalah yang paling gigih berjuang menghancurkan Napster menerusi perintah mahkamah sehingga Napster terpaksa tutup operasi sekitar pertengahan tahun 2001. Kononnya, Metallica geram ekoran demo lagu I Disappear tiba-tiba meluas tersebar sebelum diperkenal secara rasmi.

Pada zaman tersebut, sesebuah lagu baharu hanya akan dilancar menerusi slot MTV World Premier. Tepat jam 8 malam (central time/waktu Chicago), para peminat seperti saya akan tercongok depan TV ibarat menanti pengisytiharaan oleh Penyimpan Mohor Besar. Sanggup saya melengahkan agenda ke Hicks Library semata-mata untuk ini. Pita VHS kosong pun saya standby. Ready to record.

Jauh sebelum masuk pasaran, lagu I Disappear sudah tersebar luas menerusi corong-corong radio utama. Haha. Stesen radio pun cilok mp3. Napster menjadi kambing hitam. Terkenang kembali, Metallica kecoh-kecoh pun tak guna. Lagu tersebut pada saya hampeh. Komen jujur daripada seorang peminat fanatik.

Jika kalian pernah menonton filem The Social Network tentang sejarah penubuhan Facebook, watak lakonan Justin Timberlake itulah salah seorang pengasas Napster. Sean Parker namanya.

Walaupun Napster akhirnya lenyap ditelan sejarah, sekitar waktu yang sama muncul pula Kazaa sebagai pengganti. Aktiviti memuat turun mp3 terus berleluasa.

Hanya selepas saya meninggalkan Purdue, barulah pihak kampus mula merombak polisi penggunaan internet. Apa yang boleh. Apa yang tak boleh. Evolusi yang turut dirasai di peringkat nasional secara am.

Detik sulung menggunakan Kazaa di US dahulu, lagu pertama yang menjengah fikiran saya ialah Memburu Impian. Rasa-rasanya, semua orang pun sama.

Kuuu… Jejak. Jalan yang berrrr-liku…

Sebarang komen/pertanyaan?