Kuantum: Proposal Awal Kulit Buku

Yang mana kau pilih?…
Isi atau kulit?…
Kertas bungkusan indah coraknya…
Membungkus benda, tak kira nilainya…

(Trek pertama album Cinta Buatan Malaysia, Search (1985))

Kulit digubah atas agenda menjual. Oleh itu, mana mungkin kulit luar sesuatu produk sengaja direka buruk. Setuju?

Bagi pendatang baharu dalam dunia penulisan, umpan ‘kecantikan’ sahajalah satu-satunya modal buat meraih perhatian. First impression.

Sebelum ada yang terkeliru, saya merujuk kepada ‘kecantikan’ buku di sini. Andai kata secara kebetulan penulis juga seorang yang cantik (atau kacak), itu pelaris tambahan. Umum tahu, orang cantik mampu menjual apa sahaja.

Sama ada kalian sedar mahupun tidak, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kebanyakan buku di Malaysia tidak lagi memapar sebarang sinopsis. Sebaliknya digantikan dengan puji-pujian serta testimoni daripada penulis lain.

Persis proses mengenal hati budi seseorang dalam bab soal hati dan perasaan, isi sesebuah buku juga tak mungkin diketahui selagi buku tersebut belum dibaca. Tanpa sinopsis jelas, yang tinggal hanyalah padanan judul dan kulit.

Bayangkan sepuluh buah buku daripada sepuluh orang penulis berbeza terhidang atas meja. Dengan tanggapan kesemuanya hasil nukilan penulis tak dikenali, buku pertama yang akan dicapai oleh pembaca rambang besar kemungkinan ialah naskhah yang memapar reka kulit paling cantik.

Ya, kecantikan itu subjektif. Maka cantik di sini bergantung pada mata individu tersebut.

Tahukah anda secara amnya penulis tiada kuasa menetap rupa paras kulit buku saat terbit? Kata putus berada di tangan penerbit.

Hal ini tiada isu pabila kita terbit sendiri. Hendak letak close up lubang hidung pun tiada sesiapa boleh larang. Tanpa pengalaman serta ilmu yang cukup mengenai trend pasaran semasa, percayalah, reka kulit buku terbitan sendiri cenderung menuju ke arah syok sendiri.

Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Apa yang cantik di mata saya tidak semestinya cantik pada pandangan mata anda.

Dalam situasi menerbit melalui penerbit pula, ada kalanya mereka akan meminta pandangan atau usul daripada penulis. Ada kalanya tidak. Meskipun input sudah diberi, kadang-kadang hasil akhir tetap menyimpang jauh.

So why bother to even ask for it in the first place, anda bertanya?

Sebab designer (in-house mahupun out-sourced) tiada masa hendak baca buku yang sedang direka kulitnya. Maka, proposal penulis diharap dapat beri gambaran kasar. Munasabah, bukan? Jikalau pereka kulit turut didesak menelaah setiap satu judul buku yang sedang diusahakan, lebih baik mereka jadi proofreader.

Dalam pada itu, pereka otai tetap akan ambil inisiatif membaca setiap projek yang sedang diusahakan. Contohnya Chip Kidd, pereka terkenal yang telah banyak menghasilkan kulit bagi buku-buku popular seperti karya-karya Murakami. Maka tidak hairanlah, hasil kerja beliau bertaraf dunia.

Saya tak pasti bagaimana halnya dengan penulis-penulis lain, tetapi setiap kali saya berusaha menyiapkan satu-satu projek, saya dah terbayang rekaan kulit buku yang akan (insyaAllah) terpamer di rak kedai. Resam insan kuat berangan. Apakan daya, angan-angan sahajalah yang mendorong saya maju ke depan sejak hari pertama.

Setelah menerbit sendiri dua buah buku, empat judul berikutnya pula diterbit bawah panji tiga penerbit berbeza. Jejak Tarbiah, Dubook Press dan Komrad Buku. Sekilas pandang, roh dan jiwa ketiga-tiga entiti ini langsung tidak bertindan. Masing-masing punyai personaliti unik serta konsep jenama tersendiri.

Bagi buku yang melibatkan ramai penulis (kompilasi/antologi), lazimnya penerbit menggunakan kuasa veto dalam hal reka kulit. Para penulis pun jarang ambil peduli sebab karya tersebut bukan bersifat peribadi.

Bayangkan sahaja proses mencapai titik kompromi sesama lebih 20 orang penyumbang idea yang berbeza latar belakang. Umur, jantina, bangsa dan kerjaya. Fuh! Sejujurnya, saya malas campur. Sekiranya input diminta, saya beri. Sekiranya tidak, saya berdiam sahaja.

Lain pula halnya dengan projek solo. Buku solo ibarat bayi sendiri. Tatkala penerbit tak minta sebarang input pun, saya tetap terpanggil untuk sumbang buah fikiran. Tak malu sungguh! Haha.

Bagi buku Kuantum, Dubook Press ada mempelawa saya memberi input. Sepantas kilat saya ajukan proposal memandangkan (dalam diam) memang dah lama saya pendam mock up ini. Jauh sebelum manuskrip Kuantum diterima oleh mana-mana pihak. Inspirasi bersumberkan buku-buku teks sains yang sering saya rujuk sepanjang pengajian universiti.

Inspirasi Awal Reka Kulit Kuantum Shah Ibrahim Konsep Buku Teks Sains

Kreatif? Mungkin.
Efektif? Barangkali tidak.
Berseni? Jauh sekali.

Merenung kembali, saya lega idea ini tidak terlaksana. Sekadar terpanggil untuk berkongsi dengan kalian semua. Sudahlah judulnya Kuantum, kulit buku pula macam buku teks. Lelong pun pasti tak laku. Haha.

Proposal Cover Buku Kuantum Shah Ibrahim Front View Medium Sized
Proposal saya kepada Dubook Press

In case anyone is wondering, that’s actually an energy diagram of a broken heart at the base of an infinite-potential quantum-well.

Barangkali terlalu abstrak.

Sebarang komen/pertanyaan?