Khamis, 10 Disember 1998. Para graduan dikehendaki memakai baju kebangsaan serba hitam sempena graduasi. Mahu tak mahu, terpaksalah tempah khas semata-mata majlis. Terkenang kembali, warna gelap ini sewajarnya lebih awal dijadikan seragam Jumaat kami, menggantikan warna kuning asal yang cenderung dihinggapi tahi lalat.
Sebagai bonus, persalinan yang serupa boleh terus disarung pakai setiba konvo. Tak mustahil ada pihak berkepentingan mengaut untung belakang tabir atas jualan seragam kuning yang kerap perlu ditukar ganti. Mohon SPRM buka kertas siasatan.
Foto dirakam berhampiran pentas dalam Dewan Seri Larut (dewan besar maktab) sejurus selesai upacara penyampaian sijil. Majlis bersejarah yang dirasmikan oleh Raja Nazrin Shah (Raja Muda Perak ketika itu). Sijil/skrol berupa kad kuning dalam sampul merah yang masing-masing pegang itu.
Wanita dalam foto ialah Cikgu NorSaa’dah Abdul Malek. Guru homeroom Nilam B sepanjang dua tahun saya di Taiping. Buat kalian yang bukan dari sistem MRSM, guru homeroom berperanan sebagai ibu (atau bapa) angkat kepada pelajar sepanjang kami di maktab.
Pembentukan sistem keluarga kecil ini sekadar mengikut agihan rambang saat mendaftar hari pertama. Dengan kata lain, ahli-ahli homeroom ibarat adik-beradik. Secara tak langsung, agak sukar untuk timbul perasaan-perasaan tertentu sesama ahli homeroom berlawanan jantina. Ehem… Ehem…
Berjauhan dari kaum kerabat masing-masing, sistem sokongan sebegini ternyata berkesan dalam hal pemantauan emosi para pelajar tatkala mengharungi kehidupan serba tertekan. Sama-sama berkongsi masalah. Sama-sama mencari penyelesaian. Sama-sama saling memberi semangat.
Saya tak pasti sama ada sistem serupa turut wujud di asrama-asrama lain. Barangkali ada variasi tersendiri. Dengan kecanggihan teknologi, tak mustahil mesyuarat homeroom kini ada group Whatsapp masing-masing.
Bagi pelajar-pelajar lain sezaman kami di maktab, Cikgu Saa’dah merupakan salah seorang tenaga pengajar subjek Matematik. Aduhai, Matematik. Walaupun Matematik subjek kegemaran saya sewaktu sekolah rendah serta menengah rendah, perasaan berbelah bahagi mula membelenggu diri setiba era menengah atas dengan kehadiran Matematik Tambahan yang durjana.
Sudah tentu tahap kesukarannya menjadi punca. Kuadratik lah. Logaritma lah. Memuaskan nafsu persamaan lah. Janjang segala bagai. Terlalu banyak cabang topik saya tak mampu tangkap. Hakikat menuntut ilmu, some things you get… some things you just don’t.
Kadang-kadang cemburu juga melihat teman-teman sekelas yang terang hati memahami setiap satu konsep dengan mudah. Sedangkan saya pula sudah mempertimbang keputusan menarik diri keluar dari MRSM untuk menjadi bouncer kelab dangdut.
Berbalik kepada gambar, foto ini bertambah istimewa kerana Zaha Mira (paling kiri) yang selalu hilang di sebalik kamera akhirnya berjaya menyelit masuk. Maklum saja, zaman itu belum ada tongkat selfie. Alternatif terhampir ialah batang penyapu. Masalahnya, sebungkus pita sellotape pun belum tentu bisa menampung berat kamera klasik bergulung filem. Maka, salah seorang terpaksa beralah jadi tripod. Selalunya pemilik kamera.
Jejaka-jejaka selebihnya dalam foto merupakan sebahagian daripada pelajar putera kelas 509. Majoriti adik-beradik sehomeroom. Setiap kali jurufoto suruh senyum, saya pasti bertindak sebaliknya. Kalau Tuan-Tuan dan Puan-Puan hendak tahu, itu ciri seorang rebel.