Andai Kucing Hilang Dari Dunia Karya Genki Kawamura

Andai Kucing Hilang Dari Dunia Karya Genki kawamura
Andai Kucing Hilang Dari Dunia. Karya asal Genki Kawamura.
Masih dalam mood ‘bercuti’ daripada bahan bacaan horror/thriller. Dah lama saya mendengar kata-kata positif mengenai karya popular dari Jepun ini. Terjemahan Inggerisnya pun laku keras di sebelah Barat. Cuma saya belum berpeluang mencari. Secara kebetulan terjumpa versi BM (terbitan Biblio Press), saya terus sambar. Bacaan ringan. Buku tak tebal.
Watak utamanya seorang lelaki tanpa nama. Insan biasa-biasa yang terperangkap dalam kitar rutin sebagaimana resam masyarakat Jepun. Pada suatu hari, sang hero mendapat maklum yang baki hayatnya makin singkat penangan diagnosis kanser. Dalam situasi sebegini, sesiapa jua pasti menjadi tidak keruan.
Tiba-tiba, muncul pula satu watak yang digambarkan sebagai syaitan. Lantas mengaju tawaran menarik kepada protagonis. Hayat si lelaki berupaya dipanjangkan. Dengan syarat, satu benda perlu dilenyapkan secara total dari permukaan bumi ini. Korbankan satu item. Dapatlah sehari tambahan. You get the picture.
Maka, bermulalah konflik. Pembaca kemudian dibawa menyelami impak kehilangan setiap item rencam yang dipilih oleh si watak utama. Oh, segala butiran yang saya dah kongsi setakat ini sebenarnya boleh didapati menerusi sinopsis panjang yang tertera pada kulit belakang buku. Jadi, bukanlah spoiler.
Ditambah pula dengan judul buku, rasa-rasanya semua orang mampu teka hala tuju cerita. Setiba masa, sang hero tentu perlu memutuskan sesuatu melibatkan kucing kesayangannya.
Secara ringkas, ini kisah ‘deal with the devil’ tanpa vibe seram. Entah mengapa, saya terus terbayang Liz Hurley dalam filem Bedazzled. Setakat ini, saya belum benar-benar memahami hakikat mahupun motif sebenar watak si ‘syaitan’. Sebab belum habis baca lagi. Mungkin ada kejutan menarik yang menanti. Berdebar juga nak tahu kesudahan cerita.

Karya-Karya Slice of Life Iman Publications

Iman Publication Slice of Life
Berehat sejenak daripada membaca novel-novel horror/thriller. Saya sedang maraton beberapa judul terbitan Iman Publication. Teringin menyelami ‘house style’ rumah penerbitan ini. Terutama sekali bagi karya-karya bergenre ‘slice of life’.
Baru saja selesai Terima Kasih, Luka. Karya pertama Hasif Rayyan yang saya baca. Saya rasa judul ini berkategori YA (young adult).
Buku berkisar hubungan rapuh sekeluarga tiga beranak. Seorang bapa (Karim) yang merupakan anggota polis, Poji (watak utama) serta Naura si bongsu yang seakan halimunan di mata Karim atas sebab tertentu yang akan dirungkai sepanjang naratif.
Konflik utama meletus apabila Naura tiba-tiba hilang pada suatu hari. Lantas membawa kepada spekulasi yang si gadis lari dari rumah. Turut memaparkan subplot ‘crush’ Poji terhadap seorang gadis beberapa tahun lebih senior, bernama Rahayu. Si Rahayu ada rahsia besar.
Emosi pasti turun naik tatkala menyaksi interaksi sesama ahli keluarga Poji. Boleh dikatakan 24-jam hanya berkelahi. Watak paling best bagi saya ialah Ijat, kawan baik Poji. Sekaligus memain peranan sebagai comic relief. Walhal, Ijat hanyalah watak sampingan.
Keseluruhan cerita berlatar Kelantan serta melibatkan watak-watak orang sana. Cuma saya langsung tak jangka pula yang dialog akan sarat dengan dialek setempat. Selaku orang luar yang tak mahir, banyak yang saya kurang faham. Terpaksa meneka maksud ayat menerusi konteks aksi.
Penutup cerita Terima Kasih, Luka menyajikan unsur ‘healing’ serta perasaan ‘feel good’ buat kalian yang mencari buku-buku dengan vibe sebegini. Saya tak menyesal baca. Malah terdorong untuk mencari karya-karya lain tuan penulis.
On to the next book:
Biar Sembuh Luka Semalam (karya Aidil Ghazali)
ATAU
Sampai Masa, Benci Jadi Rindu (karya Aiden Adi Syah)
Payah juga hendak memilih. Kedua-duanya sama kuat memanggil.

