Berbohong VS Menyorok Kebenaran

Berbohong. Sorok kebenaran.

Sekilas pandang, kedua-duanya seakan seerti. Penangan kreativiti pemfrasaan, cukup mudah bait-bait kata dieksploitasi dalam usaha melembutkan satu-satu tindakan keji. Sebagai insan yang tidak maksum, rata-rata kita semua tak pernah terlepas daripada terlibat. Sama ada seseorang itu berada di sebelah penganiaya mahupun kelompok teraniaya, hanya ini yang membezakan.

Sedar mahupun tidak, dalam dunia pemasaran perniagaan pun budaya ini dah lama menular. Malah, semakin menjadi-jadi di tanahair kita sendiri. Produk langsung tak berkesan dikatakan berkesan (false marketing). Produk hampeh tetap mampu mencapai status lima bintang gara-gara ulasan berbayar (paid reviews). Baru seminggu jadi ‘sifu’ perniagaan, kereta mewah disewa semata-mata mahu dibuat prop bergambar (fake it till you make it). Dalam keterdesakan menambah kredibiliti, betapa ramai yang sanggup beli sijil PhD.

Sungguhpun keji, ada kategori pembohongan mudah dimaafkan. Ada yang sukar. Terpulanglah kepada individu. Masing-masing ada hak selaku insan teraniaya.

Sebagai contoh, seorang sahabat yang telah sepakat berjanji temu dengan kita pada sekian-sekian waktu tetapi tak muncul-muncul. Setelah setengah jam menunggu, kita pun menelefonnya. Suara di hujung talian mengatakan “On the way.. On the way…” Sedangkan bunyi pancur jamban baru ditarik ketara jelas kedengaran di belakang.

Kes ini melibatkan masa. Saya tak suka orang buang masa saya. Namun, saya bersedia memaafkan.

Selaku ceti popular sewaktu belajar di UK dahulu (popular sebab saya tak mengenakan bunga), seorang sahabat pernah tampil meminjam wang. Boleh tahan banyak juga jumlah yang dipinta. Saya fikir, duit biasiswanya lambat masuk atau ada kecemasan lain. Melihatkannya terdesak berlinangan air mata, saya merelakan. Lagipun, perantau senegara wajar saling bantu-membantu. Beberapa hari selepas itu, dia beli BMW untuk memanfaatkan AP pelajar. Musibat sungguh.

Kes ini melibatkan harta. Saya tak suka orang tipu harta saya. Namun, saya bersedia memaafkan.

Saya pernah jatuh hati pada seseorang yang mengaku dirinya belum berpunya. Sedangkan dalam diam, si gadis sebenarnya sudah lama terikat. Malah, ramai yang dah sedia maklum. Lantas menambah rasa malu di pihak saya. Saat segalanya terbongkar, memang pedih. Lebih pedih lagi memikirkan rasional serta penjelasan di sebalik tindakan kejam tersebut.

Kes ini melibatkan hati. Saya tak suka orang mempermainkan hati saya. Namun, saya bersedia memaafkan.

Berbohong. Sorok kebenaran. Entahlah, pada saya tiada beza.

Sebarang komen/pertanyaan?