Berakhirnya Siri Komik The Walking Dead

The Walking Dead (TWD). Saya mula perasan kewujudan siri ini di kedai-kedai komik serata USA menjelang hujung tahun 2003 (tahun akhir pengajian saya di sana). Melihat sejudul komik Amerika pasca milenium sengaja dicetak hitam putih terasa aneh sekali. Identiti yang sudah sebati dengan siri TWD. Mujurlah adaptasi siri TV beberapa tahun kemudian disiarkan berwarna.

Atas dasar kesuntukan bajet di persimpangan cerita, saya tak berpeluang langsung membeli mahupun membaca. Lagipun pada waktu itu, saya gigih menutup lopong-lopong The Amazing Spider-man dalam koleksi peribadi.

Langkau masa 9 tahun kemudian (tahun 2012), adaptasi siri TV sudah berlalu dua musim. Sebelum terjebak menonton, saya memutuskan untuk terlebih dahulu membaca secara maraton siri komik TWD dari naskhah nombor satu.

Di samping meminati apa jua hal berkaitan zombi, tarikan utama saya terhadap siri komik TWD ialah gaya lukisan Tony Moore. Sayang sekali, beliau hanya melukis untuk 6 naskhah pertama sahaja sebelum Charlie Adlard mengambil alih peranan tersebut. Sejujurnya, saya kurang meminati gaya ‘simplistik’ lukisan Adlard. Namun bertahan memandangkan diri ini sudah hanyut dalam dunia fiksyen ciptaan Robert Kirkman (penulis serta pemegang harta intelek).

Tak dapat dinafi, lukisan Moore sungguh terperinci. Secara tak langsung, ketelitian ini sedikit sebanyak memakan diri. Kononnya kerja sering lambat siap. Maka, urusan-urusan lain berkaitan penerbitan dan percetakan bulanan turut sama terkesan. Cuma ini spekulasi para peminat menerusi forum-forum yang pernah saya sertai. Jikalau wujud pertelingkahan peribadi antara penulis dan pelukis, hanya mereka yang terlibat sahaja yang tahu isu sebenar.

Lanjutan itu, Adlard kekal menjadi pelukis tetap siri TWD sehingga ke naskhah terakhir. Ya, siri komik TWD tamat mengejut bulan ini dengan penerbitan naskhah 193.

The Walking Dead Comic Final Issue 193 Blog Coretan Sang Flowerman
Naskhah terakhir siri komik The Walking Dead (terbitan Image Comics)

Saya sendiri terkedu. Sehingga menyangkakan semua ini sekadar lawak April Fool versi Julai. But it’s real. The series has ended. Jangka hayat lebih kurang 15 tahun! Bagi mengaburi mata peminat, pihak penerbit siap mengiklan reka kulit palsu bagi naskhah 194 dan 195. Licik sungguh. Tipah tertipu!

Perlu ditekankan, komik tamat bukan kerana faktor sambutan. Umum tahu, The Walking Dead salah satu harta intelek bernilai tinggi dekad ini. Adaptasi sudah merentasi pelbagai media. Siri TV (berserta beraneka spin off), filem (dalam pembikinan), permainan video, novel, dan entah apa-apa lagi.

Sungguhpun komik sudah tamat secara rasmi, siri TV masih berjalan. Siri spin off (Fear The Walking Dead) musim ke-5 sedang ditayang. Sementara musim ke-10 siri utama bakal dilancar bulan Oktober ini. Tapi tak jadi masalah kerana plot adaptasi TV menyimpang jauh daripada naratif komik. Ada nilai tambah buat penonton. Setiap episod penuh debaran. Kita yang setia dengan komik pun tak bisa ramal apa yang akan berlaku.

Hmm, sebenarnya banyak juga hal yang mahu saya bicara tentang versi siri TV. Maybe next time. Back to the comic.

Bagaimana kisahnya berakhir dalam siri komik saya tak mahu beri sebarang pembayang andai ada dalam kalangan kalian berhajat membaca. Apa yang saya boleh komen, penutupnya dirancang penuh teliti dan bukan sekadar tangkap muat. Sebak juga membaca kata-kata akhir daripada Robert Kirkman di penghujung buku.

p.s. Ilustrasi iringan dipetik daripada projek Inktober saya tahun lalu.

Sebarang komen/pertanyaan?