Kurt Kobain

Pearl Jam ialah kugiran spesifik yang menggerakkan saya mencapai gitar. Bagi insan berjari keras yang baru hendak berjinak memegang alat muzik bertali enam ini, lagu-lagu Pearl Jam boleh tahan mencabar juga. Kecuali Last Kiss, lagu lembik yang tersangatlah tak Pearl Jam. Sewaktu Last Kiss aktif berkumandang di corong Hitz FM, saya sendiri belum sedia maklum yang lagu tersebut sebenarnya lagu orang lama yang telah diberi nafas baru oleh Pearl Jam.

Di ambang millenium, Last Kiss antara irama ikonik yang pantas mencairkan hati gadis Melayu (selain lagu Kiss Me, dendangan Sixpence None The Richer). Sampai tahap saya berani buat kesimpulan yang masyarakat sedunia cukup obses dengan ciuman pada tahun 1999. Jangan lupa, filem Never Been Kissed pun meletup pada tahun yang sama. Patutlah bebudak PPP/ITM kerap terkantoi bercumbu dalam kereta pada zaman itu.

Fasa awal belajar main gitar era 90-an dahulu, rata-rata mengamalkan konsep talaqi sebelum kemunculan sifu-sifu gitar Youtube. Pendek kata, kena berguru. Tok-Tok Guru dalam kalangan teman-teman rapat saya di PPP/ITM mencadangkan Nirvana. Menurut pandangan mereka, lagu-lagu Nirvana lebih mudah. Sejujurnya, saya sendiri belum sedar tentang kewujudan aliran muzik alternatif ini di persimpangan cerita. Genre yang diberi julukan Seattle Sound, sempena tanah kelahirannya.

Ibarat seekor katak di bawah tempurung, tahun-tahun sebelumnya hanya nasyid Raihan menjadi halwa telinga sepanjang di MRSM Taiping. Malah, Peristiwa Subuh menjadi wake-up call kami setiap pagi. Fuh, kenangan menggamit memori MARESMART!

Dari Taiping, kembara menuntut ilmu bersambung pula di Shah Alam. Kursus persediaan ke USA. Selaku orang Skudai, tak mampu saya pulang ke kampung halaman setiap hujung minggu. Mahu tak mahu, terpaksalah berperap di Kolej Siswa. Gitar kapok teman serumah menjadi peneman.

Pada suatu hujung minggu, saya ke Pasaraya Giant Seksyen 18 dengan semangat berkobar-kobar semata-mata untuk mencari kaset Nirvana: Unplugged in New York. Sekitar awal tahun 1999, ada sebuah gerai kaset dalam bangunan tersebut. Asli atau cetak rompak, saya pun tak pasti. Lokasi gerai tak jauh dari kaunter bayaran Giant yang dimaksudkan. Memandangkan kumpulan nasyid Mirwana belum muncul dengan sebarang album komersil lagi pada tahun itu, isu tersilap beli kaset tak sesekali timbul. Ya, walaupun jiwa sudah grunge, saya masih ikuti perkembangan dunia nasyid tempatan. Itu namanya wasatiyyah.

Berbekalkan kaset tadi serta bimbingan padu daripada Wan Najmuddin (ex-MRSM Pengkalan Chepa), saya berlatih dengan gigih setiap hari. Pagi, petang, siang dan malam. Sehingga berkematu jari. Dalam album berjumlah 14 trek, lagu Polly paling awal saya khatam. Lagu yang penuh melankoli. Perlahan-lahan, busana saya turut berubah rupa (saya hanya tersedar setelah membelek semula foto-foto lama). Kemeja lusuh kembang bercorak kotak-kotak elemen wajib ada. Orang putih bilang ‘flannel’.

Sepanjang berkursus di PPP/ITM, memang tak sabar rasanya hendak terbang ke bumi Uncle Sam.

Seattle, Washington… “Kau tunggu aku datang.”

p.s. Merokok membahayakan kesihatan.

Sebarang komen/pertanyaan?