Jom Pindah UK!

“Shah, kau tak teringin ke nak balik semula ke UK?”

Pertanyaan yang sering timbul kala bersembang dengan teman-teman rapat. Sehari dua ini makin kerap pula ekoran perkembangan terkini dunia politik di sebelah sana. Ketua Kerajaan terbaharu telah diumum. Polisi-polisi semasa bakal berubah. Dan entah apa kesannya terhadap kelompok bukan warga, ramai yang resah memikirkan. Kita tunggu dan lihat sahaja.

Andai diaju soalan di awal tadi kepada mana-mana bekas pelajar UK sezaman saya (yang telahpun selamat pulang ke tanahair), saya yakin rata-rata pantas menjawab ‘Ya’. Tanpa banyak fikir. Tak kiralah sama ada mereka lelaki atau perempuan. Bujang atau kelompok berkeluarga. Dan ini bukan soal ziarah setakat seminggu dua, OK? Tuhan sahaja tahu betapa ramai yang memasang impian mahu berpindah terus.

“So many wonderful memories, Shah” Kata mereka.

Anak kecil masing-masing pasti merindui alam persekolahan di sana. Segenggam syiling sudah cukup buat bekalan kaum ibu membeli sayur dan buah-buahan segar di supermarket. Sesibuk mana pun belajar atau bekerja, para ayah punyai banyak masa untuk diluang bersama anak isteri. Perkhidmatan awam efisyen dan mantap. Tiga musim dalam setahun tak berpeluh badan. Etc. Etc.

Dari sudut ukhwah, tak dinafi hubungan sesama ahli dalam komuniti sebangsa lazimnya lebih akrab di tempat orang berbanding di tanahair sendiri. Biasalah, resam perantau. Kala jauh, bau bunga. Kala dekat, bau tahi.

Status sosial, fahaman politik, pangkat serta latarbelakang keturunan semua ditolak ke tepi dahulu. Anak kampung dan anak bangsawan mampu bersila di lantai untuk makan bersama-sama. Sepulang kelak ke dalam akuarium bernama Malaysia, realiti hidup menyerlah jua. Enggang sama enggang. Pipit sama pipit.

Fantasi kebahagiaan menetap di UK pada saya sesuatu yang mudah berjangkit. Malah kelompok yang belum langsung pernah menjejak kaki tetap teruja setelah mendengar himpunan pengalaman orang lain. Sama ada melalui kisah-kisah lisan, penulisan buku mahupun paparan video berlatar belakang bumi sang ratu.

Kata pepatah, ‘The grass is always greener on the other side’. Lebih-lebih lagi jikalau ‘the other side’ itu merujuk kepada tempat orang putih. Betul, tak? Jarang sekali kita dengar teman-teman atau kaum kerabat yang berkobar mahu berpindah ke India atau Afrika. Mungkin ada. Namun secara perbandingan, bilangannya boleh diabaikan.

Maklum saja, orang putih cantik. Orang putih maju dan bertamadun. Orang putih pembersih yang amat. Lelaki British kesemuanya gentlemen ala-ala Colin Firth gitu. Persepsi tipikal dan naif kebanyakan orang kita.

Barangkali kerana mereka belum pernah merasa pengalaman dilempar botol kaca atau terdengar caci rasis, “Go back to your country!”. Mereka belum pernah merasa pengalaman ditahan polis. Mereka belum pernah merasa pengalaman drebar bas awam sengaja tak mahu berhenti. Mereka belum pernah merasa pengalaman cuci tandas pejabat orang putih. Minah salih pun berak bersepah dan buang tuala wanita terpakai merata-rata sehingga jamban tersumbat. Cuma aspek-aspek ini licik tersorok daripada naratif utama. Pabila berbicara tentang tempat orang putih, kelaziman naratif cenderung bias. Segalanya indah. Perasan tak?

Kembali kepada soalan mukadimah, sehingga sekarang saya masih memendam perasaan berbelah bahagi. Kembara UK suatu ketika dahulu dimulakan dengan harapan setinggi gunung. Sepanjang menetap bertahun-tahun di sana, memanglah banyak kenangan manis. Tetapi, tak kurang juga yang pahit. Setelah ditimbang satu persatu, rasa-rasanya lebih banyak koleksi pahit buat saya.

Dalam jiwa setiap perantau tak kira di mana jua dia berada, apa yang dicari tidak sama. Semua orang punyai agenda. Setiap orang ada sasaran peribadi. Segalanya bermula dengan sebuah impian. Boleh jadi apa yang anda hajati bisa ditemui di UK. Namun, itu bukanlah kesudahan cerita buat diri ini.

I survived the experience. But I didn’t find what I was searching for. Perhaps you will.

Cerita kita tidak sama.

Kuantum Shah Ibrahim Putaran Masa Takkan Berhenti Buat Insan Berhati Tisu

Sebarang komen/pertanyaan?