Mount Rushmore

Musim Panas 2001.

Dari Minnesota, kami menerjah masuk sempadan South Dakota lantas terus ke Pekan Keystone. Kira-kira sepuluh jam memandu ke arah barat.

Impian kami adalah untuk bergambar di Mount Rushmore kala matahari terbenam. Entah kenapa masing-masing tiba-tiba mendambakan nuansa romantik. Padahal semua lelaki.

Alhamdulillah, kami sempat sampai dengan selamat menjelang lewat petang. Foto berlatar belakangkan ukiran gergasi kepala mendiang empat Presiden berjaya dirakam.

Dari kiri: George Washington (Presiden pertama USA), Thomas Jefferson (Pengarang Declaration of Independence), Theodore Roosevelt (saya tak ingat apa peranan signifikan beliau) serta Abraham Lincoln (penghapus amalan hamba abdi kulit hitam). Keempat-empat nama tokoh ini, kita sebagai orang luar pun biasa dengar.

Setiap satu kepala berketinggian mencecah hampir 20 meter. Barangkali ramai belum sedia maklum, batu-batu berterabur memenuhi lereng bukit itu sebenarnya bahan lebihan kerja-kerja tak siap. Ketua projek meninggal sejurus fasa kepala tamat. Tambah pula dengan dana yang terhenti, projek pun akhirnya terbengkalai.

Sepatutnya monumen Rushmore siap sampai badan. Malah, proposal asal turut mengimpikan kewujudan ruang interior yang boleh dimanfaatkan di sebalik kepala setiap satu tokoh. Pergh, dah macam rumah Thundercats! Masalahnya, siapa sanggup panjat untuk menziarah nanti. Namun, idea yang disifatkan merepek ini tidak terlaksana.

Apa pun jua, nasib baik kepala berjaya disempurnakan dahulu sebelum projek terhenti. Sekurang-kurangnya ada hasil. Bayangkan pula sekiranya badan sahaja siap dahulu.

Blog Coretan Sang Flowerman Mount Rushmore Rahsia Yang Disorok

Sebarang komen/pertanyaan?