Dana Pembelian Terus Buku-Buku Karya Penulis Tempatan atau ringkasnya ‘Dana PNM’ menjadi dambaan setiap penulis Malaysia yang ada karya baharu saban tahun.
Bagi kelompok pengkarya yang terpilih, kerajaan akan membeli sejumlah buku (beberapa ratus naskhah sekali harung rasa-rasanya) untuk diedar ke perpustakaan serata negara. Secara langsung menjana pendapatan tambahan buat penulis.
Saya sebenarnya dah pernah cuba memohon dana ini sejak buku solo pertama tahun 2012 dahulu. Disusuli 4 judul susulan. Lima buku kesemuanya saya pohon. Tiada rezeki terpilih.
Selalu juga terdengar luahan rakan-rakan penulis lain yang gagal terpilih gara-gara permohonan mereka tak sampai. Dalam hal ini, saya agak bernasib baik. Sekurang-kurangnya setiap permohonan saya tak hilang, walau dipos ke KL dari Johor. Saya tahu permohonan selamat sampai menerusi makluman e-mel serta surat rasmi daripada pihak Perpustakaan Negara (PNM) yang mengatakan karya saya sedang dipertimbang.
Namun begitu, kelima-lima permohonan tersebut (2012-2019) tetap gagal. Termasuklah siri Budak Meja Belakang. Boleh tahan sengit juga persaingan, rupa-rupanya. Memang frust. Tahun 2019 kali terakhir saya memohon.
Langkau masa beberapa tahun ke depan. Sekarang dah 2025. Saya baru keluarkan buku solo ke-6. Hampir terlupa tentang kewujudan dana ini. Apa salahnya mencuba lagi, kan?
Cuma kali ini saya pergi terus ke PNM untuk serah permohonan. Manalah tahu, ada rezeki berkat doa sempena hari Jumaat. Lagipun, saya dah asapkan sampul surat dengan kemenyan.
PBAKL 2025: Sesi Meet & Greet Hari Ini
Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada kawan-kawan lama (dan baharu) yang sudi hadir ke sesi Meet & Greet semalam di reruai Karangkraf sempena PBAKL 2025.
Saya tak ada jurukamera sendiri untuk minta tolong ambil gambar. Jadi, terpaksalah cilok daripada koleksi orang lain.




PBAKL 2025: Hari Ke-8
Tiga hari berbaki sebelum PBAKL 2025 melabuh tirai.
Saya akan berada di reruai Karangkraf esok (Sabtu, 31 Mei) dari jam 2:30 hingga 3:30 petang bagi sesi temu mesra & autograf buku.
Jumpa di sana, InsyaAllah.
PBAKL 2025: Hari Ke-6
Genre Road Trip
Pengikut tegar novel-novel K-Lit Karangkraf tentu sedia maklum yang imprint ini khususnya mengangkat genre hybrid. Tak boleh bercinta 24-jam. Tak boleh seram semata-mata. Mahupun hanya kandungan sci-fi sepanjang buku. Sewaktu proposal diajukan, saya declare manuskrip Kifayah sebagai 40% thriller, 30% seram dan 30% road trip.
Sebagai kaki filem, genre road trip juga saya cukup minat. Sekumpulan manusia menempuh perjalanan bersama-sama. Mungkin saling kenal. Mungkin masing-masing langsung tiada pertalian. Itu semua belakang kira. Pokoknya, watak-watak yang terlibat mahu bergerak dari titik A menuju ke titik B. Sudah tentulah ada misi penting yang harus dicapai.
Contoh-contoh tersenarai adalah sebahagian daripada karya-karya kegemaran saya. Secara langsung, turut menyumbang inspirasi terhadap penulisan.
Dalam filem komedi Senario Lagi (2000), Azlee yang baru naik pangkat ingin membawa anak bininya bercuti di Cherating.
Dalam filem seram Jeepers Creepers (2001), dua beradik sepakat memandu pulang ke kampung dari kolej sempena cuti.
Dalam filem Little Miss Sunshine (2006), sebuah keluarga ada 48 jam untuk sampai ke California dari New Mexico agar si bongsu berpeluang menyertai pertandingan ratu cantik kanak-kanak.
Zombieland (2009) pula filem komedi-seram yang mengisahkan seorang anak muda yang berusaha pulang ke pangkuan mak ayahnya dalam dunia pasca wabak zombi.
Dalam filem 3 Idiots (2009), ada 2 timeline. Salah satunya melibatkan road trip bagi menjejak sahabat lama bernama Rancho yang tiba-tiba ghaib secara misteri setamat kolej. Satu lagi timeline pula, flashback zaman kolej.
The Last of Us (saya lebih gemar versi video game 2013) memaparkan usaha seorang lelaki berumur yang diupah menyeludup seorang gadis remaja tak dikenali merentas zon-zon kuarantin serata Amerika yang dilanda virus dalam usaha menuju ke sebuah fasiliti penyelidikan.
Dalam filem Chef (2014), seorang bapa (yang baru hilang kerja) merentas Amerika bersama anak lelakinya menaiki sebuah food truck pinjam.
American Gods (2017) mengisahkan seorang bekas banduan yang ditawar kerja menjadi khadam (merangkap pemandu jarak jauh) bagi satu susuk misteri bernama Mr Wednesday.
Dalam novel Kifayah (2025), lima orang terheret menjadi bidan terjun untuk menguruskan jenazah seorang wanita Melayu tua terpinggir yang mati mengejut di UK. Destinasi kebumi berada nun jauh di selatan Britain.
Anda nampak ramuan-ramuan penting road trip? Sekumpulan manusia. Destinasi. Kenderaan. Time limit (optional).
Kelebihan novel yang ada unsur road trip ialah rentak cerita cenderung laju memandangkan watak-watak harus sentiasa bergerak. Latar lokasi yang kerap bertukar juga mampu mengelakkan pembaca lekas jemu. Sepanjang perjalanan, macam-macam hal boleh terjadi. Sekaligus membuka ruang untuk pelbagai subplot.
Dalam pada itu, menulis genre road trip ada risiko juga. Segelintir pembaca sukar menerima situasi bila mana watak-watak tak sampai ke destinasi. Seolah-olah penulis gagal tepati janji. Andai kata sinopsis buku menyebut lokasi X selaku titik sasaran, maka wajiblah kesudahan cerita berlangsung di lokasi tersebut.
Walhal dalam bermusafir, ada satu pepatah Inggeris yang popular. It’s not the destination, but the journey. Apakah pengajaran besar yang dikutip sepanjang kembara lantas memacu transformasi watak-watak terlibat? Bukankah ini cerminan realiti kehidupan sebenar?
Begitulah adat orang bermusafir. Kadang-kadang sampai. Kadang-kadang sesat. Kadang-kadang perlu melencong. Kadang-kadang, kita ternampak kereta Umie Aida berasap di tepi jalan.