Novel Mandatori karya Ramlee Awang Murshid

Novel Mandatori karya Ramlee Awang Murshid
Dalam usaha memperkasa kemahiran menulis, kita sering disaran untuk menghayati karya-karya kelompok penulis lebih otai. Salah satu contoh tentu sekali novelis thriller nombor satu Malaysia, Tuan Ramlee Awang Murshid (RAM).
Saya bermula dengan novel Tumbiruo (1998) disusuli dengan Fiksyen 302 (2011). Mandatori ini pula novel ketiga beliau yang sedang saya baca (Edisi baharu 2022, terbitan asal 2003). Senarai karya RAM terlalu panjang. Siri popular Laksamana Sunan pun saya belum terjebak. Tak sempat mengejar semua.
Apa-apa pun, saya juga gemar mendengar pengisian tentang selok-belok dunia penulisan Malaysia serta tips-tips fiksyen daripada Tuan RAM. Pernah sekali saya menghadiri seminar beliau secara fizikal. Selebihnya pula, saya tonton menerusi rakaman-rakaman video yang dimuat naik ke Youtube serta FB.
Ada satu pandangan menarik daripada RAM mengenai ‘idea’.
Kata beliau, idea merupakan kurnia Tuhan. Tabiat rajin membaca, banyak menulis dan segala petua klise yang lain hanyalah ikhtiar kita selaku manusia ke arah mencapai kurnia tersebut. Pandangan munasabah. Makna kata, agak angkuh buat seseorang penulis untuk merasa hebat apabila satu-satu karyanya dipuji.
Percikan idea itu ternyata kurnia bernilai daripada Tuhan. Kesihatan serta kelapangan masa untuk menulis juga suatu kurnia. Apatah lagi motivasi. Semua ini mampu digapai dengan cara berdoa. Tuan Ramlee Awang Murshid malah menyaran kita agar rajin berdoa memohon ilham menulis. Rasa-rasanya, nasihat ini sentiasa diulangi dalam setiap sesi perkongsian RAM.
Idea satu hal.
Namun, disiplin untuk pulun menyiapkan satu-satu manuskrip sehingga selesai pula cerita lain. Itu PILIHAN sendiri.

Novel Nirnama Karya Hilal Asyraf

Novel Nirnama karya Hilal Asyraf
Berketebalan hampir 700 muka surat (saya sendiri pun belum habis baca).
Nirnama banyak edisi termasuk hard cover, versi jawi serta format komik. Laku keras dan (kata orang) menjadi salah satu penanda aras novel-novel fantasi epik bercirikan nusantara.
Genre seperti ini saya hanya minat baca. Tak minat tulis.
Baru saya tahu yang Nirnama rupa-rupanya membawa maksud ‘tanpa nama’ dan merujuk kepada watak utamanya, seorang pahlawan tanpa nama.
Ambil masa juga buat saya membiasakan diri dengan istilah ini. Entah kenapa asyik-asyik tersasul Nirmala.

