Devils Tower

Musim Panas 2001.

Destinasi berikutnya sesudah South Dakota ialah Wyoming. Dua jam memandu ke arah barat daya. Devils Tower sasaran kami. Struktur aneh berupa menara sesat di tengah-tengah tanah lapang. Oh, lazimnya perlu ada tanda ‘ sebelum huruf s. Cuma Devils Tower memang dieja sebegini.

Sungguhpun sesuai dijadikan latar semulajadi rakaman filem (fiksyen kembara fantasi terutamanya), tak ramai yang ambil manfaat. Yang ada pun sekadar filem bercorak dokumentari. Sebaliknya, Devils Tower lebih popular dalam kalangan kaki panjat gunung.

Menurut statistik saat kami sampai, Devils Tower menerima kunjungan 5000 pendaki berdaftar setiap tahun. Setakat 2001, empat kes kematian akibat jatuh sudah dicatat (dalam tempoh 100 tahun). Tidak seperti sesetengah bukit yang ada trek khas untuk menapak naik, Devils Tower harus dipanjat secara vertical. Tak payahlah! Saya masih belum puas hidup.

Nama Devils Tower sebenarnya hasil terjemahan silap daripada nama asalnya dalam bahasa suku kaum asli. Kesilapan yang anehnya dikekalkan sahaja sehingga ke hari ini. Tiada kaitan pun dengan aktiviti puja setan.

Menurut pakar geologi, monumen ini terbentuk hasil aktiviti magma bawah tanah beribu-ribu tahun lampau. Tetapi saya lebih menggemari dongeng kaum asli. Kisah Devils Tower pun ada kepelbagaian variasi. Izinkan saya berkongsi salah satu versi yang saya masih ingat.

Alkisahnya, ada sepasang adik-beradik suku kaum Sioux merayau keluar dari kampung halaman untuk mencari tempat bermain. Terleka dengan macam-macam perkara sepanjang jalan, lama-kelamaan mereka tersesat jauh. Biasalah, kanak-kanak.

Dalam kekalutan menjejak jalan pulang, tiba-tiba mereka terserempak dengan seekor beruang gergasi. Beruang jantan ini watak signifikan dan sebenarnya ada nama. Tapi saya dah lupa. Apa kata kita namakan si beruang ini Sameon (bukan nama sebenar).

Sameon secara kebetulan memang sedang kebulur. Kehadiran sepasang anak kecil di hadapan mata terus dianggap sebagai rezeki. Si Sameon pun mulalah mengejar kedua-dua beradik tadi.

Dalam usaha menyelamatkan diri, mereka berdoa memohon bantuan. Doa termakbul serta-merta oleh nenek moyang. Sebuah struktur tinggi muncul keluar daripada perut bumi di tapak mana adik-beradik tadi sedang berdiri. Mereka turut sama terangkat ke atas. Macam orang naik lif.

Maka terselamatlah adik-beradik tadi daripada menjadi mangsa Sameon. Corak garis di sekeliling Devils Tower dikatakan kesan cakar sang beruang yang cuba memanjat tapi sampai ke sudah gagal. Begitulah lebih kurang ceritanya.

Mungkin ada subplot lain seperti elemen cinta tiga segi, kahwin paksa, isteri didera dan seumpamanya. Kalian yang berminat boleh kaji sendiri. Cuma yang menjadi kemusykilan saya sehingga ke hari ini, bagaimanalah agaknya kedua-dua beradik tadi turun semula? Anyway…

Saya cukup suka legenda setempat. Manusia zaman dahulu rajin memerhati. Tanpa kemajuan ilmu sains, masing-masing cuba berspekulasi guna imaginasi. Hasilnya, muncullah cerita-cerita indah seumpama ini.

Sebarang komen/pertanyaan?