Hari Penyampaian Hadiah SKPR

Rambut mangkuk ikonik baru lepas dikokak (beberapa hari sebelum) oleh guru disiplin. Tali pinggang memang dah lama saya berhenti pakai. Asyik-asyik dirampas kerana tak patuh spesifikasi. Warna tak kena. Saiz tak kena. Pening!

Diturutkan hati, mahu saja pakai tali rafia. Agar tidak londeh, seluar jenis ready-made terpaksa saya tarik naik ke paras perut selaku penampan. Sebagai bonus, labuhan kaki tidaklah mencecah lantai. Entah mengapa ini pun suatu kesalahan.

Terus terang kata, 50% daripada tekanan sepanjang zaman sekolah saya datang daripada guru disiplin. Pertarungan eternal yang melarat sehingga habis SPM. Sedangkan saya seorang mat skema.

Sampai tahap pengumuman spot-check lebih saya takut berbanding kehadiran mengejut van berwarna krim dari Klinik Gigi. Begitulah resam dunia persekolahan. Ada komponen manis. Ada komponen pahit.

Secara peribadi, komponen pahit alam sekolah saya jauh lebih banyak. Cuma tidak semua saya kongsi. Sesetengah memori wajar dipendam sampai mati. Andai diri diberi peluang menggunakan mesin rentas masa, saya tak ingin berpatah balik. Atas kepercayaan terhadap qada’ dan qadr, tiada gunanya merentas masa semata-mata mengulang semula babak-babak yang sama.

(I know, qada’/qadr and time travelling doesn’t fit in the same sentence. But, you get the idea.)

Terkenang kembali babak-babak manis yang bisa dibilang dengan jari, salah satu semestinya hari penyampaian hadiah. Oh, dengan syarat dapat hadiah.

Upacara tahunan ini lazim dibuat pada hari yang sama berlangsungnya Mesyuarat Agung PIBG. Alang-alang ibu bapa dah tampil hadir, molek diraikan terus pencapaian anak masing-masing. Kecemerlangan akademik. Kejohanan olahraga. Tak lupa juga pencapaian kokurikulum yang langsung tiada nilai dalam hidup ini, seperti menang pertandingan melukis.

Saya gemar keramaian sebegini kerana hidangan yang disaji lebih memberangsangkan. Maklum sajalah untuk memuliakan para VIP, inti karipap seakan diturunkan dari syurga. Rasa kopi dan teh dapat dibezakan. Kudapan turut dihidang dalam piring.

Pendek kata, tata cara jauh bertamadun berbanding Hari Sukan bila mana mi goreng ‘sambal banjir’ sekadar dilonggok dalam plastik minuman jenis ikat tepi. Tanpa sudu dan garfu, bersememeh kami makan. Sepulang ke rumah, cirit itu pasti.

Insan serba merah dalam foto ialah Cikgu Haliza Jufri yang selalu mengiring saya ke pertandingan melukis serata Johor. Buat kalian yang dah baca Budak Meja Belakang, ketidakhadiran guru inilah yang membawa kepada insiden saya bersama Cikgu ‘Mazuin’ (bukan nama sebenar) sewaktu Pertandingan Melukis Perdana 1992. Cikgu yang masih berhutang dengan saya… Tetapi, saya dah halalkan.

Selaku mat seni, saya juga sering dikerah oleh Cikgu Haliza untuk kerja-kerja keceriaan. Lukis mural. Hias pentas. Etc. Backdrop dalam foto ini pun saya buat. Sungguhpun menjatuhkan saham diri sebagai lelaki, saya tak sesekali merungut. Apa jua peluang ‘escape’ daripada bilik darjah ibarat bulan jatuh ke riba. Sebagai bonus, kadang-kadang spot-check pun saya terlepas.

Lelaki berusia berkemeja batik gelap itu ialah Tuan Hj Ayub Hj Noor. Guru Besar SKPR (1983-1992) pada zaman saya. Otai dalam kalangan warga pendidik serata Johor, jikalau kalian nak tahu. Meskipun berpangkat Guru Besar, beliau sempoi dan langsung tak garang. Testimoni jujur daripada saya tanpa ada sebarang niat mengampu. Mengampu sekarang pun bukannya dapat apa-apa.

Majlis persaraan beliau masih segar dalam ingatan. Sekadar bertempat di kantin memandangkan sekolah kami belum ada dewan berbumbung. Tidak akan sesekali saya lupakan bagaimana guru-guru wanita teresak-esak kala Cikgu Ayub mendendangkan lagu klasik, Di Mana Kan Kucari Ganti. Sudahlah segak. Suara pun sedap.

Namun, bukan ini kenangan teristimewa saya bersama beliau. Memori manis yang dikongsi bersama lebih unik.

Memandangkan saya duduk paling belakang (berhampiran pintu keluar bilik darjah), Cikgu Ayub suka ‘pinjam’ saya setiap pagi (usai perhimpunan) untuk tolong angkut barang dari kereta ke pejabat. Barangan seperti beg James Bond serta timbunan buku tulis.

Walaupun saya tahu guru kelas tak suka, saya sendiri tak merungut sebab boleh ‘escape’. Alang-alang berpeluang keluar kelas, destinasi saya sejurus itu ialah ke tandas. Maka menyoroklah seorang budak montel di situ sehingga berdering loceng pertukaran kelas.

Jenis-Jenis Sakit Kepala Blog Coretan Sang Flowerman

2 Replies to “Hari Penyampaian Hadiah SKPR”

Sebarang komen/pertanyaan?