Menilai Buku Daripada Kulit

Album Metallica yang pertama saya beli ialah Black Album. Album keluaran tahun 1991 yang menampilkan trek legenda, Enter Sandman. Saya beli kaset tersebut pada tahun 1999. Tak susah mana pun hendak menjejaknya di kedai. Hanya perlu cari pakej kaset berwarna hitam.

Buat kalian yang mungkin belum sedia maklum, rekaan kulit Black Album sekadar kanvas hitam kosong. Sebenarnya, ada ilustrasi ular kecil di penjuru. Cuma hampir tidak kelihatan kerana turut diwarnakan hitam (sesetengah cetakan berwarna kelabu gelap). Makna kata, serupa tak payah letak.

Kaset Metallica Black Album 1991 Blog Coretan Sang Flowerman Shah Ibrahim
Black Album Metallica (1991)

Dalam pada itu, jualan album laku keras tahap pisang goreng panas. Kaki metal sedunia tetap beli. Termasuklah saya. Kami beli sebab minat. Kami beli untuk mendengar lagu.

We did not judge a book by its cover.

Seawal usia sekolah rendah, rata-rata kita semua dah terdedah kepada ungkapan Inggeris ini. Metafora yang lazim diguna pakai dalam saranan agar jangan sesekali menilai sesuatu berdasarkan aspek luaran semata-mata. Tetapi kali ini, ayuh kita bersembang pula tentang sudut yang jarang diteroka, iaitu maksud literal ungkapan.

Kulit luar sesebuah buku mempunyai nilai berbeza buat setiap pembaca. Ada kelompok yang langsung tidak ambil peduli asalkan isinya bagus. Ada pula yang terlalu terkesan sampai tahap tak sanggup membaca atas alasan ‘cover buruk’. Pada mereka, cover art mesti cantik. Tatabahasa isi buku tunggang-langgang tak mengapa. Perlu ditekankan, dalam hal sebegini tiada satu kelompok yang lebih mulia. Masing-masing ada hak memandangkan tujuan membaca berbeza-beza.

Bergantung pada saluran penerbitan, ada kalanya seseorang penulis langsung tiada kuasa mahupun suara dalam menentu hala tuju rekaan kulit buku. Kuasa veto berada di tangan penerbit yang menaruh kepercayaan penuh kepada ‘in-house designer’ mereka.

Tak dinafi, sesetengah penerbit sudi memberi peluang kepada penulis untuk menyumbang input peribadi. Di sini ada unsur timbang rasa. Nasib serupa juga bisa menimpa proses penetapan judul akhir manuskrip. Penerbit berhak mengubah jika dirasakan kurang padu.

OK, sebelum bertindak gopoh atas dasar emosi, seseorang penulis harus sedar akan beberapa perkara.

Kebanyakan rumah penerbitan memiliki konsep branding tersendiri yang mahu dipelihara. Bukan setakat roh dan jiwa buku-buku keluaran mereka sahaja. Bahkan, rekaan kulit juga harus konsisten. Misalnya barisan produk Kata Pilar dan Roman Buku, contoh kontemporari.

Malah, ada penerbit yang sampai tahap meletak batasan pada judul. Contoh terbaik, FIXI. Judul buku-buku mereka hanya sepatah perkataan. Font type kekal sama sehingga ke hari ini. Memang sempoi.

Penerbit buku indie tentu mahu ketengahkan judul berbaur santai. Penerbit berkecenderungan sastera pula pasti mahu memelihara identiti formal. Atas dasar ini jugalah seseorang penulis wajib mengkaji kesesuaian sasaran penghantaran karya. Jangan hantar ikut suka. Tak mustahil manuskrip kita ditolak bukan kerana tak bagus. Tetapi sebab tak padan dengan jenama. Sekadar nasihat selingan.

Berbalik kepada rekaan kulit buku, aspek ini bukanlah sesuatu yang kritikal buat kelompok penulis otai dan berpengaruh. Para peminat sedia ada jarang peduli. Mereka hanya memasang harapan tinggi terhadap isi. Sebaliknya pula bagi pendatang baharu tanpa nama, hanya rekaan kulit luar yang mampu memancing bakal pembeli.

Peluang tunggal buku nukilan kita dicapai keluar secara rambang dari rak kedai lantas dibelek. Belum tentu pun diusung ke kaunter juruwang. Ini baru senario hipotetikal di premis fizikal. Apatah lagi, katalog buku online. Hanya padanan judul serta ilustrasi kulit selaku impresi pertama. Para pembaca tak mampu meramal kualiti isi. Sinopsis kekal sinopsis.

Bakal penerbit patut mempertimbang input daripada pemilik manuskrip yang pastinya lebih mengenali karya sendiri. Sebagai pendatang baharu pula, seseorang penulis wajar menghormati ilmu dan pengalaman pihak penerbit yang lebih memahami selok-belok industri. Hal-hal seperti trend semasa, selera terkini pembaca serta iktibar daripada kesudahan produk-produk lampau mereka; tentu sekali di ambil kira dalam membuat keputusan. Mustahil ada penerbit ingin mensabotaj penulis sendiri.

Jadi, apakah sebenarnya ‘take home message’ daripada diskusi ini? Kata kuncinya ialah kompromi.

Secara peribadi, saya lekas beralah dalam hal seperti rekaan kulit serta judul buku. Cuma aspek isi serta naratif akan membuatkan saya berfikir berulang-kali. Ada masanya juga, titik kompromi langsung tidak dapat dicapai dari sudut content. Dalam kes sebegini, penyelesaian mudah ialah menerbit sendiri. Nama sahaja penyelesaian mudah. Sengsara dan cabaran menerbit sendiri lain pula ceritanya.

Sekadar trivia, rekaan akhir kulit buku Budak Meja Belakang serta Kuantum ternyata menyimpang jauh daripada usul cadangan asal saya. Secara kebetulan sahaja, kedua-duanya berwarna biru meskipun terbit di bawah panji dua penerbit berbeza.

Budak Meja Belakang Shah Ibrahim Cover Considerations
Senarai pendek rekaan kulit buku Budak Meja Belakang
Kuantum Shah Ibrahim Pink Cover
Tahukah anda, buku Kuantum nyaris berwarna pink?

Karya saya yang seterusnya, entah apa pula warna. Melihat jauh ke hadapan, teringin juga nak ada buku berwarna kuning. Bukan kuning rumah sukan. Tetapi kuning pastel. Adakah impian kecil ini akan terlaksana? Bersama-sama kita tunggu dan lihat.

Andai kata berakhir biru juga, kalian janganlah marah. Keep calm and stay blue.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!