Holes mengisahkan seorang budak lelaki gempal bernama Stanley Yelnats. Dia kurang keyakinan diri serta sering dibuli. Stanley menempuh kehidupan seharian dengan kepercayaan yang keturunannya malang gara-gara tindakan silam nenek moyang.
Sewaktu berjalan pulang dari sekolah pada suatu hari, Stanley tak semena-mena ditahan polis atas tuduhan mencuri. Objek yang dicuri berupa sepasang kasut. Dan kasut yang dicuri pula bukan sebarangan kasut. Tetapi kasut milik seorang selebriti sukan yang mahu dilelong dalam jualan amal bagi membantu kelompok gelandangan. Maka, tindakan Stanley dianggap sangat keji.
Setelah dia dibawa menghadap hakim, Stanley diberi dua pilihan. Masuk penjara atau kem juvana. Stanley pantas memilih kem. Cuma setelah dia tiba di kem untuk mendaftar, barulah Stanley menyesali pilihan.
Judul buku diambil sempena aktiviti gali lubang yang para penghuni kem dikerah buat setiap hari. Cukuplah setakat itu mukadimah perkenalan. Saya takut terbabas masuk spoiler territory.
Walaupun Holes berkategori buku kanak-kanak, ini salah satu judul kegemaran yang menjadi bacaan ritual tahunan saya.
Naskhah terpakai ini saya dapat pada harga RM5 daripada jualan amal sebuah gereja. Walaupun murah dan dah kuning lusuh, nilainya tetap besar di sisi saya. Sebab memang dah lama saya berusaha menjejak edisi ini secara khusus. Entah kenapa, lambakan edisi di pasaran memapar judul bergambar cicak. Dari sudut estetik, saya kurang berkenan.
Buku ini terbit pada era 90-an. Jauh sebelum agenda ‘woke’ meresap masuk ke setiap cabang industri kreatif, termasuklah buku kanak-kanak. Makna kata, buku ini bersih (pada saya). Buat kawan-kawan yang mencari judul buku Inggeris yang sesuai untuk anak lelaki terutamanya, saya sarankan Holes.
Tema yang diangkat termasuklah erti persahabatan, politik budak-budak lelaki, cara mendepani buli, perkauman, kekuatan mental tatkala menempuh tekanan dan banyak lagi. Penutup cerita juga sangatlah ‘uplifting’ bagi kalian yang mementingkan aspek ini. Memang ada katarsis.
Alternatif kepada buku, boleh juga cari dan tonton versi adaptasi filem lakonan Shia Labeouf. Roh buku terpelihara sepanjang filem sebab Louis Sachar (penulis buku asal) turut terlibat secara langsung dalam pembikinan.
p.s. Kalau anda dah habis baca dan ternyata meminati Holes, buku ini ada spin-off berjudul Small Steps. Cuma Stanley bukan lagi watak fokus. Sebaliknya, watak peserta lain dari kem juvana yang sama. Nama budak ini pula Armpit. Ya… ketiak (saya tak tipu).