Berubah 360 Darjah

“Setelah menempuh pengalaman tersebut, hidup kami berubah 360 darjah…”
Perubahan 360 darjah ini suatu ungkapan popular yang sering kita jumpa. Dalam podcast Youtube. Dalam posting media sosial. Dalam wawancara TV. Termasuklah juga bahan bacaan bercetak.
Mungkin wujud salah tanggapan kerana kuantiti 360 tampak lebih besar berbanding angka 180. Sekaligus memberikan gambaran perubahan lebih gah serta dahsyat. Namun dari segi matematik, nilai 360 darjah sebenarnya berada di titik yang serupa dengan sifar darjah (titik mula).
Terkenang kembali ilmu matematik zaman sekolah dahulu, satu putaran lengkap akan menghasilkan sudut sebesar 360 darjah. Betul tak? Dalam konteks metafora, hakikatnya tiada sebarang perubahan pun yang berlaku berbanding titik mula. Hero kita kekal di takuk lama sekiranya dia ‘berubah 360 darjah’.
Maka, perubahan 180 darjah sebenarnya lebih tepat. A complete reversal. A drastic turn around. The exact opposite. Barulah berlaku penghijrahan secara total, apabila kita berbicara tentang transformasi.
p.s.
Contoh ayat tambahan:
Semalam, saya tertoleh 180 darjah tatkala berselisih dengan seorang insan rupawan. Ibarat bulan jatuh ke riba, gadis itu turut sama berpaling tersenyum. Mata kami bertaut. Alam semesta terhenti. Kemudian, saya tambah 90 darjah lagi lantas menyeberangi jalan besar sejurus menyedari si dia berhalkum.

Sebarang komen/pertanyaan?

error: Content is protected !!