Hana Tajima Simpson

Berbanding kaum hawa secara am, kami yang lelaki ini agak terbatas dalam aspek berfesyen. Memang sengaja cari nahas jikalau kaum adam tidak berpada-pada dalam bereksperimentasi fesyen. Kritikan serta pandangan jelik daripada masyarakat sekeliling sudah tentu. Tak perlu tunggu geng bawang memainkan peranan.

Bagi kelompok lelaki yang masih ada rambut, bolehlah ubah cara sikat mahupun potongan pelbagai gaya. Begitu juga halnya dengan misai janggut. Goatee. Soul patch. Janggut sejemput. Misai Wak Doyok. Dan sebagainya. Realiti hidup, tidak semua orang mampu bela misai janggut ekoran ini berkait rapat dengan kerjasama hormon masing-masing.

Apa sekalipun, tidak keterlaluan rasanya jikalau saya simpulkan yang fesyen lelaki lebih menjurus kepada kitaran semula trend-trend lampau. Misalnya, gaya sikat tepi yang ketara popular sekarang. Baik budak sekolah, eksekutif pejabat mahupun pembaca berita TV, ramai yang bergaya sebegini. Aneh juga sebab zaman saya bersekolah era 80-an/90-an dahulu, budak berambut sebegini seakan merayu agar dibuli setiap hari.

Ajaibnya fesyen perempuan, aksesori remeh pun bisa mengalami evolusi mendadak dalam tempoh singkat. Apatah lagi, item busana utama. Secara tak langsung, muncul fesyen-fesyen yang tak terjangkau dek akal fikiran manusia normal sehingga diperkenalkan oleh ikon-ikon berpengaruh. Orang ‘femes’ memakai, kelompok marhaen pakat ikut. Fitrah. Setelah masa berlalu, barulah masing-masing tergelak besar mengenang kembali penampilan diri zaman dahulu kala. Shoulder pad. Rambut kembang. Anting-anting gergasi. Kaca mata besar. You know who you are.

Sebagai negara yang ramai penganut Islam, tudung turut sama tak terkecuali. Namun, evolusinya sewaktu saya membesar dahulu tidaklah sedrastik kini. Jikalau bukan jenis adik-beradik bawal dan segala spesis ikan yang lain, alternatif popular tentu sekali serkup ala-ala akak senior Asmidar yang berkaca mata dalam filem Ali Setan sebelum adegan Ali eksiden motor. Fesyen yang sinonim dengan pemain netball ini cukup payah dilihat sekarang dalam kalangan wanita Malaysia. Hanya pekerja restoran Tom Yam berwarga Indonesia sahaja yang rata-rata masih memakai.

Circa 2010 sewaktu saya menetap di UK, saya sempatlah juga perasan detik-detik awal fesyen tudung jenis shawl mendapat tempat di hati wanita sana. Setahu saya pada waktu tersebut, trend belum lagi sampai ke Malaysia. Entah mengapa, saya begitu tertarik dengan tudung shawl. Anggun. Sophisticated. Sehingga terpanggil untuk mengkajinya dengan lebih mendalam.

Oh, bukan apa. Saya ingin menggunakan konsep tudung ini dalam rekaan watak utama novel grafik Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (komik saya yang pertama). Terkenang kembali, terasa menyesallah juga sebab luar biasa payah hendak melukis. Berlapis-lapis dia punya pusing dengan segala mak nenek ropol.

Tanpa foto rujukan, memang sukar hendak membayangkan sendiri menggunakan daya imaginasi seorang lelaki. Jadi, saya mintalah bantuan Pakcik Google. Setiap kali saya taip kata kunci ‘tudung shawl’ atau ‘shawl hijab style’, gambar model yang sama sahaja yang keluar. Asyik-asyik muka sama. Asyik-asyik muka sama. Wajah persis gadis Mongolia. Perlu saya ingatkan sekali lagi, ini hasil carian internet tahun 2010. Individu yang dimaksudkan ialah Hana Tajima Simpson. Wanita kacukan British-Jepun. Memandangkan dia juga berpengkalan di UK, ada munasabahnya trend ini bermula di tanah kelahiran sendiri.

Bayangkanlah, keindahan tudung shawl ini sangat memanggil sampai tahap saya yang berjambang pun terbuka hati hendak berhijab. Sehubungan ini, saya tabik hormat kepada Cik Puan pereka ekoran berjaya menarik minat entah berapa ramai wanita di luar sana untuk menutup kepala. Malah, masyarakat Barat pun tidak lagi memandang tudung sebagai aksesori lapuk yang ketinggalan zaman. Sama ada kita mahu akui ataupun tidak, pencapaian sebegini bukan calang-calang orang boleh kecapi. Ini bukan sahaja evolusi. Bahkan revolusi.

Di saat-saat awal kemunculan Hana Tajima (jikalau kalian masih ingat), tuan tubuh sendiri yang berada di hadapan kamera. Dialah model. Dialah jurukamera. Dia jugalah pereka fesyen. Fuh! Berbakat sungguh. Kagum saya. Kupu-kupu mulalah berterbangan dalam perut. Tipikal Shah Ibrahim. Sayang sekali, orangnya sudahpun bersuami. Kecewalah juga. Itulah saya, kecewa seolah-olah pernah ada sekelumit harapan. Tahu, takpe.

Dalam menempuh fasa obsesi yang tidak ke mana, maka terhasillah banyak potret Hana Tajima dalam simpanan. Ini salah satu daripada koleksi. Ya, ini tanda-tanda psycho. Sila telefon polis.

p.s. Membelek semula shawl yang dia pakai, saya pun tak faham apa yang saya lukis.

Sebarang komen/pertanyaan?