Karya Josh Malerman

Josh Malerman Books
Saya mula meminati karya-karya Josh Malerman selepas membaca Bird Box (terbitan 2014). Sedekad lalu, saya aktif meneroka forum Reddit bagi mengetahui judul-judul novel seram yang sedang hangat menjadi bualan di sebelah Barat. Menariknya, Bird Box sering muncul dalam senarai cadangan. Dengan puji-pujian menggunung seperti ‘Fresh!’ serta ‘Highly Unpredictable!’. Ringkas cerita, saya terpancing.
Sekiranya anda belum sedia maklum, novel Bird Box berkisar lambakan makhluk asing yang tiba-tiba muncul di bumi. Kehidupan populasi dunia beralih menjadi caca-marba. Maka sesuailah cerita ini dikategorikan sebagai post-apocalyptic (ala-ala filem A Quiet Place serta siri filem Cloverfield).
Dalam novel Bird Box, sesiapa jua yang bersemuka dengan makhluk-makhluk aneh ini akan hilang kewarasan. Inilah sebabnya mengapa watak Sandra Bullock di dalam poster adaptasi filem kelihatan memakai pelitup mata (jangan risau, aspek ini bukan spoiler).
Judul cerita pula (secara literal) dipetik sempena kaedah sistem penggera primitif yang para survivor terpaksa manfaatkan. Burung-burung yang terkurung di dalam sangkar akan berkicauan apabila bahaya mampir. Spesis haiwan terpilih seperti burung tidak terkesan secara negatif dalam karya fiksyen ini sebagaimana manusia. Walau bagaimanapun, judul ‘Bird Box’ juga ada selapis lagi metafora yang seeloknya kalian selami sendiri. Tak syok pula kalau saya ceritakan semua.
Apa-apa pun, sampai ke penghujung cerita kita tidak akan faham hakikat sebenar entiti yang mengganas. Maklum saja, tiada saksi waras yang wujud untuk menyalur keterangan berguna. Jikalau diteroka lubuk-lubuk ulasan seperti Goodreads, Amazon serta Youtube; kebanyakan kecaman menjurus kepada persoalan besar ini yang kekal tidak berjawab. Sekiranya anda pembaca daripada kelompok ‘perlukan penjelasan bagi setiap perkara’, kemungkinan besar Bird Box kurang sesuai buat anda.
Secara peribadi, saya sebagai pembaca lebih gemar pendekatan sebegini. Misteri tidak berjawab malah melonjakkan lagi aura seram sesuatu cerita. Humans tend to fear the unknown. Lagipun, ancaman makhluk asing ini sekadar menyajikan latar. Bukan fokus cerita. Konflik dalam cerita-cerita post-apocalyptic lazimnya lahir daripada interaksi sesama watak-watak manusia. Yang ini anda kenalah selami sendiri (sekiranya masih berminat nak cuba Bird Box).
Alang-alang berbicara soal misteri tidak berjawab, izinkan saya memetik satu lagi contoh popular. Siri komik The Walking Dead, nukilan Robert Kirkman. Naskhah penutup terbit tahun 2019. Punca wabak zombi sampai ke sudah tidak didedahkan. Tetapi peminat tak kisah.
Okey, berbalik semula kepada Josh Malerman…
‘A House at The Bottom of A Lake (AHATBOAL)’ merupakan karya susulan beliau selepas Bird Box. Agak lewat saya mencari buku ini, namun sempat terbaca banyak non-spoiler review. Terkejut juga bila mana respons pembaca rata-ratanya berbaur negatif. Sungguhpun demikian, saya tetap terdorong untuk mencuba. Sebab sinopsisnya menarik. (Atau, boleh jadi saya sebenarnya terumpan dengan rekaan kulit buku yang cukup memanggil).
Sekilas lalu, AHATBOAL seakan kisah cinta. Novel bermula dengan perkenalan dua remaja berusia 17 tahun. James dan Amelia. Pada suatu hari, sang jejaka memberanikan dirinya untuk mengajak si gadis keluar ‘dating’.
Untuk pertemuan sulung, James mengajak Amelia berkelah di sebuah tasik rekreasi. Dalam diam, James berhajat untuk mengkagumkan Amelia dengan mendedahkan kewujudan sebuah tasik rahsia yang tersorok dan lebih cantik. Sewaktu mendayung di tasik ke-2 ini, mereka tak semena-mena terjumpa pula tasik ke-3. Di bawah permukaan jernih tasik misteri inilah, mereka nampak sebuah rumah agam ditenggelami air.
Penemuan aneh ini lantas mencetus obsesi dalam diri James dan Amelia. Masing-masing terdorong untuk selam menyiasat. Apakah yang akan mereka temui di dalam rumah tersebut? Tak bolehlah saya cerita. Nanti ‘spoil’.
AHATBOAL lebih misteri berbanding seram. Namun, elemen seram itu tetap menyengat setiba ia muncul secara mengejut. Bayangkan ‘jump scare’ dalam bentuk teks. Sama seperti Bird Box, kritikan negatif terhadap AHATBOAL juga menjurus kepada persoalan-persoalan besar hal mistik yang kekal tidak berjawab. Hmm… Mungkin ini memang gaya penulisan Malerman.
Oh, sebelum terlupa. Sekadar trivia, filem The Deep House (2021) konsepnya hampir serupa dengan novel AHATBOAL. Seingat saya, pernah ditayang di Netflix. Tetapi bukan adaptasi novel mahupun ada apa-apa pertalian rasmi dengan Josh Malerman. Hairan juga kerana saya tak terdengar pula sebarang isu pertikaian hak cipta. Sedangkan idea mirip sungguh. Cubalah jejak filem ini sekiranya anda mahukan short cut.
error: Content is protected !!