Harry Potter

Sehingga ke hari ini (tahun 2019), saya masih belum berpeluang membaca sebarang buku daripada siri Harry Potter. Makna kata, saya ketinggalan yang amat berbanding jutaan umat pembaca serata dunia. Malah terlepas fasa kekecohan ‘Please, no spoilers!’. Versi filem pun saya hanya sempat menonton setakat episod 3. Azkaban, kalau tak silap judulnya. Penampilan pertama Gary Oldman.

Niat membaca buku-buku Harry Potter sudah lama ada. Cuma belum sampai seru. Lagipun dalam usaha memperbaiki kualiti penulisan sendiri, tersangatlah rugi jikalau tidak mengkaji salah satu siri buku paling berjaya dalam sejarah tamadun manusia. Maka, siri ini turut tersenarai dalam wish-list peribadi. Ingin dibeli. Mahu dibaca.

Sekali-sekala tertinggal kapal, ada juga kelebihannya. Tiada nikmat lebih besar selaku bibliofil selain berpeluang membaca habis keseluruhan siri sekali harung. Tak mampu saya bayangkan keresahan dan debaran peminat-peminat Harry Potter yang terpaksa menunggu judul-judul susulan keluar. Satu selepas satu.

Secara kebetulan, Bloomsbury telah melancar edisi ulang tahun ke-20 tahun lepas. Aduhai, mengancam sungguh reka kulit! Nafsu saya lekas tewas setiap kali berhadapan dengan set buku yang direka sebegini. Andai diri berhajat bikin koleksi, sememangnya set ini yang akan saya sambar.

Berdasarkan ulasan yang sempat saya baca, edisi komprehensif ini amat disaran oleh kelompok pengumpul. Ada kandungan tambahan. Turut disertai ilustrasi-ilustrasi eksklusif. Maklum saja, nama pun edisi ulang tahun.

Secara peribadi, saya lebih tertarik kepada versi soft cover (barisan bawah dalam foto). Kanvas hitam lebih menonjol. Ditambah pula dengan hujung kertas yang diwarnakan. Fuh! Dan naskhah soft cover tentunya lebih murah.

Saya dah cuba belek naskhah contoh di kedai beberapa bulan lepas. Rupa-rupanya, hanya hujung kertas disembur warna. Lembaran halaman berteks dikekalkan warna asli kertas paperback. Aneh, saya akui. Tetapi bagus juga. Tidaklah pening andai terpaksa merenung kertas berwarna terang. Juling nanti.

Apa pun jua, saya telah berazam untuk tidak membeli selagi belum siap sebuah lagi manuskrip. Asyik membaca sahaja, bila nak sambung menulis? Sejurus terbit sebuah lagi judul buku (Projek apa? Saya belum putuskan lagi), ingin saya jadikan box set ini selaku hadiah buat diri.

Harap-haraplah masih ada stok.

Sebarang komen/pertanyaan?