Memphis

Tahun 2002. Dari Missouri, kami memutuskan untuk bergerak ke Memphis. Bandar kedua terbesar dalam negeri Tennessee. Sungguhpun bandar ini memiliki reputasi sebagai lubuk muzik blues, di mata dunia Memphis lebih sinonim dengan nama Elvis Presley. The King of Rock and Roll.

Dalam kalangan para peminat, umum tahu Memphis merupakan lokasi karier mendiang bermula. Juga tapak persemadian terakhir. Padan sungguh dengan kata-kata ikonik beliau, “I will stay in Memphis.”

Agenda utama kami ke sini adalah untuk melawat rumah Elvis di Graceland. Walau bagaimanapun, foto bersama tugu Elvis Presley ini pula dirakam di Beale Street. Kira-kira 20 minit memandu ke arah utara dari Graceland tadi.

Pada zaman itu, belum ada GPS kereta. Sebarang papan tanda juga tidak ada yang mengiklankan tempat ini secara jelas. Malah, kami pun sebenarnya tak tahu tugu ini wujud. Kebetulan sahaja terpandang. Itu yang kami singgah.

Andai kata kami tampil sewaktu kemuncak musim panas, tentu sekali terlepas pandang. Sebab pepohon rimbun mengelilingi tugu bakal menghalang pandangan dari arah jalan besar.

Tugu ini memang tersorok. Mujurlah kami tiba kala musim baru hendak bertukar.

“Do something worth remembering…” – Elvis Presley

Sebarang komen/pertanyaan?