Kepuitisan Kian Hilang

Puitis merupakan kata sifat bagi nukilan am berunsur puisi, tanpa terikat pada format dan struktur tertentu seperti sajak, pantun atau syair.

Ada kalanya kepuitisan bermain dengan irama susun kata. Ada kalanya pula bermain dengan maksud tersirat atau metafora. Tak dinafi, kepuitisan berkuasa menambah seri ayat. Bukan sahaja dalam penulisan. Bahkan juga ucapan umum serta pick-up line (ayat mengurat).

“Assalaamualaikum? Tak jawab berdosa.” (Ini contoh pick-up line langsung tak puitis dan dah lama basi)

“Kasihku terhadapmu umpama cirit. Ternyata mustahil dikemut lagi.” (Meskipun tidak senonoh, kepuitisan contoh ini tak dapat disangkal)

Walaupun saya kurang menggemari puisi konvensional (sajak, syair, pantun, etc) dalam apa jua bahasa, kepuitisan dalam seni menulis banyak saya pelajari daripada lagu-lagu rock Melayu era 90-an. Sesiapa yang masih ingat, akhbar Melayu hujung minggu sepanjang dekad tersebut diseri dengan ruangan lirik lagu-lagu popular.

Hal ini barangkali remeh dari sudut pandang sekarang, memandangkan segala benda mudah diperoleh daripada internet. Tetapi pada suatu ketika dahulu, akhbar edisi hujung minggu luar biasa istimewa nilainya. Sudahlah dicetak berwarna. Ada sisipan tambahan pula. Seksyen komik pun bermuka-muka.

Tanpa paparan akhbar, kaedah alternatif menyalin lirik hanya satu: Berlari ke radio bersama pensel dan kertas setiap kali berkumandang lagu idaman. Itu pun dengan syarat lagu tersebut tidak tenggelam dek celoteh merapu sang DJ. Kita pasang radio sebab nak dengar lagu. Bukan nak tahu kisah hidup dia. Adoi…

Sepulang dari sekolah setiap Isnin, saya akan mohon keizinan orang tua sebelum menggunting keratan-keratan memanggil. Komik. Lirik lagu. Teka silang kata. Poster wayang. Lantas dihimpun ke dalam beberapa siri buku skrap. Biasalah, aktiviti seorang budak loser. Malu kalau kawan-kawan sekolah tahu. Dalam pada itu, berjilid-jilid juga naskhah terkumpul. Entah di mana kesemuanya sekarang.

Bercakap soal lagu-lagu rock era 90-an, indah sungguh gubahan koleksi sepanjang dekad tersebut. Lirik menyengat. Irama cenderung melekat dalam kepala. Petikan solo gitar juga tak kurang berhantu. Cuma aspek terakhir ini saya hanya mula sedar dan hargai setelah berjinak main gitar.

Intro gitar Joe Wings buat lagu Sejati pada saya antara solo gitar paling kreatif dalam dunia. Sebab jikalau diteliti betul-betul, bunyinya macam serunai silat. Tak percaya? Cuba dengar semula.

Kembali kepada bicara lirik, ia boleh sahaja digubah bersahaja sekadar mahu menyampaikan cerita. Namun, aktiviti ini memerlukan inisiatif tambahan dalam usaha membentuk frasa-frasa indah.

Sepi mencengkam,
Resah berpanjangan,
Wajahmu bermain di ingatan… (Lagu Pasti, gubahan Saari Amri untuk kumpulan Mega)

Walaupun lenaku panjang
Tiada mimpi bertandang
Menghitung hari berlalu
Seksanya aku
(Korus lagu Seksa. Dipadan pula dengan suara Amir Ukays. Pergh!)

Walau hanya seketika cuma
Agar hilang rindu dan dahaga
Agar pulih semangat kasih dan mesra
Seperti baaaaa-ruuuuu ke-nal cin-ta!!! (Adoi, sakit tekak saya menjerit)

Umpama Mimpi Dalam Mimpi, gubahan Awang BPR untuk Damasutra.

Tatkala diteliti rangkap ini, saya cukup tertarik pada ungkapan seketika cuma. Perasan tak, boleh sahaja ditulis cuma seketika? Bunyinya lebih lancar bak pertuturan seharian. Dari segi susunan kata juga tak jadi hal kerana penghujung masih berirama. Melodi tetap terjaga. Namun begitu, kurang umph. Seketika cuma ternyata lebih puitis.

Ini sekadar beberapa contoh bagi menggambarkan kepuitisan seni menulis lagu dari suatu era yang telah hilang ditelan zaman. Sungguhpun ada yang catchy, kebanyakan lagu sekarang pantas dilupakan. Lekas jemu.

Irama kelam kabut dan bising, sinonim dengan aturan hidup moden yang agresif dan bergerak laju. Lirik pun sudah tidak sepuitis dahulu. Rangkap santai. Banyak “Wo-Wo-Wo” dan “Oh-Oh-Oh”. Kata-kata sekadar filler ibarat karipap berinti tepung. Baik lagu raya moden mahupun lagu patriotik. Apatah lagi pemberian nafas baharu terhadap lagu-lagu klasik. Saya hanya mampu geleng kepala.

Kata orang, evolusi itu normal dan harus dirai. Mungkin saya yang kolot. Masih terperangkap dalam kepompong nostalgia silam. If that’s the case, it’s OK. I’m happy there.

Playlist Deman Rock Kapak 90-an Shah Ibrahim Blog Coretan Sang Flowerman
Currently listening to…

Sebarang komen/pertanyaan?