Campus Hopping

Foto berhampiran Hallene Gateway, gerbang asal University of Illinois (Urbana-Champaign). Ini rakaman foto tahun 2002. Laman sekitar gerbang ibarat padang jarak padang tekukur. Saya difahamkan yang kini landskapnya boleh tahan meriah. Penuh kehijauan dihiasi pepohon tinggi.

Terkenang kembali, ini persinggahan kami sekitar senja dalam perjalanan dari Indiana menuju ke Missouri.

Sewaktu road trip mengelilingi tanah besar Uncle Sam, ‘campus hopping’ turut tersenarai dalam agenda. Apa jua universiti dalam had capaian, kami terjah. Sesekali berangan, bagaimanalah agaknya kehidupan andai kata kami belajar di situ (dan bukan Purdue). Mujur juga kampus-kampus US tidak berpagar dan berpengawal macam di Malaysia. Sesiapa jua bebas meneroka. Termasuk bangunan-bangunan fakulti.

Zaman sebelum GPS, buku peta yang dibeli daripada Wal-Mart menjadi rujukan ulung. Mengharapkan peta bercetak halus semata-mata, boleh berpinau juga mata. Memandangkan universiti merupakan antara lokasi penting sesebuah negeri, seawal papan tanda lebuh raya lagi lazimnya peringatan muncul secara berkala. Situasi lebih kurang serupa macam di tanahair. Misalnya, ‘Exit UTM’ sejurus tol Skudai. Makna kata, pasti terjumpa (InsyaAllah).

Awal milenium, populasi pelajar warga Malaysia di serata US agak kecil ekoran tanahair masih dalam fasa pemulihan daripada gawat. Oleh itu, tidak semua universiti yang kami terjah ada kenalan senegara. Tanpa tour guide, kami pandai-pandai teroka sendiri. Tanpa tempat untuk ‘crash’ (tidur percuma), terpaksalah kami menyewa motel atau tidur dalam kereta.

Selain pintu gerbang utama, kedai buku rasmi universiti turut menjadi destinasi wajib singgah setiap kali menjelajah kampus baharu. Masing-masing ada item sasaran sendiri. Selalunya t-shirt atau hoodie berlogo universiti tersebut. Entah mengapa, saya boleh terjebak mengumpul plat kereta.

Kalaulah pihak kastam Malaysia tiba-tiba menyelongkar kotak-kotak yang saya hantar pulang guna khidmat kontena dahulu, tak mustahil nama saya masuk radar pihak berkuasa. Maklum saja, stok plat terkumpul seolah-olah mahu memulakan sindiket curi kereta.

Sebarang komen/pertanyaan?