Geng Wasted Purdue

Barangkali ramai belum sedia maklum, saya sempat berlakon sebagai stunt-double Rosyam Nor dalam filem Lenjan (1998) sebelum terbang ke US untuk pengajian ijazah. Sayang sekali, khidmat saya hanya diperlukan untuk babak-babak tanpa Nina Juren.

Filem Lenjan Rosyam Nor Blog Coretan Sang Flowerman

Foto paling atas adalah rakaman awal musim bunga tahun 2001 bertempat di Purdue Engineering Mall. Tanah lapang dikepungi bangunan-bangunan fakulti kejuruteraan. Bangunan yang kelihatan sipi-sipi di belakang itu ialah blok Mekanikal. Suhu luar masih lagi dingin. Sebab itu pakaian masing-masing berlapis.

West Lafayette bukanlah bandar happening setara lokasi pelajar-pelajar warga Malaysia di tempat lain seperti USC (California) atau RPI (New York). Aktiviti-aktiviti di tempat kami sememangnya terbatas.

Sebelum masing-masing mampu berkenderaan, outing lazimnya melibatkan kaki semata-mata. Pergi jamming, kena menapak. Tengok wayang, kena menapak. Berdating pun kena menapak.

Berbalik kepada foto, agenda utama sesi outing hujung minggu kali ini ialah ‘throw some football’. Setelah puas melontar, beramai-ramai pekena Subway di Chauncey Hill Mall. Kawan-kawan lain ada yang usung bersama kasut roller blade. Saya tak minat. Metalheads harus setia dengan seragam.

Di persimpangan cerita, rambut saya memang mengalahkan model syampu Pantene Pro-V (meskipun tidak berwajah Pan-Asian). Sekali saya buat hair flip, rama-rama dalam lingkungan radius 10 meter mati terlanggar pokok angkara terpegun. Kawan-kawan perempuan pun jeles.

Lebih menakjubkan, saya bukannya gigih menjaga sangat. Tiada ritual khusus. Sabun mandi jenis murah yang dibeli di Wal-Mart itu jugalah saya guna buat cuci kepala.

Membelek kembali foto lama ini, terasa pilu sungguh. Bukan sebab rindukan teman-teman yang sekian lama terpisah. Sebaliknya, mengenangkan realiti diri yang kini lebih layak menjadi model syampu Bawang Jackie Chan.

Budak Meja Belakang Shah Ibrahim Light Box Promo IG Val Filtered

Sebarang komen/pertanyaan?