Menulis Untuk Melupakan

Henry Miller (seorang penulis Amerika) pernah berkata, “The best way to get over a woman is to turn her into literature.”

Detik sulung ungkapan ini menyapa mata, berminggu-minggu juga bergema dalam kepala. Sehingga saya terpanggil untuk menjadikannya epigraf buku Taki & Dira (2013). Sungguhpun karya tersebut fiksyen semata-mata, watak Dira (Nadira) sebenarnya diinspirasikan oleh seseorang.

Berbalik kepada kata-kata Henry Miller tadi, saya agak skeptikal juga di saat awal. Sekilas pandang seakan paradoks, bukan? Ya lah, hajat di hati mahu melupakan si dia tetapi kaedah yang dipilih pula seakan mengabadikan. Setelah mencuba sendiri, keberkesanan jelas terbukti. Perlahan-lahan, saya mula nampak di celah mana datangnya magis.

Sama ada kita jujur mahu mengaku ataupun tidak, dalam hal melibatkan soal hati dan perasaan, jiwa enggan melupakan. Meskipun hati sudah lama melepaskan tali, kotak memori masih berpaut pada sisa kenangan bersama. Yang ini ternyata sukar dibuang.

Benar, memang perit pabila dikenang semula episod-episod lampau yang berkesudahan pahit. Namun di sebalik kepahitan tersebut, tentu terselit sama bibit-bibit manis. Lumrah manusia, kenangan indah lazimnya mahu disimpan. Sedangkan orangnya pula mahu dilupakan. Pergelutan ini cenderung menyerabutkan minda.

Pembukuan kenangan sebenarnya satu ikhtiar meringankan beban otak. Saat menulis, minda kita sedar bahawa kenangan tersebut telah dicoret. Sekiranya mahu, bila-bila masa sahaja boleh dibelek semula memandangkan segalanya telah masuk arkib. Dan bukan lagi dalam kepala. Barangkali ini justifikasi keberkesanan menulis dalam usaha melupakan seseorang. Sekadar pandangan peribadi.

Oh, ya. Perlu ditekankan di sini, saya menyarankan menulis semata-mata menulis. Dalam erti kata, menulis untuk diri sendiri. Coret dalam diari. Buka blog peribadi. Apa jua medium dalam had capaian. Segala yang ditulis pula tidak semestinya dikongsi dengan khalayak umum. Jikalau ada hajat ke arah komersil, itu memerlukan diskusi lain.

Sungguhpun bermula sebagai saluran terapi peribadi, saya sendiri tak sesekali menjangka akan terlajak menulis sampai enam buku. Lima buku solo. Satu projek kompilasi. Selain banyak lagi draf-draf peribadi yang belum sedia dikongsi. Testimoni betapa serabutnya jiwa ini. Tetapi alhamdulillah, angau dah lama hilang. Emosi dah kembali terpantau.

Anyways…

Andai umur masih panjang dan jodoh aturan Ilahi sempat saya temui atas muka bumi ini, besar kemungkinan tidak akan ada sebarang buku ditulis mengenai kami. Bibit-bibit kehidupan yang kelak dinikmati bersama mahu saya kenang selagi hayat dikandung badan.

Like I said, I write to forget. But I want to remember ‘us’ forever.

Sebarang komen/pertanyaan?