Heath Ledger

I hate the way you talk to me
And the way you cut your hair
I hate the way you drive my car
I hate it when you stare

I hate your big dumb combat boots
And the way you read my mind
I hate you so much that it makes me sick
It even makes me rhyme

I hate the way you’re always right
I hate it when you lie
I hate it when you make me laugh
Even worse when you make me cry (berhenti sekejap untuk sebak)

(OK, sambung…)

I hate the way you’re not around
And the fact that you didn’t call
But mostly I hate the way I don’t hate you

Julia Stiles 10 Things Poem Blog Coretan Sang Flowerman GIF

Sepanjang menempuh kursus persediaan pra-terbang ke Amerika tahun 1999 dahulu, saya ternanti-nanti juga kemunculan gadis rambang membacakan puisi 10 Things I Hate About You secara spontan buat saya dalam kelas. Dalam keterdesakan, pensyarah wanita yang masih bujang pun saya sanggup terima (walaupun besar kemungkinan beliau bakal dikenakan hukuman tatatertib memandangkan saya masih di bawah umur). Tunggu punya tunggu punya tunggu punya tunggu, sampai ke sudah ternganga.

Selain puisi ikonik Julia Stiles, foto Patrick Verona (yang besar kemungkinan dicilok daripada majalah Galaxie) turut menghiasi kulit luar buku teks serta folder kuliah bebudak perempuan seangkatan. Buat sesiapa yang terlepas kapal, Patrick Verona ialah watak Heath Ledger dalam filem tersebut. Putih. Tinggi. Berambut kerinting panjang. Gigi sempurna. Senyuman menggoda. Suara ‘jantan’ berloghat Australia. Bad boy.

Pendek kata, spesimen jejaka yang bisa membuatkan hati wanita bergetar pada frekuensi pemecah gelas. Lantaran itu, saya tidak begitu hairan jikalau poster Heath Ledger bermekap Joker (dari filem The Dark Knight sedekad kemudian) tetap memenuhi ruang bilik tidur para gadis sebagai peneman mimpi. Situasi yang tak banyak beza dengan aksi bertopeng hodoh Zul Ariffin dalam Tombiruo. Contoh lebih kontemporari.

Bagi kelompok wajah marhaen macam saya pula, seawal sesi uji bakat Tuan Director dah suruh pakai topeng.

“Urm, tolong jangan bukak sampai you balik rumah, OK?” Tuan Director siap berpesan lagi.

Barang sesiapa dalam kalangan lelaki yang berhasrat membetulkan muka tak siap di ambang millenium, Heath Ledger antara rujukan terbaik dalam katalog pembedahan. Perlu ditekankan, jikalau surgeri berjaya pun setakat muka sahajalah. Aspek lain, tiada sesiapa dapat membantu. Pabila cakap Inggeris pun masih tara “I is want going to the out”, tak usahlah gatal-gatal mencuba loghat Australia.

Seperti kebanyakan remaja lelaki canggung (baca: awkward teenager), saya juga tercari-cari idola sesuai dalam fasa mencari identiti. Cara cakap. Cara pakai. Cara bawa diri. Sudah tentulah agenda memikat jantina lawan menjadi motivasi utama. Dalam hal ini, dengan naifnya saya berfikir artis-artis Barat kiblat terbaik. Tak mainlah Eizlan Yusof atau Ahmad Idham sebagai role model. Hendak terbang jauh ke bumi Amerika, standard seharusnya lebih tinggi.

Di penghujung jalan, simpan rambut panjang bagai nak rak pun tak dapat langsung iras Heath Ledger. Macam buku lejar terpakai ada lah sikit-sikit. Ternyata saya terlupa berpijak di bumi yang nyata. Sedangkan Tuhan dah elok-elok ciptakan semua orang unik, cantik dan segak dengan gaya tersendiri. Dalam pada itu, saya pula yang gigih berusaha mengubah diri menjadi klon orang lain. Biasalah, darah muda.

Memori alam remaja sememangnya memalukan tatkala dikenang kembali. Every teenager craves attention. Every teenager wants to get noticed. Hakikat sepanjang zaman.

p.s. Minggu ini menyaksikan sambutan ulangtahun ke-10 filem The Dark Knight. Jikalau ’10 Things I Hate About You’ filem Hollywood pertama Heath Ledger, ‘The Dark Knight’ pula filem terakhir mendiang. Kedua-dua filem ini saya dah ulang tonton berpuluh-puluh kali.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!