Hari Jadi Nahlah

Jenguk apa tu, kawan?

1989. Usia saya lapan tahun. Sungguhpun budaya meniup lilin kek hari lahir serta pemakaian topi berbentuk kon kini banyak mengundang kontroversi serta teguran para ustaz, usahlah dikecam insan-insan di dalam gambar kerana ini foto lama. Banyak lagi dosa lain yang orang buat sepanjang era 80-an. Termasuklah, memakai blazer terlebih saiz yang ada shoulder pad serta anting-anting gergasi.

Hari pertama dalam persekitaran baharu ternyata perit buat seorang kanak-kanak. Ditokok pula dengan batasan komunikasi. Sebelum mengikut orang tua berhijrah ke Scotland, kami bukanlah sekeluarga yang rajin cakap orang putih di rumah. Berbekalkan salasilah keturunan dari utara semenanjung, penguasaan Bahasa Inggeris saya sekadar pi mai pi pai tang tu.

Oleh itu, saya hanya buat hal sendiri sepanjang minggu pertama di Dens Road Primary, Dundee. Meja murid-murid dilonggok secara berkumpulan. Bukan disusun berpasang-pasangan mengikut resam sekarang. Dari tempat duduk, saya memerhati gelagat serta gaya orang sekeliling. Rata-rata aneh sekali.

Ada yang berkulit hitam dengan rambut berpintal-pintal bak berus besi cuci periuk. Ada yang bermata biru dengan pipi bertompok-tompok coklat macam anak patung. Ada yang bermata sepet seperti sedang memandang matahari. Ada pula yang kulit setona diri ini, tetapi mereka bertutur dalam bahasa lain. Pendek kata, saya satu-satunya anak Malaysia dalam bilik darjah. Malah keseluruhan sekolah.

Noor (paling kiri) dan Nahlah (birthday girl) merupakan kelompok terawal yang tampil menghampiri diri ini untuk berkawan. Noor orang Jordan. Nahlah pula dari Libya. Saya sendiri musykil bagaimana kami bertiga mampu berkomunikasi di kala awal perkenalan. Masing-masing pakai bahasa isyarat gamaknya. Suatu kelebihan yang ada pada kanak-kanak.

Meskipun sebaya dari segi umur, kedua-dua gadis cilik ini lebih tinggi daripada saya. Boleh jadi sumbangan faktor genetik timur tengah ditambah pula dengan fasa tumbesaran perempuan yang terdahulu ke hadapan menuju akil baligh. Secara tak langsung, kuasa mereka lebih dominan. Mereka pilih apa yang kami patut main. Mereka juga yang tentukan peranan saya. Selalunya kena jadi suami. Bosan memang bosan. Saya hanya menurut.

Perkenalan rambang akhirnya membawa kepada keakraban. Maka, tidak menghairankan bila mana Mama terjebak bersahabat dengan bakal-bakal ‘besan’. Chewah! Kata Mama, sekali-sekala pening juga menjadi orang tengah tatkala makcik-makcik itu bertelagah. Maklum saja, pada zaman itu Libya dan Jordan memang tak sekepala. Perbezaan politik turut diheret bersama ke rantauan.

Bercakap soal politik, tanah asal mereka pun bukanlah aman sangat. Di saat menulis, entah apa agaknya khabar Noor dan Nahlah sekarang. Masih di Scotland? Atau sudah kembali ke kampung? Mungkin juga masing-masing sudah berkahwin dan beranak pinak. Andai kata foto ini tersebar meluas di media sosial pun, belum tentu Noor dan Nahlah ada akaun. Silap-silap, kewujudan saya telah lama terpadam daripada kotak memori mereka.

Mengambil kira faktor umur saat foto dirakam, saya tak pasti sama ada si romeo sedang mengusyar birthday girl atau hidangan di atas meja.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!