Debaran Karya Susulan

Pax Americana bakal memasuki pasaran tidak lama lagi. Buku keenam dalam senarai portfolio peribadi andai tiada aral datang melintang. Adakah saya berdebar? Tentu sekali. Apa sebab perlu berdebar, kalian bertanya? Sebab ini bakal menjadi karya susulan pertama daripada saya. Lebih spesifik lagi, sekuel buat buku Budak Meja Belakang (2017).

Debaran Karya Susulan Shah Ibrahim TheMrFlowerman
Bagaimanakah rupa kulit hadapan buku terbaharu? Saya pun tak tahu 🙂

Berbanding judul segar, penantian sambutan terhadap karya susulan boleh tahan mendebarkan kerana lazim dibanding dengan entri sebelum. Sungguhpun setiap buku yang lahir bakal memiliki roh tersendiri, segelintir pembaca cenderung mendesak aura yang sama dengan buku terdahulu. Some authors might get it right. Some others won’t be so lucky.

Sekiranya entri kedua satu-satu siri buku masih berjaya menawan hati pembaca, tiada jaminan nasib yang sama menimpa entri ketiga, keempat dan seterusnya. Andai kata siri tersebut berakhir mantap penuh pujian sekalipun, tekanan jauh lebih dahsyat bakal mengiringi pelancaran projek segar sesudah itu. Pendek kata, kitar debar ini tidak akan sesekali berhenti.

Secara peribadi, ini antara aspek belakang tabir yang menyeronokkan selaku pengkarya. Macam-macam boleh terjadi.

Sebagai penulis, kita harus bersedia terima hakikat yang pembaca datang dan pergi. Realiti serupa dalam rata-rata cabang seni kreatif yang lain. Penyanyi kehilangan pendengar. Pengarah filem kehilangan penonton. Ada kalanya, situasi timbul gara-gara peralihan trend. Kadang-kadang pula disebabkan oleh evolusi selera serta kematangan konsumer. Usah diketepikan juga kemungkinan karya-karya kita sebagai penulis sendiri yang sebenarnya saban tahun semakin hampeh.

Apa jua pun sebabnya, usah merajuk jikalau pembaca yang dahulunya pernah setia tiba-tiba beralih arah. Yang mustahak, mereka terus ‘setia’ dengan aktiviti membaca. Buku siapa pun tak kisah. Pembaca ada hak memilih. Pembaca tahu apa yang dia mahu. Pengkarya tiada kuasa memaksa.

Keupayaan seseorang penulis memupuk minat membaca dalam jiwa anak muda (pada zaman penuh gajet ini), mahupun menyalakan semula cinta terpadam kelompok veteren yang telah lama meninggalkan buku, juga boleh dikira sebagai satu kejayaan yang layak dibanggakan.

Lebih teruk lagi jikalau karya kita menjadi penyebab seseorang itu membenci buku terus. Ini memang sadis.

Sebarang komen/pertanyaan?