Retrospektif Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (Bahagian 1)

Teaser Pertama Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman

Genap lapan tahun lalu ilustrasi iringan ini berjaya disiapkan. Pada pagi Krismas 2010, saya muat naikkan ke Facebook (akaun lama) selaku teaser. Di persimpangan cerita, saya menyewa sebuah apartmen di Kelso Road, Leeds.

Sementara jiran-jiran mat salih sebelah rumah sibuk menyelongkar stokin besar untuk melihat apa yang pak cik Santa bawa, saya pula tersengguk-sengguk menahan kantuk ekoran berjaga sepanjang malam menyiapkan ilustrasi ini.

Kerja-kerja melukis sekejap sahaja. Pewarnaan digital yang memakan masa. Maklum saja, banyak teknik pintas penggunaan PhotoShop yang saya belum mahir sebab baru hendak belajar.

Ilham di sebalik gambar ini secara spesifiknya tercetus sejurus melihat lambakan foto adik-adik undergrad Leeds bermain salji. Tak putus-putus memenuhi ruangan Newsfeed Facebook. Secara kebetulan, tahun 2010 turut menyaksikan fenomena salji luar biasa (dalam tempoh seabad!) di bumi Yorkshire. Lebat selebat lebatnya.

Ilustrasi ini sangat istimewa buat saya kerana inilah lukisan pertama daripada siri-siri lukisan yang akhirnya berkembang membentuk novel grafik Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (2012). Buku pertama dalam portfolio peribadi saya sebagai penulis. Sepanjang tempoh pembikinan, sejujurnya judul pun belum ada. Segala artwork terhimpun dalam folder komputer berlabel ‘Projek Komik Flowerman’.

Oh, ya. Andai kata timbul kekeliruan dalam minda kalian yang pernah membaca CPSF, usah gusar. Ilustrasi ini telah saya singkirkan daripada draf akhir manuskrip. Sebaliknya diganti dengan perspektif kamera berbeza. Lantas dijadikan penghias kulit belakang buku.

Kulit Belakang Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman 800 X 800

Bangku ini memang wujud. Lokasinya di Woodhouse Cemetery, tanah kubur di belakang fakulti.

Ya, lepak kubur di kemuncak winter. Black metal sungguh!

(Bersambung…)

Naskhah Pemula Segalanya

Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman Naskhah Pemula Segalanya

Saya mula kenal huruf dengan komik.

Daripada kanak-kanak liat membaca, minat kemudiannya tercetus perlahan-lahan melalui komik.

Tahukah anda, komik jugalah titik mula perjalanan saya sebagai penulis?

Dari sini, saya pelajari asas pembukuan. Dari sini, saya selami selok-belok penerbitan sendiri. Sampai sekarang, masih banyak yang saya belum faham.

Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (2012). Naskhah yang memulakan segalanya.

Tiada Kata Secantik Bahasa

Tiada Kata Secantik Bahasa Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman

Rata-rata bahan bacaan bercetak (abaikan dahulu terbitan berkala seperti majalah dan seumpamanya) cenderung memapar petikan berupa kata-kata pendek di awalan buku. Dengan kata lain, sebelum naratif utama bermula.

Petikan yang dimaksudkan ini boleh sahaja berupa puisi, ungkapan hikmah tokoh-tokoh lampau mahupun lirik lagu. Tidak kurang juga penulis yang memilih untuk menyumbang buah fikiran asli sendiri. Terpulang kepada pemilik karya.

Dalam seni pembukuan, petikan-petikan pendek sebegini dirujuk sebagai epigraf. Jikalau meleret-leret panjang ungkapan yang dipetik, itu bukan lagi epigraf namanya. Tetapi plagiat. Pengkarya sebegini sewajarnya tukar kerjaya kepada tukang berus gigi harimau. Lebih afdal lagi, mulakan syif tatkala sang belang sedang lapar. Sekadar cadangan.

Anyway…

Naratif utama lazimnya menjadi fokus para pembaca, pengkritik serta pembedah buku. Maksud serta objektif sebenar di sebalik pemilihan satu-satu epigraf oleh seseorang penulis jarang dibicara secara mendalam.

Ada kala pemilihannya bersebab. Ada kalanya rambang, sekadar cukup syarat kerana orang lain pun buat. Tak dinafi, sesetengahnya pula turut mengandungi makna tersirat yang hanya bisa ditafsir oleh kelompok sasaran tertentu.

Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (2012) merupakan karya bercetak pertama saya. Senaskhah novel grafik berwarna terbitan sendiri. Projek DIY. Sewaktu projek ini bermula circa 2010, petikan berikut sering berlegar-legar dalam kepala:

Tiada kata secantik bahasa,
Untuk kupuji adinda…
Tiada gambar secantik lukisan,
Nak kutunjukkan perasaan…

Petikan lagu daripada filem Anakku Sazali ini sudah lama berada dalam radar saya, jauh sebelum kugiran Monoloque muncul dengan versi mereka sekitar setahun kemudian. Buat kawan-kawan yang telah membaca CPSF, tentu kalian memahami signifikan bait-bait kata ini. CPSF punyai agenda. CPSF luahan hati. CPSF hadiah istimewa buat seseorang.

Rekaan alternatif kulit hadapan Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman

Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman Alternate Cover Art

Pemuzik jalanan dan bangku taman berpisah tiada. Semoga Komeng dan kuncu-kuncunya tak datang buat kacau. “Dulu kau tolak pinangan aku, Nora. Sekarang kau lihat. Lihat, apa jadi Lokman… Mati kena lanyak!”

Circa 2012, saya cukup obses terhadap reka huruf jenis berpintal-pintal ini. Jiwang dan lembut. Sesuai dengan tema buku yang sedang diusahakan pada waktu itu. Saya hanya mula perasan kewujudan reka huruf ini selepas terpandang novel Valentine Datang Lagi Dan Pergi, nukilan penulis legenda Tuan Ahadiat Akashah.

Buat kawan-kawan yang berminat ingin tahu, nama reka huruf ini ‘gigi’. Lazimnya tersedia ada dalam senarai percuma perisian komputer seperti Photoshop dan Adobe Illustrator. Makna kata, bukan font kategori premium. Kalau tak silap saya, dalam Microsoft Words pun ada.

Satu lagi alternatif ialah ‘giddyup standard’. Juga percuma. Berdasarkan eksperimentasi peribadi, saya nampak gigi sesuai dalam penggunaan aksara besar (capital letters) sementara giddyup pula lebih molek untuk huruf-huruf kecil.

Sekadar berkongsi, ini salah satu cover art dalam pertimbangan akhir bagi novel grafik pertama saya, Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman. Tetapi saya tak jadi guna memandangkan topi jenis bucket hat yang dilukis sedang menekup muka si hero, sekilas pandang macam pasu bunga terbalik.

Sinopsis Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman

Featured Photo Sinopsis Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman Shah Ibrahim

Arus kehidupan sentiasa digelombangi kejayaan dan kegagalan. Tetapi, sedarkah kita akan maksud di sebalik setiap kegagalan yang menimpa? Adakah itu petanda supaya kita berhenti dan menyerah kalah? Atau adakah ia sekadar ujian ke arah membina kekuatan dan ketahanan diri? Sejauh manakah seharusnya kita berikhtiar sebelum menerima suratan takdir? Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman merungkai persoalan-persoalan di atas melalui kehidupan peribadi penulis sendiri di perantauan.