Budak Meja Belakang: Pax Americana – Anatomi Kulit Sebuah Buku

“Reading is to your brain what water is to a tree.”

(Foto di atas kiriman Puan Norkhamza Zainudin yang awesome)

Bagi projek Budak Meja Belakang: Pax Americana, saya diberi kepercayaan oleh pihak penerbit untuk menyumbang ilustrasi buat kulit buku. Pada peringkat awal, perancangan turut melibatkan idea menyelit sama ilustrasi berbentuk kartun mengiringi teks.

Menyedari kecenderungan diri menulis panjang berjela, gerak hati saya dapat merasakan usul kedua tadi sukar dilaksana. Dengan kata lain, tiada ruang mahu disumbat. Sesiapa yang dah berkesempatan baca, tentu perasan buku Pax Americana jauh lebih tebal berbanding buku terdahulu.

Barangkali ramai belum sedia maklum, draf asal manuskrip BMBPA sebenarnya berjela-jela lebih panjang. Banyak subplot serta watak sampingan terpaksa saya singkir dalam usaha mengurangkan ketebalan buku. Secara tak langsung, ini turut menjadi penjelasan mengapa foto selingan pun tidak banyak.

Ekoran peringkasan manuskrip, tak kurang juga teman-teman yang merajuk gara-gara nama langsung tak disebut dalam buku. Jenuh saya nak kena pujuk. Tambah aneh, yang dahulu tak pernah sudi hendak berkawan pun ada hati nak merajuk. Kelompok ini boleh blah.

Berbalik kepada ilustrasi kulit, ilham tercetus sebelum saya mula mengarang manuskrip Pax Americana lagi. Jauh benar saya berangan, kalau kalian nak tahu.

Pada suatu hari nanti, buku ini akan terpamer di rak toko-toko besar serata tanahair. Kulit hadapan akan memaparkan seorang mamat berambut panjang memandu kereta tanpa bumbung menuju ke Hollywood. Simple.

Kulit Depan Buku Budak Meja Belakang Pax Americana Lakaran kasar Pensel
Lakaran kasar menggunakan pensel

Serta-merta terbayang kereta merah. Dari situ juga timbul harapan menggunung agar kulit buku kali ini berwarna lembut dan ceria. Hasil kontra kereta merah berlatar kanvas kuning pastel tampak sempoi. Saya ajukan cadangan. Pihak penerbit setuju. Setel.

Kulit Depan Buku Budak Meja Belakang Pax Americana WIP
Lakaran pensel tadi ditekap pula dengan pen dakwat kekal

Oh, sebelum terlupa. Kibaran Jalur Gemilang itu saya tokok tambah di saat akhir. Secara kebetulan, saya baru selesai ulang tonton filem Madu Tiga (buat kali yang entah keberapa ratus). Babak Apek Suicidal yang P Ramlee suruh pegang bendera di penghujung cerita tiba-tiba mencetus ilham. Hikmahnya, ilustrasi kini menjadi seimbang. Jikalau tidak, ruang belakang pemandu kosong sangat.

Bagi memelihara konsistensi konsep selari dengan buku pertama berkulit biru (hasil tangan Ahm Ahmad), saya terpanggil untuk meminjam gaya lukisan tuan kartunis. Mencabar juga buat diri ini memandangkan stroke lukisan kartun saya lebih menjurus ke arah ganas. Walaupun saya comel, bab melukis benda-benda comel bukanlah kepakaran saya.

Kulit Depan Buku Budak Meja Belakang Pax Americana Pen Dakwat Hitam
Ilustrasi siap. Kesan pensel sudah dipadam.

Setelah beberapa siri percubaan, akhirnya menjadi. Saya siapkan artwork setakat fasa pendakwatan (inking) sahaja. Kemudian, fail digital hitam putih diserah kepada pasukan editorial Komrad. Designer in-house mereka pula akan meneruskan kerja-kerja pewarnaan agar harmoni dengan jenama penerbit. Itulah ceritanya…

Senarai Pendek Reka Kulit Depan Buku Budak Meja Belakang Pax Americana Shah Ibrahim
Senarai pendek reka kulit hadapan buku Budak Meja Belakang: Pax Americana

Visualizing your dreams is the first step in manifesting them. 

Sebarang komen/pertanyaan?