Pernahkah kalian perasan, segelintir penulis ternama punyalah hebat sehinggakan kulit hadapan buku memaparkan nama mereka dalam saiz aksara lebih besar berbanding judul buku itu sendiri? Tatkala meneroka toko-toko buku, nun dari jauh nama gah pengarang mencuri perhatian para pengunjung terlebih dahulu.
Ramlee Awang Murshid. Tom Clancy. Jodi Picoult. Murakami.
Ini sekadar beberapa contoh ketara yang terlintas di fikiran. Alangkah seronoknya pabila telah mencapai tahap otai sebegini dalam karier sendiri. Dah tak perlu terhegeh-hegeh mempromosi buku sendiri setiap hari macam saya. Aspirasi untuk dikecapi. InsyaAllah, suatu hari nanti… Aminnn.
Salah satu proses kritikal sebelum seseorang melangkah masuk ke dalam industri penulisan ialah memilih nama pena. Tak kisahlah sama ada mahu terbit sendiri, mahupun bernaung di bawah mana-mana syarikat penerbitan arus perdana.
Nama pena tak semestinya nama glamer. Malah, tiada halangan pun buat seseorang itu menggunakan nama sendiri. Dengan syarat nama tersebut tidaklah panjang seperenggan sampai tahap kad pengenalan pun perlu pakai dokumen lampiran.
Semoleknya juga, nama pena yang sama dikekalkan terus sepanjang karier. Konsistensi ini kunci kepada pembinaan jenama diri.
Melainkanlah sang penulis ada projek rahsia. Atau mahu teroka genre lain secara incognito. Macam kes Richard Bachman (nama pena kedua Stephen King) dan Robert Galbraith (nama pena kedua JK Rowling). Cuma kedua-dua identiti ini sekejap sahaja terbongkar. Tak perlu tunggu paparazzi. Tak perlu guna khidmat hacker.
Ya, seseorang penulis bisa menyorok dirinya di sebalik pelbagai alter ego. Namun hakikatnya, gaya penulisan yang dah sebati dengan diri sang penulis pantas dicam oleh pengikut serta pengkritik tegar. Apatah lagi para stalker.
Berdasarkan kajian saya, nama pena tambahan lazimnya digunakan bila mana penulis mahu melompat penerbit (tapi genre kekal sama) ATAU menulis genre jauh menyimpang secara total dari resam dirinya. Maklum saja, sesetengah genre agak kontroversi. Ini bukan soal privasi semata-mata. Bahkan lebih ke arah memelihara jenama serta imej sedia ada yang telah terbina saban tahun.
Sebagai contoh, penulis popular siri buku kanak-kanak (berstatus ibu) yang tiba-tiba berhasrat menceburi genre penulisan erotika. Sarat pula dengan fantasi dan imaginasi liar. Tidakkah canggung pabila nama pena yang sama dikekalkan? Tak mustahil ada peminat (kelompok konservatif) yang terus hilang rasa hormat. Betul tak?
Memikir jangka panjang, terlalu banyak identiti pun membebankan juga sebenarnya. Secara tak langsung mendesak keperluan alter ego berasingan bagi segala mak nenek platform publisiti. Laman web, blog serta akaun media sosial. Pasti tak menang tangan.
Saya sendiri bermula sebagai seorang kartunis webkomik dengan nama pena MrFlowerman. Kalian yang memiliki naskhah Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (CPSF), bolehlah rujuk semula halaman 58. Sejarah nama ini ada dijelaskan di situ. Sekadar trivia, nama ini jugalah nick Yahoo Messenger saya suatu ketika dahulu. Zaman cinta siber.
Menjelang terbitnya buku sulung, saya memutuskan untuk guna nama sendiri. Shah Ibrahim. Sebab sekitar era tersebut (2012, jikalau kalian masih lagi ingat), wujud lambakan novel Melayu dengan paparan ‘Mr’ dalam judul di pasaran. Format standardnya begini:
Mr + ‘insert any English adjective’.
Dan saya tidaklah mahu menambah statistik. Lagipun, konotasi penggunaan Mr sudah sebati dengan genre fiksyen cinta. Anggapan saya, kelak sukar buat diri ini melebar sayap ke genre lain.
Memilih untuk menggunakan nama sendiri tak kurang juga cabarannya. Cukup sukar membina jenama diri kala berkongsi nama dengan individu terkenal. Tak dinafi, ramai orang memiliki nama serupa. Dalam apa jua bidang, kelebihan pasti berpihak kepada siapa yang terlebih dahulu menyambar nama tersebut secara komersil.
Sebagai contoh, saya berkongsi nama dengan seorang usahawan berjaya serta DJ radio popular dari seberang tambak (Syah Ibrahim). Mujurlah bidang seni tidak sama. Dan ejaan nama kami sedikit berbeza. Realiti yang hanya saya sedari saat mahu mendaftar akaun Twitter dan IG. Ini baru contoh melibatkan rantau sekeliling. Di sebelah India dan Pakistan pula, Shah Ibrahim jauh lagi ramai. Nasib baik belum ada yang menulis novel Melayu.
Hmm… Entah entah dah ada. Cuma kita belum tahu!
Pada zaman sekarang, kehadiran dalam talian ternyata penting. Alhamdulillah, nama domain shahibrahim.com saya sempat beli.
Berbalik kepada soal nama pena, telah ramai juga yang bertanya, “Kenapa hanya buku pertama Tuan pakai ‘Dr’ pada pangkal nama? Tetapi tidak dalam buku-buku lain.” A very good question indeed.
Sejujurnya, dari mula lagi saya keberatan mahu letak Dr pada pangkal nama pena memandangkan buku yang ditulis bukannya bercorak akademik. Diturutkan hati, buku-buku akademik pun saya segan mahu letak Dr pada pangkal nama. It adds no value.
Namun menjelang terbitnya CPSF, barulah saya perasan kewujudan seorang novelis wanita bernama pena Sha Ibrahim. Penulis popular dalam genre novel cinta. Tanpa saya sedar, konsep akhir rekaan kulit buku CPSF juga mirip kebanyakan novel Cik Puan penulis yang pernah terbit sebelum.
Di ambang detik serahan manuskrip CPSF ke kilang cetak, hendak dijadikan cerita, Cik Puan penulis melancar pula sebuah lagi novel laku keras,
Sha & Shah by Sha Ibrahim. (Berbelit lidah menyebut, kan? Ha Ha Ha)
Sudah diadaptasi menjadi drama TV, saya difahamkan. Dan watak Shah itu seorang pelajar luar negara. What were the odds? Saya sendiri terkejut.
Bagi mengelak kekeliruan pembaca/pembeli, teman-teman rapat menasihatkan saya agar meletak Dr pada pangkal nama pena. Secara teknikalnya, letak Dr pun tak salah. Sebab PhD saya sah. Bukan sijil beli.
Tahun berganti tahun. Masa pun berlalu. Beberapa karya susulan sudah terbit. Gaya penulisan saya juga semakin ketara. Memandangkan genre sudah jelas menjurus ke arah travelog bukan fiksyen, tiada lagi isu untuk guna nama pena sekadar Shah Ibrahim.
Dalam pada itu, dari semasa ke semasa, ada juga yang masih tersalah hubungi saya kerana menyangkakan saya ini novelis Sha Ibrahim. I am deeply flattered (walaupun saya ada misai).
Suatu hari nanti, saya teringin hendak meneroka genre-genre lain. Setiba detik itu, besar kemungkinan saya tetap akan guna nama pena yang serupa. Shah Ibrahim. Kalau buka restoran nasi kandar pun, nama dah sesuai.
786 alhamdulillah syukur.