Keluarga Dubook

Antara judul kegemaran terbitan Dubook yang berada dalam koleksi peribadi.

Saya mula mengenali Dubook Press menerusi Yak Bok Te!, hasil karya kartunis Amin Landak. Sebagai penggemar komik, ini bukanlah sesuatu yang menghairankan sangat. Walau bagaimanapun, tarikan utama Yak Bok Te! terletak pada kertas kasar seakan kulit buku tulis sekolah yang digunakan dalam pembukuan. Kalian yang memilikinya pasti faham apa yang saya maksudkan.

Elemen ini yang sebenarnya mendorong saya mendekati reruai penerbit tatkala meneroka PBAKL 2015. Secara langsung membuktikan betapa rekaan kulit hadapan satu-satu buku masih punyai kuasa memancing pembaca.

Buku-buku lain keluaran Dubook (serta penerbit lain) terpaksa saya abaikan dahulu memandangkan bajet bagi PBAKL 2015 sudah secara eksklusif saya peruntukkan buat komik serta novel grafik semata-mata. Hanya Tuhan sahaja tahu betapa payahnya menahan diri daripada mencapai judul-judul lain yang seakan memanggil.

Masa pun berlalu. Setelah membaca beberapa judul lain di bawah panji Dubook Press sesudah itu, saya tidak nampak sebarang persamaan antara karya-karya tersenarai mereka. Aneh sekali. Lazimnya, penerbit cenderung meletak fokus pada gaya atau genre spesifik. Namun, Dubook tidak (foto iringan selaku testimoni). Pada saya, kepelbagaian ini merupakan salah satu kekuatan Dubook Press. There’s something for everyone.

Ada karya serius, ada karya lucu. Ada yang berat, ada yang ringan. Ada yang teknikal, ada yang santai. Tidak kurang juga keluasan variasi dari sudut keformalan naratif. Makna kata, apa jua bentuk penulisan berpotensi untuk diterbitkan. Dengan syarat menarik minat skuad penilai.

Atas dasar kerambangan inilah, saya mencuba nasib mengaju proposal Kuantum kepada pihak Dubook. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Alhamdulillah, ada rezeki dan saya berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga besar ini.

Kuantum ialah buku pertama daripada siri perjalanan PhD saya di bumi sang ratu. InsyaAllah, karya sambungan akan menyusul.

Sebarang komen/pertanyaan?