Sempena menyokong kempen #MalaysiaMembaca (suatu inisiatif positif), saya ingin berkongsi 10 judul bermakna dalam hidup. Jikalau hendak diturutkan, sebenarnya banyak lagi. Tetapi ini antara buku-buku yang kebetulan berada dalam capaian. Koleksi lain terperap kemas berbungkus plastik dalam kotak agar tidak menjadi santapan anai-anai.
- Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (HAMKA)
Selaku insan minat mengembara, saya menyukai kisah watak-watak (fiksyen mahupun bukan) yang sanggup meninggalkan kampung halaman. Biar apa pun tujuan. Cari ilmu. Melihat dunia. Kena usir. Apa jua. Tema sebegini banyak diangkat dalam karya-karya Buya HAMKA. Tak dinafi, kembara berlatarbelakang zaman klasik tampak lebih gah. Mungkin faktor kekangan teknologi. Perjalanan jauh terbatas pada kapal laut. Berutusan surat pula menjadi wadah komunikasi. Epik sungguh!
- For One More Day (Mitch Albom)
Tuesdays With Morrie disifatkan sebagai karya agung Mitch Albom yang bertanggungjawab meluaskan nama beliau ke serata pelusuk dunia. Namun, karya susulan beliau ini lebih dekat di hati saya secara peribadi. Mungkin kerana kisahnya mengenai anak lelaki dengan ibu. Banyak kali juga mata saya masuk habuk.
- Wonder (RJ Palacio)
Mengisahkan kegigihan seorang kanak-kanak lelaki bernama Auggie (penghidap sindrom cacat wajah) menyesuaikan diri dengan persekolahan serta alam sekeliling. Saya yakin Wonder bakal menjadi salah satu judul yang kekal signifikan sepanjang zaman. Buku ini melimpah ruah aura positifnya dan sesuai buat semua peringkat umur. Saya cuma tersilap pergi menonton adaptasi filem terlebih dahulu sebelum melayan buku.
- Train Man (Nakano Hitori)
Pembelian sulung saya dari gedung Kinokuniya KLCC sekitar awal tahun 2006. Terjemahan Inggeris buku Jepun ini berkisar seorang jejaka skema pemalu yang jatuh hati pada seorang gadis dalam kereta api. Saya tergerak hati membeli sejurus membaca ulasan positif dalam akhbar The Star. Tarikan utama buku ini buat saya ialah naratif unik berformat perbualan forum 2Channel secara eksklusif sepanjang buku.
- Secangkir Teh Pengubat Letih (Hasrizal Abdul Jamil)
Buku ini kebetulan saya tercapai secara rambang dari Perpustakaan Negara circa 2012. Memoir Turki Ustaz Hasrizal. Jatuh cinta serta-merta dengan gaya bahasa tuan penulis, saya terus beli senaskhah khas untuk koleksi peribadi. STPL antara inspirasi awal menggerakkan saya menulis travelog Kuantum.
- Ulu Yam Di Liverpool (Nazali Noor)
Buku ini berjaya mematahkan prejudis diri yang pernah beranggapan ‘buku ditulis mengguna pakai bahasa tinggi pasti membosankan’. UYDL menjadi pemangkin semangat saya untuk memperbaiki kualiti penulisan sendiri. Makna kata, seseorang bisa sahaja menulis gaya santai tanpa merosakkan bahasa kebangsaan. Dalam hal ini, perjalanan saya masih lagi jauh.
- The Perfect Gentleman (Imran Ahmad)
Judul ini saya beli dari tuan penulis sendiri sekitar awal tahun 2012 sewaktu beliau berkunjung ke Malaysia sempena pelancaran buku TPG di World Halal Forum. TPG senaskhah memoir zaman kanak-kanak berlatarbelakang England (London) yang berjaya membuka semula kotak memori peribadi diri yang sarat nostalgia.
- Blankets (Craig Thompson)
Memang sengaja saya jejak versi kulit keras. Kebetulan naskhah terakhir dalam stok simpanan kedai, saya beli dari OK Comics (Leeds, UK) sekitar hujung 2011. Blankets yang banyak memenangi anugerah telah diangkat sebagai mahakarya kartunis Craig Thompson. Kisah cinta pertama berformat komik hitam putih. Saya dah baca kesemua novel grafik susulan beliau. Ternyata, tiada satu pun yang dapat menandingi aura Blankets. Banyak inspirasi saya peroleh dari sini untuk memulakan projek Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman, novel grafik saya yang pertama.
- Spider-Man: The Complete Clone Saga Epic (Hasil usaha ramai kartunis Marvel Comics)
Walaupun plot Clone Saga dikecam teruk oleh pengkritik dan rata-rata peminat Spider-man, saya tergolong dalam kelompok minoriti yang suka. Unexplainable, some things you either love or just hate. Gagal mengisi kelompongan koleksi single issues dalam pasaran Malaysia sepanjang tempoh 1994-1996, saya terpanggil untuk menjejak versi trade paperback yang akhirnya mengumpulkan semua dalam 5 jilid besar. Jilid pertama dilancar 2010. Saya beli di UK.
- Aku Budak Minang (Ujang)
Zaman melayan Gila-Gila era 80-an dahulu, segmen Aku Budak Minang antara halaman yang pantas saya selak untuk diabaikan. Zaman baru hendak berjinak mengenal huruf, saya cuma layan komik-komik pendek sahaja. Menginjak dewasa, barulah saya terpanggil untuk menjejak semula. Apakan daya, koleksi Gila-Gila saya entah hilang ke mana. Mujur CESB ada inisiatif menjilidkan semula siri ini. Ujang sememangnya bukan calang-calang pengkarya. ABM sarat dengan emosi dan wajar berada dalam milikan setiap kartunis Malaysia.
Kesemua buku yang tersenarai di sini membawa tema kasih sayang. Ya, termasuk Spider-Man.